Waktu saya aktif dahulu, saya sentiasa menganggap pertandingan dalam politik sebagai "proses menawarkan diri untuk berkhidmat." Parti kita yang telah wujud 54 tahun ini mengandungi ahli-ahli yang matang dan kita harus memberi kepercayaan penuh atas kematangan mereka.
Lebih-lebih lagi dalam proses memilih pucuk pimpinan tertinggi, peluang seluas-luasnya harus diberi kepada siapa juga yang ingin menawarkan diri. Semua ahli harus diberi peluang merakamkan pendirian mereka melalui proses mengundi.
Kalau benar-benar ada yang hendak menandingi jawatan presiden, tentu ada keadaan istimewa dan luar biasa. Waktu Suleiman Palestine menandingi Tun Hussein Onn dahulu, Suleiman Palestine tidak berjaya tetapi mendapat undi yang tidak memalukan.
Walau bagaimanapun, apa yang signifikan ialah bahawa keputusan ini mengingatkan pucuk pimpinan bahawa mereka tentu ada kekurangan atau kelemahan-kelemahan. Tun Hussein sendiri sebagai gentleman dan seorang democrat telah menerimanya sebagai ingatan.
Saya pasti tidak ada manusia dalam dunia ini yang disukai atau disokong 100 peratus. Saya tidak percaya Dr Mahathir disokong oleh 100 peratus. Saya tidak percaya Datuk Abdullah Badawi disokong oleh 100 peratus ahli-ahli.
Buruknya sesuatu keadaan yang tidak membenarkan pertandingan ialah bahawa yang tidak ditandingi pasti akan berperasaan "a false sense of popularity" dan "a false sense of security" ... dia fikir dia begitu popular dan mendapat sokongan penuh berterusan atau seumur [hidup]!
Tidak malu dan tidak segan saya ingin mengambil kesempatan di sini menyatakan bahawa saya ingin benar melihat Datuk Abdullah Badawi menjadi Perdana Menteri Malaysia. Sebab-sebabnya simple sahaja. Iaitu, yang pertama, Datuk Abdullah ialah seorang yang membuktikan kesetiaannya kepada parti dan kesabarannya menghadapi pelbagai pahit maung berpolitik dalam Umno.
Kedua ialah bahawa imej beliau sebagai Pak Lah sesuai sebagai contoh ‘kepimpinan melalui teladan' dan ‘Bersih, Cekap, Amanah'. Saya yakin, dengan syarat beliau terus memupuk imej ini, beliau dapat memberi harapan kepada rakyat.
Ketiga ialah beliau berpengalaman dalam pentadbiran negara begitu lama sebagai pegawai pentadbir kerajaan serta juga berpengalaman sebagai menteri setelah memegang berbagai-bagai jawatan di pelbagai kementerian.
Dan keempat ialah sangat-sangat simple logik saya, iaitu, saya tidak mahu melihat negara kita menampung seorang lagi bekas Timbalan Perdana Menteri (keempat). Rakyatpun nanti bosan dan putus harapan.
Kita semua tahu bahawa penyokong-penyokong kuat Tengku Razaleigh Hamzah sedang aktif cuba mendapat pencalonan sekurang-kurangnya 20 peratus untuk menandingi Datuk Abdullah [Badawi].
Kalau boleh 30 peratus, beliau akan menandingi Dr Mahathir. Kepada saya, tidak ada salahnya. Sebelum Dato' Abdullah naik, lebih baik beliau tahu tahap popularitinya. Kalau kalahpun berbangga dan puas hati!
Yang memecah-belahkan parti kita ialah budaya politik dalam Umno sekarang. Iaitu kedua-dua pihak yang menang dan kalah sedar bahawa yang kalah akan cuba dibunuh riwayat politiknya habis-habisan.
Yang kalah itu akan terus dikutuk, dikecam dan dihalang bukan sahaja dalam aktiviti politiknya tetapi juga ke peringkat periuk nasi mereka. Bukan sahaja yang bertanding, yang menyokong pun akan mengalami [nasib yang] sama.
Kerjanya terancam, perniagaannya, pinjaman-pinjamannya daripada institusi-institusi kewangan, biasiswa anak-anak pun terancam. Tidak hairanlah pertandingan begitu sengit dan akhirnya memecah-belah ... ini semua yang memecah-belah!
Benci-membenci berterusan, permusuhan berterusan dan singkir-menyingkir terus berlaku. Dengan keadaan demikian pertandingan dalam Umno benar-benar merupakan "a matter of life and death"!
Nampak saya sekarang pun sudah ada proses pengutukan berlaku melalui akhbar-akhbar tertentu. Barupun bunyi-bunyi Tengku Razaleigh hendak bertanding.
(Empat lima hari sebelum hari membuang undi dalam pilihanraya baru-baru ini, melalui sebuah akhbar berbahasa Cina, saya telah menyatakan bahawa cara BN mengutuk Anwar Ibrahim dan parti-parti pembangkang akan "backfire" kerana terlampau sangat, dipandang oleh rakyat terutama sekali orang-orang Melayu).
Kalau taktik ini diteruskan juga dalam pemilihan dalam Umno, ia juga akan "backfire" iaitu makan tuan.
Saya berpegang teguh kepada kepercayaan saya bahawa cara yang terbaik Umno ditadbirkan ialah dengan amalan-amalan keterbukaan, kebebasan mengkritik, toleransi, kepekaan dan responsif kepada kemahuan para anggotanya. Amalan-amalan itu tidak semestinya keterlaluan, tentulah berbatasan.
Dengan cara itulah maka para anggota dan para pucuk pimpinan daripada segala lapisan cawangan, bahagian dan nasional dapat mewakili rakyat dengan berkesan dan dengan secara langsung mendapat sokongan rakyat.
Dengan cara itulah para anggota parti akan berasa bangga dan berasa bahawa mereka ada peranan penting dalam parti... " a sense of belonging" dan "a sense of participation".
Apa yang terkandung dalam ucapan saya pada hari ini sememangnya memprovokasikan. Ianya agak keras, terus-terang dan jelas. Walau bagaimanapun, saya sangat-sangat berharap supaya ucapan saya ini berguna dan digunakan oleh ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin sebagai bahan renungan dan bahan perbahasan kita sesama sendiri.
Saya harap tidak ada mana-mana pihak cuba menghalang atau mengecam proses renungan dan perbahasan ini. Semuanya yang telah saya bangkitkan bukan semestinya dipersetujui.
Tetapi, percayalah. Kalau pada tahun 1987 dahulu, ucapan penutup saya meminta semua para perwakilan "jagalah Umno baik-baik," [tetapi] pada hari ini, seruan saya ialah "pulihkanlah Umno baik-baik" dan "tukarlah diri sendiri sebelum ditukarkan".