Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Rahmat di sebalik nasib malang Harakah

Bagi KDN, majalah Detik mungkin tidak mampu membekas biarpun sekecil gigitan nyamuk. Ya, siapalah yang menjadi penahan dan galang ganti kepada apa saja usaha KDN bagi menyulitkan pengurusan Detik untuk terus beroperasi. Dan nampaknya telahan KDN itu tepat sekali.

Penggantungan Detik, tanpa didokong sebarang hujah dan alasan bertulis tidak mendorong aksi protes dari pembaca. Tokoh-tokoh politik pula, termasuk dari Barisan Alternatif, juga menyepi. Tiada kenyataan membantah sikap KDN yang tidak bertamadun itu meskipun majalah berkenaan selama ini memberikan ruang yang selesa buat pemimpin PAS, keADILan, PRM dan DAP. Mungkin mereka lebih sibuk dengan isu-isu nasional yang lebih besar dan memerlukan tindakan segera.

Kami mengerti kedudukan Detik di hati pembaca. Kami baru merangkak meneroka alam baru dalam dunia kewartawanan negara ini yang begitu mengongkong dan menekan. Kebebasan akhbar hanya perbahasan akademik di dewan-dewan kuliah kursus kewartawanan dan komunikasi. Di alam realiti, pemimpin politik sukar sekali menerima kritikan dan teguran. Takut dengan pandangan kedua menyebabkan dunia pemberitaan kita kusam, usang dan kuno.

Saya pernah bertanyakan Pengarang I Harakah, Zulkifli Sulong, yang mana keseluruhan interviu dengannya dimuatkan dalam makalah baru kami, RETAK, mengapa KDN lebih berani bertindak kepada Detik berbanding Harakah, walhal kandungan dan persembahan Harakah tentunya lebih berbisa. Zul menjawab: "Saya rasa inilah kelebihan akhbar yang dimiliki oleh parti yang besar. Agak sukar untuk pihak KDN bertindak dengan mudah. Harakah dimiliki oleh PAS. Persoalannya, siapa pemilik Detik pada kacamata KDN. Inilah yang membezakan tindakan ke atas kedua-dua penerbitan."

Namun apabila mendapat tahu bahawa Harakah juga belum mendapat permit penerbitan yang baru pagi tadi, saya termenung sebentar. Apakah KDN mahu menduga lautan dalam dengan kail sejengkal? Saya sedang menunggu penuh debar reaksi pembaca Harakah yang berjuta itu. Apakah mereka akan tinggal diam ataupun bangun memberontak yang bakal menyaksikan perhimpunan jutaan ummat di Jalan Tunku Abdul Rahman?

Harakah yang ada sekarang bukan Harakah yang pernah saya terajui dahulu. Ketika saya dilantik menjadi Pengarang Kumpulan Harakah pada awal 1993, jumlah cetakan Harakah paling tinggi dicatatkan hanyalah 65,000 naskhah. Namun, angka itu melonjak drastik, melangkaui cetakan akhbar-akhbar harian milik Umno. Harakah ditagih dua kali seminggu. Kehadirannya dinanti. Ada seorang pensyarah sains politik yang berasal dari Kelantan memberitahu saya, ada seorang pak cik tua di kampungnya yang turun ke bandar dua tiga kali sehari semata-mata nak memastikan Harakah sudah sampai atau belum. Selagi Harakah tidak tiba, dia tak boleh buat kerja lain.

Kedai buku di bawah pejabat saya ini juga menjual Harakah meskipun ia dilarang dijual secara terbuka. Pembaca sanggup mencarinya walau di mana berada. Malah, kalau dibeli, bukan satu naskhah tetapi ada juga dua tiga naskhah, pesanan dari kawan dan taulan. Pembaca Harakah bukan lagi ahli-ahli biasa PAS di kampung, tetapi melewati taman-taman perumahan elit dan menghiasi kereta-kereta mewah milik tokoh-tokoh korporat.

Edisi bahasa Inggerisnya mendapat sambutan luarbiasa. Pembaca bukan Melayu mulai terpikat dengannya dan merasakan ada kelainan dan keberanian tersendiri dalam seksyen eksklusif itu. Maknanya, Harakah bukan lagi akhbar milik parti tetapi sudah dianggap akhbar arus perdana. Mutu pemberitaan dan persembahannya sudah ditingkatkan.

Justeru, saya tidak dapat membayangkan apakah jenis keberanian KDN untuk menghadapi risiko ini jika mereka tidak mengeluarkan permit penerbitan baru buat Harakah. Kekuatan di belakang Harakah jangan diambil mudah. Kalau Detik mungkin KDN boleh melanyak apa yang mereka suka. Kami menghantar surat tidak dilayannya. Kita bertanyakan pegawai KDN hampir setiap minggu selama 3 bulan ini, namun tiada jawapan pasti yang diberikan. Mereka buat endah tak endah saja. Kebetulan pula saya sendiri tidak boleh bertindak agresif kerana permit majalah itu bukan milik saya, tetapi hak seorang teman yang mempunyai pendirian politik sedikit berbeza.

Mungkin KDN mahu menduga kesabaran Harakah menghadapi masalah ini dalam sehari dua atau minggu pertama Mac, kemudiannya permit itu disambung semula. Namun, jika ia digantung tidak bertali, dengan mengatakan urusannya kini berada di pejabat Menteri Dalam Negeri sendiri, saya rasa Pak Lah sedang bermain api. Pembaca Harakah sememangnya rasional menghadapi realiti ini, tetapi kesabaran orang ada batasanya. PAS mempunyai lebih sejuta penyokong, malah pembaca Harakah juga melebihi sejuta orang. Tidak semua mereka boleh duduk diam sepertimana pembaca Detik.

Ramai juga pembaca Detik yang mendesak saya agar mengadakan bantahan lebih keras. Bagi mereka, tindakan menggantung tanpa sebab selepas kelulusan rasmi diberikan adalah langkah yang menyimpang dari prosedur yang digunapakai KDN sendiri. Saya minta mereka bersabar. Tunggulah masa yang sesuai untuk kita melancarkan kempen seluruh negara tentang erti dan makna kebebasan media di Malaysia. Lagipun, kata saya, kita tidak punya kekuatan untuk menggembleng tenaga protes yang besar itu.

Penantian saya tidak menunggu tempoh yang lebih lama lagi. Jika benar permit Harakah terus tidak disambung, saya bersyukur. Sebabnya, lebih ramai lagi orang yang berkongsi keperitan yang saya alami selama ini. Dan mereka akan memperjuangkan prinsip kebebasan akhbar ini secara lebih meluas, sistematik dan pastinya lebih berkesan. Mungkin dengan itu Detik dapat berkongsi kasih!

AHMAD LUTFI OTHMAN
BEKAS KETUA EDITOR DETIK 1999
BEKAS PENGARANG KUMPULAN HARAKAH 1993



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com