Demi untuk mendapat sedikit habuan politik, Rais Yatim sanggup mengadai maruah diri. Kalu dulunya dikenali sebagai seorang yang tegas dan berjiwa besar dalam arena politik tetapi sekarang Rais bukan lagi seperti itu.
Dia boleh dicucuk hidung !!!
Setelah berjumpa secara sulit dengan beberapa orang suruhan Mahathir dan pertemuan dengan Mahathir 4 biji mata, Rais Yatim telah bertukar pandangan politiknya... daripada politik yang berjiwa besar kepada politik "sesuap nasi". Maruahnya dienyak-enyakkan.
Dia kini tak bermaruah lagi. Apakah kepercayaan pada janji Mahathir ini boleh memabntu masa depanya ???
Kami membawa pembaca kepada pandangannya dahulu mengenai Anwar yang telah disiarkan dalam Majalah Detik Mac 1999. Sila baca dan teliti bertapa murahnya maruah si Rais Yatim.....
Rais Yatim - "Saya Kagum Cara
Anwar"

SE JAUH mana kehebatan gaya kepimpinan Anwar dan bagaimana pemecatannya
mempengaruhi politik Umno? Apakah perubahan politik, khususnya isu
nepotisme-kronisme, yang bakal merombak Umno selepas ini? Bagaimana
pembangkang Melayu, khasnya PAS, harus berperanan? Ikuti wawancara Editor
DETIK, Wan Muhammad Wan Omar bersama Ketua Editor, Ahmad Lutfi Othman dengan
Dato’ Dr RAIS YATIM, seorang pemimpin politik Melayu yang berpengalaman luas
di luar dan dalam kerajaan.
Melalui wawancara ini, Rais mengungkapkan idea-ideanya dalam gaya bahasa
yang simbolik, penuh dengan siratan makna, setaraf dengan gaya seorang yang
matang dalam percaturan politik negara. Wawancara ini diadakan pada 27
November, 1998 jam 3:30 petang, di pejabatnya di Jalan Tunku Abdul Rahman.
Wawancara ini dibahagikan kepada tiga bahagian;
DETIK: Bagaimana Dato’ melihat perkembangan politik Melayu pada masa
depan?
RAIS: Politik Melayu pada masa depan akan berubah ekoran cetusan dua
fenomena besar yang ada pada hari ini. Pertama, fenomena ekonomi yang melanda
sistem kewangan kita, sistem aliran wang negara yang menyebabkan ‘kocek’ makin
kosong. Melayu rasanya tidak boleh berdiri di atas kaki sendiri dalam
menentukan masa depan ekonomi negara. Pembangkang juga melihat ekonomi kita
biar boleh berdikari. Pembangkang bersikap lembut terhadap kerajaan dalam
menghadapi krisis ekonomi. Kita menumpukan perhatian ke arah kewibawaan dan
survival ekonomi.
Kita tidak membincang hambatan modal itu (currency control). Dasar itu
dibuat oleh kerajaan di bawah pimpinan Dr. Mahathir. Sedikit sebanyak kita
dapati kemunculan beberapa "pucuk baru" dan nampaknya boleh survive.
Tetapi sebagai mana kata Dr. Paul Krugman, iaitu individu yang mula-mula
mencetuskan idea kawalan matawang, sistem ini tidak boleh berkekalan. Ia patut
disemak semula selepas dua tahun dan selewat-lewatnya tiga tahun.
Jadi bagi politik tanahair kita dalam tiga tahun ke depan ini, saya fikir
akan mencorakkan satu ledakan baru ke arah menilai semula cara-cara, kaedah
dan objektif. PAS dalam keadaan ekonomi sekarang, mereka nampaknya telah dapat
mewujudkan beberapa idea dari segi ekonomi Melayu. Tetapi Umno bergantung
kepada BN, pandangan ekonominya lebih menyeluruh, bukan sahaja Melayu tetapi
berdasarkan masyarakat majmuk yang ada.
Lanjutan dari itu pemimpin Umno yang selama ini banyak bergantung kepada
"ufti korporat" sudah mula ‘menggelabah’. Peristiwa-peristiwa yang dialami
oleh Renong, Sime Darby, MAS dan sebagainya sudah memaksa satu penilaian baru,
satu alignment baru, dalam menentukan masa depan politik.
Ramai pemimpin dalam Umno telah menimba faedah-faedah daripada amalan
ekonomi ini walaupun sesetengah daripada mereka berpura-pura bahawa mereka
telah berjuang menentang amalan ekonomi (yang buruk itu), tetapi sebenarnya
mereka juga terlibat dalam pengkorporatan tadi. Sedikit sebanyak masalah
ekonomi yang timbul telah menyebabkan mereka sukar menghadapi masa depan.
Saya membuat perhitungan begini. Apabila Umno selama ini, terlampau banyak
ber gantung kepada sistem korporat, imbuhan korporat, dan pemilih an korporat,
maka perjuangan parti itu seolah-olah ditentukan oleh wang ringgit.
Jadi selepas masalah kegawatan ekonomi ini, nampaknya ada kesedaran untuk
kembali kepada prinsip lama dan menghindarkan amalan politik wang. Tapi ini
dugaan saya sahaja, mungkin tidak dapat titik pertemuannya.
Saya syak mereka sudah belajar sedikit sebanyak. Namun penghasilannya yang
menyatakan bahawa politik wang, pengaruh korporat, keistemewaan berurusniaga
itu untuk dihapuskan sama sekali, saya tidak berani beri jaminan. Amalan ini
wujud sudah lama – melebihi sepuluh tahun. Jadi tidak semudah itu bagi mereka
melupakan cara dan kaedah ‘ambil senang’ itu. Itu satu perkara.
Didapati juga kemampuan membeli undi Melayu tadi semakin lama semakin
menjurus. Pengaruh orang-orang ini di cawangan dan bahagian pun secara
propotionate sudah merosot. Sekarang didapati seolah-olah ramai
keanggotaan Umno tidaklah lagi begitu ghairah kepada tokoh-tokoh korporat
seperti pada masa-masa lalu.
Dulu ahli-ahli Umno betul-betul dikelirukan oleh golongan korporat. Kalau
pucuk pimpinan parti Umno mengambil kesempatan ini untuk menjuruskan kepada
cara dan kaedah baru memimpin dan mengolah parti; saya fikir usaha itu sangat
baik.
Saya kira sudah cukup imbasan yang telah wujud untuk kita bertaubat dan
sedar yakni tampak oleh kita, orang yang tinggi-tinggi pun memainkan peranan
dari segi mempengaruhi politik dalam Umno. Jadi walaupun bukti yang terdedah
luas tidak begitu banyak, tapi leftenan-leftenan beliau (Anwar) seperti bekas
Ketua Pemuda, dan beberapa orang ADUN dan Ahli-ahli Parlimen yang sekarang
mereka juga turut ditinggal dengan sendirian. Saya kira mereka akan
cepat-cepat menggulung tikar mereka mengikut saiz yang boleh mereka hidup. Itu
satu bab.
Bab yang lain ialah politik Melayu setelah Anwar. Mahu atau tidak, politik
Melayu akan berubah. Anwar telah membawa satu nilai dalam politik Umno. Nilai
itu sebenamya nilai di luar Umno. Yang saya amati, beliau membawa nilai,
amalan dan pentadbiran ABIM dalam Umno, tetapi tidak nyata. Ertinya ialah,
sistem kader (cadre) yang beliau lakukan terpaksa diterima telah memberi
sokongan yang kuat kepada beliau.
Sistem kader yang dijalankan oleh Anwar, bagi istilah saya, ialah kaedah
"petik suis". Beliau sudah letakkan mentol-mentol lampu di seluruh pelusuk
negara, di setiap jabatan, di setiap bahagian, dan di setiap cawangan beliau
telah pasang "mentol elektrik politiknya" sejak 1982. Kerja ini beliau dapati,
dan saya pun tahu; contohnya di Kementerian Belia dahulu, ketangkasannya dalam
mewujudkan sistem ini saya sungguh hormati. Saya tidak nampak pemimpin Umno
lain mampu berbuat demikian. Apabila beliau menyertai Umno pada 1982, beliau
sudah menjalankan kaedah "petik suis".
Manakala beliau menghadapi masalah dengan Dr Mahathir dan perundangan serta
politiknya, maka Anwar pun memetik suisnya itu dan mentol-mentol politiknya
pun menyala. Sebab semua wayar sudah siap semenjak tahun 1982. Itu sebab saya
memberitahu ramai pemimpin Umno agar jangan terkejut sebab sistem itu Dr
Mahathir tidak buat, menteri-menteri tidak buat, tetapi Anwar telah buat.
Oleh kerana beliau berusaha lebih daripada anda, wajarlah beliau mendapat
lebih "dividen". Apabila beliau melaungkan re-for-ma-si juga dihujung
Muar(Johor), misalnya. Inilah penilaian saya tentang Anwar.
Apabila sistem suis sudah tergugat sedikit dengan fenomena perundangan,
pentadbiran yang ada di pihak polis, dalam Kementerian Dalam Negeri dan
seumpamanya, maka apa yang terjadi kepada "mentol-mentol" tadi? Ini adalah
satu persoalan yang paling besar pada Umno. Selagi pihak Umno tidak dapat
mengubah voltage yang digunakan tadi, maka selama itulah nilai dalam
Umno itu tergantung. Mesti ada usaha pimpinan dalam Umno sekarang untuk
memproses dan menjana kembali mentol-mentol ini dengan pendawaiannya, supaya
Umno hendak disalur untuk menghadapi alaf akan datang.
Apakah selama ini network atau mentol-mentol Anwar sahaja yang
berfungsi dalam Umno atau network ini menimbulkan masalah kepada Umno?
Network Anwar dapat diatasi sekiranya ada sebilangan pemimpin mahu
memproses kembali network ini dan memperbetulkan pendawaiannya.
Network ini boleh diambil alih oleh Umno. Tetapi sebahagian daripada
tali-jemalinya ini sudah putus; ada yang masuk PAS, ada yang berubah ‘corak’.
Ini kita tidak dapat hilangkan. Justeru, harus kita membuat satu penilaian
semula. Sekiranya Biro Penerangan lambat bertindak mengadakan alternatif
penjanaan, maka Umno akan terus menghadapi masalah.
Kita dapati penyokong Datuk Anwar meliputi berbagai-bagai pihak.
Orang-orang ini masih merasakan bahawa mereka telah kehilangan. Soal
undang-undang pada mereka tidak penting. Pada hemat mereka, perhitungan
politik atau logik politik itu yang mereka perbahaskan; bukannya perundangan.
Mungkin selepas kes ini, keredaan itu ada. Tapi kalau Anwar menang, pasti
timbul lagi masalah bagi Umno secara serta-merta kerana network itu
akan hidup semula; malah penjanaannya lebih hebat. Hal itu, sesiapa pun boleh
teka, apa akan jadi di negara kita. Kemungkinan ramai pemimpin tidak akan
‘selamat’ dalam keadaan begitu. Pertarungan dengan Umno selepas itu tentu
berubah.
Sebaliknya sekiranya ia gagal dalam kes tersebut, lebih mudah bagi Umno
kerana kuasa kerajaan ada pada Umno. Proses ‘mengalihkan’ voltan tadi lebih
mudah sebab semua sudah dikenal pasti. Apa yang menjadi masalah ialah PAS
telah menggunakan isu Anwar ini dalam kempen-kempennya, dan orang Melayu sudah
mula melihat melalui platform lain politik Melayu – yakni ke arah ubahsuaian
yang banyak selepas ini. PAS sangat gigih membawa perjuangan politik ini ke
arah perimbangan yang sebenar, seakan-akan yang dituntut oleh Deklarasi Hak
Asasi Manusia tahun 1948 di Bangsa-bangsa Bersatu, yakni akauntabiliti,
ketelusan dan isu-isu seumpamanya.
Saya memang berminat dalam bidang-bidang ini. Tidak salah sekiranya Umno
sendiri bangkit dalam soal ini dan tidak menggelapkan mata dalam hal-hal ini;
contohnya, apabila terdengar sahaja perkataan ‘ketelusan’, Umno serta merta
fobia. Itu tidak boleh. Kalau Unmo mahu selamat, mahu diterima dan berkembang
maju, soal keikhlasan dalam good government (pentadbiran kerajaan yang
baik) mesti cepat berubah.
Sekiranya tidak berubah, Umno akan menghadapi masalah. Kredibiliti Umno
akan terjejas di peringkat-peringkat tertentu. Cara mengolah pentadbiran
keadilan di negara kita, cara mengolah aspek perekonomian luar bandar,
penganugerahan projek-projek, dan sistem-sistem yang selama ini dianggap
taken for granted (ambil mudah) mesti diketahui umum secara jelas.
Jadi mereka berasa mereka tidak boleh keluar dari ruang itu. Mentaliti ini
memang sudah diskopkan oleh Akta Universiti dan Kolej Universiti. Jadi tidak
hairanlah, setakat ini, tiada pihak yang berani meluahkan perasaan atau
pandangan yang kritis terhadap fenomena yang berlaku. Memang betul! Saya belum
pernah mendengar (hal-hal dibincangkan dengan serius). Sepatutnya, pada masa
inilah badan-badan intelektual Melayu melahirkan pendapat sama ada haluan ke
kiri, atau ke kanan atau di tengah-tengah; yang penting, kita hendak dengar.
Tetapi jarang sekali... tidak ada.
Kalau hendak dibanding dengan isu Team A lawan Team B pada
tahun 1987 dan 1988 dahulu, mana yang lebih besar kesannya, faktor pemecatan
Anwar dibandingkan dengan faktor PMS46?
Team A dengan Team B dahulu, objektifnya lain, dan suasananya
pun berbeza. Saya lebih cenderung menyatakan impact Team A lawan
Team B berbeza sangat dengan impact yang berlaku di sekitar kes
Anwar. Team A dan Team B membangkitkan soal Melayu, soal
kepimpinan, soal pertanggungjawaban, soal struktur parti, soal menaikkan
pemimpin (termasuklah cara Anwar dinaikkan dalam Umno).
Kita memang gusar cara beliau (Anwar) ditatang sebagai minyak yang penuh.
Sememangnya itulah isu-isu utamanya. Pada masa itu, pemimpin-pemimpin yang
agak tinggi kedudukannya seperti Musa Hitam, Abdullah Ahmad Badawi, Najib Tun
Razak dan menteri-menteri lain melibatkan diri. Saya dan Tengku Razaleigh
berada di dalam kumpulan teras. Lebih kurang ada 12 orang pemimpin utama
negara pada masa itu memihak pada Team B.
Tapi sekarang, menterinya tidak terlibat. Pihak-pihak utama dalam Umno
tidak terlibat. Cuma Anwar seorang. Tetapi Anwar banyak disokong oleh
juak-juak universiti, mereka yang memperjuangkan hak-hak asasi, NGO dan
termasuklah PAS sendiri. Kalau dahulu, PAS memang menjadi tulang rusuk kita
dalam memperjuangkan pembaharuan.
Tapi cara Anwar mendapatkan sokongan daripada PAS, peringkatnya berlainan.
Misalnya, PAS mungkin tidak menyokongnya secara peribadi, tetapi PAS sokong ke
arah ketelusan, demokrasi dan sebagainya. Itulah bezanya. Tetapi saya tidak
fikir reformasi Anwar bertahan selama 10 tahun. PMS46 dapat bertahan 10 tahun.
Tanda-tanda sudah jelas pada saya bahawa setelah bukti-bukti ini diperjelaskan
di mahkamah, saya kira ramai penyokong refomasinya akan berundur secara
diam-diam.
Masa dahulu, kita tidak melibatkan kuasa-kuasa luar. Kita tidak pernah
minta presiden dari mana-mana negara untuk membantu kita. Malah, kita
menidakkan sama sekali kepada sesiapa yang cuba membantu dari luar. Sekarang,
kes Anwar sudah jelas bahawa banyak pihak luar terlibat. Tapi kalaulah tidak
ada penglibatan pihak luar dan beliau berjuang seperti sebelumnya, saya fikir
nilai perjuangannya itu lebih hebat; sambutannya mungkin menggegarkan. Setelah
diketahui sedemikian rupa, kesannya itu agak menjurus kepada yang negatif.
Dalam hal ini, komen saya sependek-pendeknya ialah sebenarnya Al Gore telah
membantu Dr. Mahathir melalui ucapannya itu (di sidang makan malam sebelum
APEC pada 16 November, 1998). Sebab selepas ucapan itu, kita lihat satu lonjak
pandangan dari pelbagai pihak, termasuklah dari pihak PAS yang menyatakan dia
tidak mahu pihak luar campur tangan. Dengan ini, Dr Mahathir telah perolehi
satu sokongan yang amat nyata dari rakyat.
Dato’ ada menyebut tadi, bahawa politik Melayu akan mengalami ubah suaian
yang banyak. Boleh Dato’ senaraikan beberapa ubah suaian itu.
Antaranya, cara berjuang, cara mendapatkan pengaruh dan matlamat kerajaan
yang baik (good government) seperti sudah diluahkan oleh semua pihak. Orang
Umno pun sudah luah, PAS sudah luah dan PRM pun sudah meluahkan. Keduanya, ke
arah meneutralkan beberapa undang-undang negara, yang terpaksa dinilai semula
oleh pihak-pihak berkuasa untuk masa akan datang.
Sudah menjadi kemungkinan besar selepas ini. Saya nampak pengkajian khusus
perlu dibuat ke atas ISA, Akta Penerbitan dan Mesin Cetak, dan mungkin juga
Perkara 5 dan Perkara 10 [Perlembagaan Persekutuan] akan ditimbang untuk
pengkajian semula pada masa-masa akan datang.
Apa sebab saya nyatakan begitu? Sudah nyata bahawa kebanyakan pandangan
umum kepada beberapa undang-undang ini amatlah tajam. Sekiranya kita masih
tidak mahu membuat kajian semula, saya percaya kekuatan kerajaan itu (walaupun
ada di bawah undang-undang ini) akan diremehkan oleh rakyat. Itu perasaan saya
Tentu sekali Dr Mahathir, sebagai ketua kerajaan, selepas ini akan membuat
beberapa pembaharuan dalam kerajaannya.
Tidak lagi begitu mudah mendedahkan pentadbirannya kepada kritikan yang
mudah diperlecehkan oleh pihak tertentu. Saya percaya kritikan-kritikan PAS
dan DAP itu diambil kira dengan sentimen yang kita lihat di Kuala Lumpur,
Kampong Baru, di Keramat, di Dataran Merdeka dan sebagainya selama dua bulan
yang lalu [maksudnya: protes rakyat atas nama reformasi – editor].
Bagi saya, kerajaan yang sensitif merupakan kerajaan yang ingin membetulkan
perkara-perkara yang tidak lagi bersesuaian dengan sistem nilai kita untuk
hidup di Malaysia. Jika tidak dibuat, apa yang jadi ialah di Internet boleh
dikatakan bebas-sebebasnya tetapi dalam media cetak dan media elektronik, kita
masih di tahap yang lama. Jadi kredibiliti kita akan dipersoalkan, akan
diperlecehkan oleh golongan muda. Anak muda kita hampir 60 peratus daripada
jumlah penduduk. Marilah terima hakikat ini (let’s face the facts).
Mereka ini dari Harvard, dari mana-mana universiti ... Kalau bekerja dengan
kerajaan, mereka mungkin berjaya didiamkan. Tetapi dalam hati, mereka mungkin
berkata, "saya pun hendak bertindak seperti Sabri Zain." Mana kita jangka
dahulu. Mana kita fikir orang seperti ini akan muncul di Internet memberikan
fakta-fakta yang panjang lebar [tentang reformasi dan demonstrasi]. Dahulu,
tidak ada pun! Sejak reformasi, semuanya keluar.
Itulah buktinya "mentol-mentol" politik Anwar sudah hidup (menyala).
Kerajaan mesti berhati-hati. Saya memang menaruh cita-cita supaya dalam MT
Umno suatu hari nanti ada pemimpin-pemimpin yang dengan hormatnya, berani
mengingatkan sistem – apakah perkara-perkara yang mesti diperbaiki. Pada saya,
jika tiada (ahli-ahli MT yang menyuarakan hal itu) pada musim yang akan
datang, pembaharuan yang disebutkan tadi tidak mungkin akan berlaku. Tapi saya
berharap usaha ini akan berlaku.
Tetapi selalunya ubahsuaian hanya dibuat apabila pihak berkuasa berasa
pembaharuan-pembaharuan mesti dijalankan. Jika tidak dibuat ubah suaian,
mungkin survivalnya akan tergugat. Apakah krisis yang ada kini boleh
ditafsirkan sudah menggugat pihak berkuasa?
Kita tidak boleh melihat peristiwa Anwar ini sebagai satu peristiwa yang
begitu terasing sehingga tidak menjejaskan tali-jemali kehidupan. Sebenarnya,
dengan peristiwa ini, telah mencetuskan banyak soal-soal yang melemahkan atau
yang menguatkan kerajaan. Jadi apabila mereka lihat fenomena baru ini, yang
melibatkan begitu ramai manusia khususnya Melayu, Umno mesti berfikir.
Siapa mereka ini? Mereka orang Melayu! Sama ada hendak menghormati cara
Anwar membina pengikutnya, itu soal lain. Tetapi yang nyata ialah kita tidak
boleh lagi take for granted orang Melayu bergerak, orang Melayu
menuntut pembaharuan. Kalau pihak berkuasa hendak juga menutup mata, saya
fikir PAS akan untung.
PAS akan mendapat kekuatannya ....
Ha ..., saya fikir PAS akan untung. Saya bercakap dengan ikhlas. Parti
alternatif Melayu memanglah PAS atau Umno; PRM tidaklah sangat. Cuma harapan
saya, Melayu PAS dan Melayu Umno mesti ada titik pertemuan melalui agama. Sama
ada boleh atau tidak, ini terserah kepada kebijaksanaan pemimpin kedua-dua
pihak. Ertinya, kita boleh bergelut dalam arena politik, tetapi apabila Nik
Aziz menjemput kenduri, Dr Mahathir harus datang dan begitulah sebaliknya.
Siapa pun jadi imam, tidak mengapalah. Kalau Nik Aziz jadi imam, Dr
Mahathir mesti mahu jadi makmum. Saya ingin melihat suatu hari nanti akan
berlaku begitu. Di Parlimen dan di forum politik boleh menghentam antara satu
sama lain, kalau Melayu dapat berbuat begitu, pada saya budaya politik sudah
mencapai tahap matang
Umno Mesti Hapuskan Rasuah
DETIK: Apakah kegelisahan baru dalam Umno kini, dalam usaha membuat
ubah suaian ini, akan mempengaruhi proses pemilihan Umno tahun depan?
RAIS: Pemilihan Umno pada bulan Jun nanti, sekiranya ‘tiang gol’ tidak
dianjak (ketawa). Kalau dianjak, tarikhnya lewat lagi. Saya berpendapat
beberapa kerat pimpinan baru akan muncul dalam senario baru. Tengku Razaleigh
misalnya akan muncul di arena yang tertentu, mungkin di peringkat Timbalan
Presiden ....
Perkembangan yang dialami rentetan daripada pemecatan Anwar dan
perbicaraannya sedikit sebanyak akan membawa beberapa perkembangan baru dalam
menentukan kepimpinan dalam Umno.
Walaupun begitu, saya tidak nampak kemungkinan Dr Mahathir diperleceh. Umno
tidak akan berbuat apa-apa atau mengeluar kata-kata nista terhadap
Presidennya. Tetapi Umno akan mempelawa beberapa muka baru dalam arena
perjuangan atasannya, seperti peringkat MT dan ke atas. Ini saya nampak sedang
berjalan.
Kegelisahan Umno untuk mendapatkan susunan baru itu sudah jelas. Jadi,
dalam konteks itulah, saya meramalkan secara objektif bahawa pemimpin seperti
Tengku Razaleigh mungkin mendapat peringkat ‘penghulu’ juga dalam Umno. Ini
sudah menjadi cakap-cakap yang meluas. Ia mungkin betul akan berlaku.
Tadi Dato’ ada menyatakan bahawa salah satu ciri kebaikan yang
disumbangkan oleh Anwar dalam Umno ialah sistem perkaderannya. Bagaimana pula
sumbangan positif Dr Mahathir; bagaimana beliau mencorakkan sistem nilainya ke
dalam Umno?
Dr Mahathir sekarang tidak mudah untuk memutuskan sesuatu. Cuma saya dapat
menduga kemungkinan beliau akan bersama-sama mencari jalan bagaimana kes Anwar
ini boleh ditangani. Anwar sendiri tidak begitu jelas dalam idea
pembaharuannya. Tetapi secara tidak langsung beliau (Mahathir) akan cuba
membawa beberapa pembaharuan yang tidak dapat diteka buat masa ini. Cuma
kemungkinan besar susunan pimpinan Umno itu akan berubah. Apabila susunan
pemimpin berubah, tentulah pencorakan lain-lain akan turut berubah.
Kalau kita hendak buat telahan, memang banyak. Pertamanya yang menjadi
perkara utama dalam pemikirannya tentulah menstabilkan Umno selepas peristiwa
Anwar; dan menjadikan anggota-anggota Umno lembut menerima ajakan untuk
berpadu kembali. Jadi ramuannya itu tentulah menerusi pembaharuan
sektor-sektor kepimpinan Umno; baik di peringkat negeri atau pusat. Ini sudah
menjadi lumrah dalam sains politik.
Tidak mungkin Dr Mahathir dapat mengecualikan daripada perkara ini. Di
samping itu, beliau akan sentiasa menghalusi "mentol-mentol" Anwar yang
"terlampau panas" supaya dapat diturunkan voltannya. Apa-apa dan sesiapa yang
telah dipengaruhi oleh Anwar mesti akan diredakan menerusi perubahan; sistem
pengenalpastian dan sistem penentuan siapakah dia, di manakah dia, sudah pun
berjalan sekarang. Selain itu, saya kira terserah kepada pimpinan baru di
bawah Dr Mahathir untuk menghitamputihkan situasi selepas ini.
Bagaimana budaya itu, "ufti korporat", boleh timbul dalam Umno?
Sebenarnya bermula pada tahun 1984 lagi. Budaya itu sebenarnya tidak
ditanam, tidak dirancang. Tapi oleh kerana sistem yang membenarkan kekayaan
itu diperolehi oleh beberapa pihak tertentu, golongan tertentu, dalam suatu
masa yang agak contiguous dan berterusan; maka mahu atau tidak mahu,
kuasa wang senang digunakan.
Kata orang, mengerah orang pergi (buat sesuatu) itu susah, tetapi mengerah
wang (sebagai ganjarannya) cukup senang. Amalan itu sudah automatik, semacam
second nature bagi mereka. Sejak 1984, amalan ini sudah meningkat.
Tapi sejak satu dekad kebelakangan, amalan ini semakin menjadi-jadi. Apa
yang harus dilakukan sekarang ialah kalau seseorang itu pandai berniaga dan
pandai memimpin, tidak mengapa. Tetapi jika dia tidak pandai memimpin,
sebaliknya hanya pandai berniaga, hal itu sungguh teruk akibatnya. Akhirnya,
duitlah yang memimpin ... (ketawa). Ketawanya macam itulah. Kita sudah banyak
lihat gejala itu. Tetapi kita tidak boleh halang golongan korporat menyertai
Umno. Cuma, penilaian harus dibuat begitu – berdasarkan kualiti kepimpinan,
bukannya kualiti wang yang dia ada. Barulah Umno selamat.
Bagaimana pula isu nepotisme dan kronisme, khususnya yang melibatkan
bailouts menggunakan dana-dana awam?
Sekarang, soal itu sangat sensitif dalam Umno. Misalnya saya berceramah di
Perlis, jika terkeluar perkataan "kro-nis-me", saya akan parah (senyum). Jadi,
ini fenomena istilah. Saya fikir orang Melayu begitu taksub dengan satu alur
pemikirannya sehingga tidak berani menyebut tentang kronisme, nepotisme dan
sebagainya. Selagi masalah itu tidak direalisasikan pengertiannya, selama
itulah kita susah untuk membendung amalan buruk ini.
Istilah itu sebenarnya boleh digantikan dengan istilah lain ... rasuah,
umpamanya. Jadi, kita harus berbalik kepada usaha anti-rasuah. Kalau kita
setuju dalam soal itu, selamatlah kita. Ia sangat afdal dengan akta
anti-rasuah 1997. Kita mesti balik ke situ. OKlah, kita tidak perlu bercakap
soal kronisme, nepotisme, tetapi hendak membahaskan soal rasuah atau tidak?
Kalau hendak, ayuh, kita kerja! Saya tergolong dalam pihak yang seperti
itu.
Kalau Umno terlalu mengongkong "ufti korporat" atau cuba membanteras amalan
rasuah, apakah nanti golongan korporat akan menjauhi Umno?
Isu ini bergantung kepada bagaimana kita merealisasikan istilah rasuah.
Kalau kita akur kepada rule of law atau keluhuran undang-undang,
apa-apa jua perlakuan yang berbau rasuah, kita mesti hormat dan mesti jangan
buat. Bermakna, idea ini harus dikursuskan kepada setiap parti politik. Tetapi
rasuah di dalam politik sebenarnya dekat sangat dengan politik golongan yang
berkuasa. Sebab "power"; amalan rasuah muncul dari kuasa. Dengan itu,
mesti disekolahkan kembali pihak-pihak tertentu dalam Umno supaya mereka
mengerti apa itu rasuah di bawah akta 1997.
Banyak orang Melayu tidak tahu. Mereka menganggap salah guna kuasa bukan
rasuah. Sebenarnya amalan itulah salah satu daripada kriteria; disebut
corrupt practice, salah guna kuasa .... Kalau begitu kaitannya,
istilah-istilah nepotisme dan kronisme harus diperhalusi dalam istilah rasuah.
Nepotisme, kronisme bukan istilah undang-undang. Ia istilah politik. Rasuah
pula adalah istilah undang-undang dan juga istilah politik. Kita tidak dapat
membuat orang ramai mengerti kedudukan yang sebenar. Tidak salah selepas ini,
kalau kita hendak melompat kepada alaf baru, inilah isu (amalan rasuah) yang
pertama-tama kita patut fikirkan dan banteraskan.
Sekarang orang bangsa asing bertepuk tangan walaupun tidak berbunyi. Tapi
mereka bertepuk tangan, mereka bergelak ketawa kerana geli jati melihat kita.
Kita rasa malu! Mereka kebanyakannya menjadi punca rasuah. Mereka pemberi
(rasuah), kita penerima (rasuah). Jadi, Melayu harus menerima hakikat bahawa,
kita tidak rela lagi dibuat orang sebegitu.
Setakat ini, sudah berapa kes? Ada lapan kes yang melibatkan ketua menteri,
menteri dan sebagainya. Siapa puncanya? Mereka bukan orang Melayu tetapi
rakan-rakan kita dalam Barisan Nasional. Sebaliknya, kes Melayu merasuah
Melayu, tidak ada (ketawa). Lucu, bukan? Itu soal sosiologinya yang kita harus
ketahui.
Mungkin mereka melihat amalan itu sebagai satu bentuk "perkongsian kuasa"
...?
Barangkali ia berpunca dari kesilapan pejuang-pejuang kitajuga! Awal-awal
lagi kita sudah rela menerima 30 peratus (kuota pengagihan kekayaan dalam DEB
Editor). Apa hal? Ini negara kita, titik peluh kita, perjuangan kita.
Perjuangan Umno akan datang mesti sekurang-kurangnya mencatat penguasaan 50
peratus daripada aset negara ataupun aset korporat di negara ini. Bukan lagi
30 peratus. Kalau setakat 30 peratus, saya fikir "sifir ini" sudah salah!
Awal-awal lagi orang Melayu sudah menghadkan daya usahanya ...?
Sudahlah begitu, tidak berganjak ke mana-mana pun! (ketawa besar) Jadi
mereka yang mendapat 70 peratus mudah sahaja merasuah orang Melayu. Soal ini
soal lucu sebenarnya, tapi walaupun begitu, isu ini menyusahkan pemikiran
kita. Realitinya, ia cukup-cukup mengaibkan bangsa Melayu. #