Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

 

Kesesakkan Jalan Raya di Kuala Terengganu

Assalamualaikum. Saya di sini ingin memberi sedikit cadangan kepada Jawatankuasa Kerajaan Tempatan di bawah Hj Wan Abd Mutalib Embong mengenai kesesakkan jalan raya di Kuala Terengganu. Semasa cuti Raya atau pada hari Sabtu, Jalan Sultan Ismail dan Jalan Tok Lam adalah yang ketara mengalami masalah ini. Apa yang saya perhatikan, Jalan Sultan Ismail dari Hotel Seri Malaysia ke Stadium S.I.N. Shah, fungsi lampu isyarat tidak mengikut turutan yang betul. Maksudnya, lampu hijau di hadapan Bank Islam tetapi Lampu Merah di Hadapan Pasaraya Hock Kee Seng. Ini tidak melancarkan perjalanan kenderaan... Kenderaan di hadapan Pasaraya Hock Kee Seng belum lagi bergerak, tetapi kenderaan belakang mula untuk bergerak kerana lampu sudah hijau. Tidakkah ini satu sistem lampu isyarat yang menyusahkan pengguna dan menambahkan lagi kesesakkan lalu lintas.

Saya mencadangkan lampu isyarat di Jalan Sultan Ismail di selaraskan iaitu lampu hijau berlaku serentak di ketiga-tiga tempat dari Hotel Seri Malaysia hingga ke stadium S.I.N. Shah. Dan jangka masa lampu isyarat ini dipanjangkan. Perkara ini boleh dirujuk seperti sistem lampu isyarat di Bandaraya Kuala Lumpur dsb. (Jalan Sultan Ismail juga terdapat di Kuala Lumpur, lihat bagaimana sistem lampu isyaratnya.)

Diharapkan perkara ini sampai kepada pihak yang berkenaan dan masalah ini dapat diatasi dengan segera.

Sekian, terima kasih.

ROZANNA OMAR



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com