Oleh
SUHOR HUSIN
KUALA LUMPUR : Presiden PAS, Dato' Haji Fadzil Mohd Noor menyifatkan kenyataan Presiden MCA, Dr Ling Liong Sik yang menuduh PAS mempunyai kepentingan politik kerana berbaik-baik dengan masyarakat Cina sebagai 'berniat jahat'.
Dato' Haji Fadzil berkata, adalah tidak benar tuduhan Dr Ling kononnya PAS selama 40 tahun tidak mendekati masyarakat Cina.
Presiden PAS itu menyatakan demikian di bangunan Parlimen minggu lalu ketika diminta mengulas kenyataan Ling Liong Sik dalam akhbar berbahasa Inggeris Ahad lalu, yang mempersoalkan kononnya dasar baru PAS berbaik-baik dengan kaum Cina untuk kepentingan politik PAS semata-mata.
Menurut Dato' Haji Fadzil, sebenarnya usaha menjelaskan dasar dan perjuangan PAS telah dibuat kepada semua rakyat Malaysia lama dulu, walaupun penekanan khusus tidaklah dibuat terhadap kaum Cina pada peringkat awalnya.
Usaha mengadakan hubungan dengan masyarakat Cina, katanya, telah pun dibuat sejak pertengahan 1980-an, lebih kurang 20 tahun lalu apabila PAS mengadakan hubungan melalui apa yang dipanggil CCC (Chinese Consultative Council) ataupun Majlis Perundingan Cina).
Mulai saat itu, katanya, pelbagai pendekatan telah diambil oleh PAS untuk memecahkan tembok halangan dengan kaum Cina yang dibina oleh Barisan Nasional terutama Umno dan MCA.
"Kenyataan Ling Liong Sik yang menyatakan kepentingan kaum Cina akan tergugat dengan kemenangan PAS dalam pilihan raya sebenarnya mempunyai niat jahat dan semata-mata untuk mengekalkan monopoli Barisan Nasional dalam hubungan antara kaum.
"Presiden MCA itu tidak perlu cemburu di atas usaha PAS menjalinkan hubungan dengan masyarakat Cina melalui apa yang kita panggil pendekatan dalam Barisan Alternatif. Justeru itu, adalah tidak benar bahawa kepentingan masyarakat Cina terjejas dengan kemenangan PAS," katanya.
Sehubungan itu, katanya, PAS berharap kaum Cina terutama pimpinan masyarakat Cina supaya sentiasa berfikiran terbuka dan menolak kenyataan Ling Liong Sik itu.
Dato' Haji Fadzil juga menolak dakwaan Setiausaha Agung MCA, Dr. Ting Chew Peh yang menuduh bahawa kepentingan kaum Cina dari segi pendidikan, bahasa dan budaya akan terjejas sekiranya PAS memerintah negara.
"Kenyataan itu tidak wajar dan boleh diibarat sebagai orang yang takutkan bayang-bayang sendiri. Kita (PAS) menghormati budaya dan bahasa yang diamalkan oleh kaum lain di negara ini," katanya.