Pengakuan salah dan hukum ke atas Tan Sri Rahim Noor atas kesalahan mencederakan Dato' Sri Anwar Ibrahim adalah sesuatu yang dinanti-nantikan demi memastikan keadilan terlaksana. Tindakan Tan Sri Rahim Noor mencederakan Dato' Sri Anwar adalah amat dikesali, tambahan pula ianya dilakukan oleh seseorang pegawai tinggi yang bertanggungjawab memastikan keadilan untuk rakyat.
Tindakan beliau yang dengan sengaja membuat kenyataan-kenyataan palsu bahawa Dato' Seri Anwar berada di dalam keadaan baik dan menafikan penglibatannya dalam mendatangkan kecederaan tersebut adalah lebih parah. Kenyataan-kenyataan palsu ini tidak lain dari berniat memperdayakan masyarakat dengan memberikan gambaran tidak benar bahawa beliau tidak bersalah. Ini menggambarkan sikap beliau yang tidak berani memikul tanggungjawab terhadap kesalahan sendiri.
PKPIM merasa lebih bimbang apabila muka 11 Utusan Malaysia 15 Mac 2000 juga melaporkan mengenai dua kes berasingan kecurian yang telah diputuskan mahkamah. Kes pertama melibatkan seorang pembantu kedai yang mencuri sebuah kereta bernilai RM10,00 telah dihukum penjara 16 bulan (hukuman maksimum ialah 7 tahun penjara) dan kes kedua ialah seorang pengawal keselamatan yang dipenjara 24 bulan kerana mencuri 150 tin MILO bernilai RM2,218 dari pasaraya.
Jika dibandingkan antara kes Tan Sri Rahim dan dua kes kecurian ini sudah tentu tindakan Tan Sri Rahim dengan sengaja memukul dan mencederakan Dato' Seri Anwar dengan parah adalah lebih besar kesalahannya. Di sini nyawa manusia yang terancam. Namun nampaknya mencuri MILO adalah lebih besar kesalahannya jika dinilai dari segi hukumannya.Tan Sri Rahim seharusnya didakwa dan dikenakan hukuman setimpal dengan kesalahannya.
Walau setinggi mana sekalipun pangkat dan sebesar mana sekalipun jasa yang telah diberikan, sesuatu kesalahn harus dihukum dengan seadilnya agar ia mampu menjadi pengajaran kepada anggota bawahan dan masyarakat umum. Kita tidak mahu kes seperti ini berulang lagi di masa hadapan. Seharusnya sistem keadilan negara ini mampu menjamin hak dan kesaksamaan untuk semua lapisan masyarakat tanpa ada rasa takut atau pilih kasih.
Sesungguhnya tindakan meminda pertuduhan ke atas Tan Sri Rahim ini adalah peristiwa yang amat menyedihkan. PKPIM menyeru agar tindakan segera dan menyeluruh segera diambil bagi mengelakkan rakyat hilang kepercayaan kepada sistem keadilan negara. Pakar-pakar peundangan juga harus tampil mengemukakan pandangan yang bebas demi menjamin keadilan.
Kuasa meluas Peguam Negara untuk mendakwa atau tidak seseorang yang disyaki melakukan kesalahan di bawah akta atau kanun mana sekalipun mengikut kehendak dan wenang-wenangnya mungkin dipersoalkan apabila berlaku pindaan-pindaan pertuduhan sebegini. Apakah asas dan kayu ukur yang diambil Peguam Negara untuk mengklasifikasikan tindakan Tan Sri Rahim ke atas Dato' Seri Anwar sebagai mendatangkan kecederaan sahaja dan dan bukannya kecederaan parah?
Apakah pengakuan pakar perubatan bahawa ianya boleh mengancam nyawa mangsa diketepikan semata-mata atas representasi pihak pembela? Rakyat tidak diperuntukkan hak atau sebarang jalan untuk mempersoalkan tindakan-tindakan Peguam Negara.Harapan rakyat hanya kepada Parlimen untuk menilai dan memantau tindakan-tindakan Peguam Negara. Ahli-ahli Yang Berhormat seharusnya memainkan peranan aktif bertindak bagi memastikan hak rakyat untuk mendapat keadilan tidak dikompromikan.
Rujukan : Harakah Daily