Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

PENYOKONG PARTI PEMBANGKANG BANTAH PENAHANAN SETIAUSAHA SOS

PULAU PINANG, 18 Mac (Bernama) -- Sekumpulan 15 orang dipercayai penyokong parti DAP dan Keadilan berkumpul di Balai Polis Jalan Patani sejak tengah hari tadi bagi membantah penahanan Setiausaha "Save Ourselve" (SOS) Ong Boon Keong yang ditahan semalam.

Bagaimanapun, hasrat kumpulan itu untuk menemui Ong tidak kesampaian kerana Ong telah dipindahkan daripada Balai Polis Jalan Patani ke Ibupejabat Kontijen Polis di Jalan Penang untuk siasatan lanjut.

Ong Boon Keong ditahan polis kerana dipercayai mengetuai tunjuk perasaan dan menghalang kereta Ketua Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon ketika beliau hadir merasmikan bangunan warisan "8 row" di Jalan Krian semalam.

Dalam kejadian semalam, sekumpulan penduduk yang terlibat dalam pemansuhan Akta Kawalan Sewa 1997 mengadakan tunjuk perasaan kerana membantah kadar sewa premis mereka yang dinaikkan dengan tinggi oleh pemiliknya akibat pemansuhan akta itu.

Mereka yang pada mulanya memegang kain rentang dari seberang jalan menghala acara perasmian bangunan oleh Koh itu kemudiannya menghalang kereta Ketua Menteri itu dengan kain semasa beliau meninggalkan majlis.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, SAC II Mustafa Abdullah ketika dihubungi mengesahkan penahanan Ong semalam dan kes itu diklasifikasikan sebagai rusuhan.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut mengenai penahanan itu. Menurut beberapa laporan akhbar tempatan hari ini, Koh juga dilaporkan menerima ugutan bunuh.

Pulau Pinang merupakan negeri yang paling ramai penduduknya terlibat dalam pemansuhan Akta Kawalan Sewa itu yang berkuatkuasa pada 1 Januari lalu.

Kira-kira 12,000 premis di negeri ini terbabit dalam pemasuhan akta itu.



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com