Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

KETUA MENTERI MELAKA BERTINDAK KETERLALUAN

Adalah dilaporkan bahawa Bank Negara bersama-sama dua buah bank, iaitu Bank Islam dan Bank Bumiputra-Commercial, akan menyiasat mengenai dakwaan pegawai- pegawai dua bank tersebut membocorkan maklumat rahsia. Barangkali Bank Negara merasa terdesak untuk menyiasat kerana perkara pembocoran rahsia ini telah ditimbulkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir menimbulkan perkara ini sebagai menyokong tindakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Mohd Ali Rustam, yang telah mengambil keputusan mengeluarkan simpanan tetap kerajaan sebanyak RM40 juta daripada kedua-dua bank tersebut. Alasan Ali Rustam ialah kononnya beberapa pegawai bank itu telah bertindak menyokong pembangkang semasa pilihanraya lalu. Dengan sokongan Dr Mahathir ini, mungkin tindakan KM Melaka ini akan menjalar ke negeri-negeri lain pula.

Sangat aneh sekali penyiasatan hendak dibuat oleh pihak bank hanya selepas tindakan diambil oleh KM. Sepatutnya dalam semua kes (tidak terbatas pada bank saja), siasatan yang teliti dibuat terlebih dulu, sebelum Ali Rustam bertindak. Sekiranya terbukti jelas ada pegawai yang telah membocorkan rahsia pelanggan, pihak bank boleh mengambil tindakan disiplin mengikut prosedur yang ditetapkan secara adil. Bahkan sekiranya ada asas yang kuat, pegawai itu boleh dihadapkan ke mahkamah. Ada kemungkinan sekarang orang tidak bersalah pun boleh menjadi mangsa.

Yang menjadi masalahnya ialah: mengapakan oleh kerana beberapa orang pegawai yang disyaki, maka bank secara keseluruhan pula yang dihukum? Bukankah ini seperti membakar kelambu oleh kerana kita marahkan nyamuk? Tindakan bodoh seperti ini boleh menjejas perniagaan bank yang berkenan. Lebih buruk lagi, ia boleh mengakibatkan kurang keyakinan terhadap sistem perbankan di negeri ini. Dalam jangka panjang, ini boleh menjejas ekonomi negara.

Sebelum ini Ali Rustam telah memberhentikan khidmat 21 doktor panel serta menyenarai hitam 20 orang kontraktor. Setelah itu beliau mengambil tindakan memberhentikan khidmat peguam-peguam pula. Kesemua ini dilakukannya dengan alasan yang sama, iaitu mereka menentang BN semasa pilihanraya. Dalam semua kes ini tidak terbukti bahawa penyiasatan yang teliti telah dilakukan. Bahkan sehingga ini masih belum ada penjelasan yang meyakinkan orang ramai tentang kebijakan tindakannya itu. Oleh itu tindakannya bukan saja tidak adil bahkan kelihatan tidak adil.

Doktor-doktor di Melaka telah membentuk sebuah Badan Bertindak. Mereka membantah pembatalan khidmat doktor panel yang terlibat. Majlis Peguam telah memulakan penyiasatan ke atas dua buah firma guaman yang dikatakan telah diambil tindakan. Mengikut Presidennya, , Majlis itu akan mengeluarkan kenyataan selepas hasil penyiasatan jelas. Langkah-langkah yang diambil oleh para doktor dan peguam ini menunjukkan bahawa mereka tidak puas hati dengan tindakan sewenang-wenang oleh Ali Rustam, yang seolah-olah untuk membalas dendam semata-mata.

Secara kebetulan 90 peratus daripada doktor yang menjadi mangsa itu adalah Melayu dan kedua-dua bank pula dianggap bank Melayu/Islam. Dipercayai kebanyakan kontraktor pun Melayu. Adakah ini caranya Ali Rustam membalas dendam ke atas orang Melayu/Islam yang kebanyakannya tidak menyokong UMNO/BN dalam pilihanraya lalu? Jikalau mereka memilih untuk menyokong Barisan Alternatif, itu adalah hak demokratik mereka. Mengapakah pula kerajaan mesti menghukum mereka? Ali Rustam mesti belajar membezakan antara parti dengan kerajaan. Kepentingan UMNO/BN tidak semestinya sama dengan kepentingan Kerajaan. Peranan dalam parti hendaklah jangan dicampuraduk dengan peranan dalam kerajaan.

Kali ini Ali Rustam bertindak ke atas orang Melayu kerana membalas dendam dan hendak menakut-nakutkan mereka supaya menyokong UMNO/BN. Dengan cara ini juga beliau mengirim mesej kepada orang bukan Melayu. Mesejnya ialah: tindakan yang sama akan diambil ke atas mereka juga jikalau tidak menyokong UMNO/BN. Politik cara ini boleh menjahanamkan negara dan memporak-perandakan rakyat. PRM mengutuk tindakan Ali Rustam dan menyesali sikap Dr Mahathir serta TPM Abdullah Badawi yang menyokong tindakan-tindakan bodoh dan tidak adil ini.

Dr Syed Husin Ali
Presiden
Parti Rakyat Malaysia

19hb Mac 2000


Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com