Assalammualaikum, YBhg. Datuk Kader Talip,
Tidak perlulah saya memperkenalkan diri saya secara terperinci. Cukup sekadar saya memaklumkan bahawa kita pernah bertemu 2 kali sebelum ini dan sempat untuk berbicara. Yang pasti kita berasal dari satu keturunan dan negeri yang sama. Ikatan persaudaraan antara kita mungkin sekadar-kadar bau-bau bacang dan paling tidak pun saudara seIslam. Oleh itu rasanya adalah lebih mesra untuk saya memanggil YBhg. Datuk sebagai Wak Aji saja. Wak Aji, dalam kedua-dua pertemuan di atas yang berlangsung selepas Wak Aji memberikan kuliah agama yang mana ketika itu Wak Aji masih berjawatan Mufti Wilayah Persekutuan, kita telah berbicara dengan begitu mesra dan berkali-kali Wak Aji menjemput saya membawa keluarga ke rumah Wak Aji di Taman Reko, Kajang untuk mengeratkan tali siratulrahim. Lebih unik lagi apabila para jemaah lain terpegun apabila mendengar kelainan tuturkata yang kita ucapkan, lantas Wak Aji memaklumkan kepada mereka bahawa kita menggunakan Bahasa Ibunda. Sememangnya sejak itu dari kejauhan saya amat menghormati Wak Aji dan terasa juga hiba bila mengenangkan kepedihan Wak Aji akibat tindakan salah seorang anak perempuan Wak Aji telah aktif di bidang seni tanahair yang telah mengecewa dan menjejaskan nama baik Wak Aji ketika itu.
Kekaguman saya terhadap Wak Aji semakin menebal apabila mendengar khabar bahawa faktor Wak Aji tidak dikekalkan sebagai Mufti Wilayah Persekutuan kerana Wak Aji tidak bersetuju dengan hasrat kerajaan Mahathir Mohammad untuk menghidupkan kembali istiadat penggalungan bunga dan tafakur di Tugu Negara. Walaubagaimanapun hati saya mulai gusar apabila mendapat tahu bahawa Mahathir Mohammad telah pula melantik Wak Aji sebagai Imam Besar, Masjid Putra, di Putra Jaya yang bersebelahan dengan Mahligai Air Mata Rakyar RM200 Juta itu. Kekhuatiran saya bahawa si Mahathir Mohammad akan memperguna dan mencemarkan kredibiliti Wak Aji akhirnya menjadi kenyataan. Saya amat terkejut dan terkilan apabila mendapat tahu bahawa Wak Aji telah berkhutbah supaya Raja-Raja Melayu menggunakan institusi-institusi yang mereka terajui ubtuk menyatu-padukan kembali masyarakat Melayu yang kini 'kunun'nya dikatakan telah berpecah-belah. Sungguh sedih mengenangkan Wak Aji juga kini telah dijadikan 'perkakas' untuk kepentingan politik kotor si Mahathir Mohammad dan UMNO Barunya itu.
Wak Aji, izinkan saya menggunakan sebaris-dua 'Bahasa Ibunda' yang pernah kita tuturkan dulu. "Wak Aji! Seto'ng-to'ng nah letu mekuih-kuih idi wu hormati mopa. Jadi weiloh ki idi koh cha kik pong mechuiri simpee lolo sibangsa tah Datuk Dr. Hassan Ali, Dr. Badrul Amin Bahron siba Daing Sanusi Daing Mariok, ajjak nah te majadi padah Najib Tun Razak eppe bodoi-bodoi ki Mahathir ro!!! Koh tee titei aleh ta materu mattaji ata nah la Mahathir, te pesiri-siri mee ta'u ugik ei". Oleh itu demi menjaga maruah Wak Aji, saya meminta usahlah terus-terusan membiarkan Mahathir memperalatkan Wak Aji. Jika tiada pilihan, elok sajalah Wak Aji meletakkan jawatan Imam Besar Masjid Putra itu. Rasanya tanpa gaji Imam Besar itupun, Wak Aji masih mampu hidup agak selesa di Taman Reko, Kajang.
Jikapun Wak Aji tidak mampu memperbetulkan sifat munafik serta fatwa-fatwa songsang Ustaz Haji Mahathir dengan tangan dan mulut, menentang di dalam hati dengan duduk diam, itu adalah lebih bermaruah daripada Wak Aji terus dipandang hina oleh masyarakat Islam kerana bersekongkol dengan si Mahathir yang menyesatkan. Bukankah lebih bermanfaat jika Wak Aji mengisi masa persaraan dengan berbuat amal demi kebaikan dan faedah untuk Agama, Bangsa dan Negara? Bebaskanlah diri Wak Aji dari 'belenggu' si Mahathir itu. Apakah Wak Aji mahu melihat masyarakat Islam meletakkan diri Wak Aji lebih hina dari Ibrahim Ali dan Rais Yatim? Berbanding dengan Ibrahim Ali dan Rais Yatim, tentulah Wak Aji lebih berpengetahuan luas tentang hukum-hakam dan ilmu Islam tetapi persoalannya, mengapakah Wak Aji sanggup menjadi 'talibarut' Mahathir dalam menyebar-luaskan lagi akidah songsangnya? Apakah Wak Aji sudah tidak dapat membezakan dosa pahala dan mengenal syurga neraka setelah di'gula-gula'kan oleh Mahathir? Sedar dan insaflah Wak Aji, bukankah dulu Wak Aji pernah menyatakan kemusykilan tentang sahabat-handai yang Wak Aji temui seperti tidak kepingin bertandang ke rumah Wak Aji walaupun telah dijemput? Oleh itu, akhir kata, saya benar-benar berharap agar hentikanlah persengkonkolan Wak Aji dengan si Mahathir bagi mengelakkan saudara-mara serta sahabat-handai terus menjauhkan diri dari Wak Aji dan masyarakat Islam terus memandang hina kepada Wak Aji. Wassalam.
Shortgun50