Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Pilihanraya Kecil DUN Sanggang Pahang DM

Kematian Ahli DUN Sanggang Dato Abdullah Kia membuka kepada satu pilihanraya kecil yang pertama setelah pilihanraya 1999 di Pahang. Tidaklah terlalu awal untuk menyatakan perkara ini kerana selalunya perisytiharan pilihanraya kecil akan dibuat oleh SPR tidak lama selepas kekosongan sesuatu kerusi DUN atau Parlimen. Keadaan ini tentunya membuka peluang kepada PAS untuk kali keduanya menawan kerusi DUN Sanggang yang terletak bersebelahan DUN Semantan yang telah ditawan oleh PAS dalam pilihanraya lepas. Adakah Pas akan dapat menambahkan bilangan kerusi di Dewan Undangan Negeri Pahang. Jika dilihat daripada keputusan pilihanraya 1999 yang lepas majoriti yang diraih oleh BN tidaklah terlalu banyak. BN menang dengan majoriti 1038 undi bermakna PAS hanya memerlukan 520 undi sahaja untuk menang. Tidaklah terlalu sukar jika dilihat dari sokongan pengundi Melayu yang sangat menggalakkan dengan PAS telah memenangi 9 daripada 11 peti undi yang mempunyai 100% pengundi Melayu. Realitinya kemenangan BN di DUN Sanggang hanyalah dibantu oleh undi Bukan Melayu.

Peluang untuk PAS memenangi kerusi DUN Sanggang ini adalah cerah tetapi pihak pimpinan PAS hendaklah meneliti beberapa faktor penting terutamanya calon yang akan bertanding nanti. Calon PAS yang bertanding seharusnya seorang tokoh yang berkaliber untuk meyakinkan pengundi di DUN Sanggang. Pengundi Sanggang tentu sahaja mahukan seorang wakil yang berkaliber untuk mewakili mereka di Dewan Undangan Negeri. Usahlah disia-siakan peluang keemasan ini kerana pengundi-pengundi tentu faham Pas tidak akan dapat memerintah Pahang jika menang sekalipun, sekadar menambahkan seorang lagi tokoh PAS di Dewan Undangan Negeri Pahang. Kalau rakyat boleh berfikir begini tidaklah begitu sukar bagi PAS untuk memenangi pilihanraya kecil ini. Tetapi faktor ini haruslah juga dikuatkan dengan seorang calon yang benar-benar dapat memikat hati rakyat.

Ada bisik-bisik daripada pengundi yang mengharapkan calon PAS yang baru di DUN Sanggang, yang terkenal terutamanya di peringkat nasional. Bukanlah mahu mengenepikan calon yang sedia ada tapi kehendak pengundi harus juga difikirkan secara serius oleh pihak PAS Pusat terutamanya. Umno/BN pastinya sudah merancang untuk meletakkan seorang calon yang kuat untuk mengekalkan penguasaan mereka dan pastinya tidak mahu imej dan ego mereka tergugat, sementara DUN Sanggang tidak pernah terlepas dari tangan mereka. Memandangkan senario sokongan rakyat kini yang trendnya menyokong Parti Alternatif, Umno/BN pastinya lebih berhati-hati.

Pahang sendiri tidaklah ketandusan calon-calon yang berwibawa dan menonjol. Sebagai contohnya Dr.Abdul Wahab Ismail yang merupakan salah seorang AJK Pas Pusat adalah amat sesuai memandangkan pengaruh yang sedia ada di samping kemampuan dan propesyenalisme beliau yang amat diperlukan oleh rakyat. Dalam pilihanraya 1999 lepas beliau hanya kalah tipis di Parlimen Temerloh. Selain itu barisan pembangkang di DUN Pahang juga memerlukan seorang tokoh propesyenal yang dapat memimpin dan memberi idea yang lebih jitu di Dewan Undangan Negeri demi kepentingan rakyat Pahang khasnya.

Jika diteliti dari sudut imej pula, tentulah pilihanraya kecil ini keputusannya akan menaikkan imej parti yang memenanginya. Pas Pahang mahupun Pas Pusat sepatutnya sudah memikirkan dengan serius perkara ini. Sebarang kesilapan, kekurangan dan kelemahan perlulah diperbaiki dengan segera. Kaji dengan mendalam mengapa kawasan Parlimen Mentakab yang berjiran dengan kawasan Parlimen Temerloh langsung tidak memenangi walau satu kerusi, sedangkan kawasan Parlimen Temerloh memenangi 3 kerusi DUN dan hanya kalah tipis di DUN Bera dan Parlimen Temerloh.

Bersebelahan dan berjiran tapi langsung tidak mendapat tiupan kemenangan dari Semantan. Tentu ada kesilapannya. Adakah kepimpinan PAS di Mentakab terlalu lemah atau kurang wibawa untuk memenangkan PAS di Kawasan Mentakab atau pengundi-pengundinya masih belum cukup kesedaran. Sudah cukupkah aktiviti yang dilakukan setakat ini atau perlu ditambah untuk menampung kemenangan. Mengapa pengundi Cina tidak menyebelahi calon Pas dalam pilihanraya lepas. Faktor ini mesti diperhatikan dan sediakan calon yang dapat menambat hati pengundi Cina supaya mengundi PAS. Pilihanraya kecil juga memerlukan peruntukan yang banyak. Tak tahulah samada Pas Mentakab mampu untuk membiayai pilihanraya kali ini. Memanglah tak boleh dibandingkan dengan Umno yangboleh mengeluarkan perbelanjaan tanpa had tapi kalau deposit calon pun terpaksa minta bantuan pendahuluan dari kocek ahli, bagaimana? Harap-harap jangan kempunan lagi sekali ini. Kita lihatlah sama-sama nanti.

Petugas Pas.



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com