PAS Kawasan Ampang Jaya menggesa agar Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan tempat tinggal yang sempurna dan tetap kepada penduduk Kg. Seri Damai yang diancam oleh bahaya tanah runtuh. Buat masa ini, mereka hanya ditawarkan penempatan sementara di Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya ( MPAJ ), Pandan Indah.
Walau bagaimanapun mangsa-mangsa kebakaran yang juga dipindahkan ke dewan tersebut beberapa tahun yang lalu masih belum menduduki sebarang tempat tinggal yang tetap walaupun pelbagai janji telah dibuat. Akhirnya mereka terpaksa keluar dari dewan itu dan menyewa di sekitar Ampang Jaya.
Dengan itu, janji dan kenyataan yang dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan Dan Setinggan Selangor, Datuk Mohd. Mokhtar Ahmad dan ADUN Lembah Jaya, YB Ismail Kijo bahawa penduduk yang terbabit akan ditawarkan rumah kos rendah adalah amat payah untuk dipercayai oleh sesiapa.
Ketika ini di Negeri Selangor ribuan telah memohon dan sedang menunggu untuk ditawarkan rumah kos rendah. Malah di Ampang Jaya sendiri terdapat juga ramai yang sudah menunggu bertahun-bertahun lamanya. Dan keadaan pula bertambah kronik apabila prosedur penawaran ini sering dipertikaikan akan ketelusannya di mana terdapat ramai individu-individu yang rapat kepada pemimpin-pemimpin politik tidak perlu menunggu lama untuk mendapat tawaran.
Dengan itu mengenangkan kemungkinan terpaksa tinggal di dewan orang-ramai untuk satu jangkamasa yang tidak diketahui maka penduduk Kg. Seri Damai yang terlibat itu belum lagi keluar dari rumah-rumah mereka.
Dengan itu kami berharap sekiranya Kerajaan Negeri Selangor bersungguh-sungguh hendak membantu penduduk terbabit maka tawaran secara hitam-putih untuk rumah kos rendah yang mampu dibeli oleh mereka dikeluarkan secepat-mungkin.
Selama ini terlalu ramai pemimpin-peminpin politik sama ada di peringkat tempatan mahupun Negeri yang telah sentiasa membuat janji tentang tawaran untuk rumah-rumah kos rendah tetapi pada kelazimannya janji hanya tinggal janji sahaja.
Kami yakin kerajaan negeri tidak mempunyai sebarang masaalah untuk menawarkan penduduk yang malang itu rumah-rumah kos rendah kerana telah berlaku di mana "kroni-kroni" pemimpin politik mendapat tawaran tanpa perlu menunggu bertahun-tahun lamanya. Dengan itu sudah tentulah di dalam kes yang memerlukan dan yang lebih layak seperti ini perkara yang sama boleh juga dilakukan. Kami juga difahamkan terdapat kuota khas untuk kes-kes kecemasan seperti yang berlaku di Kg. Seri Damai ini.
PAS Kawasan Ampang Jaya juga menggesa agar kerajaan negeri dan ADUN Lembah Jaya agar tidak semata-mata mempersalahkan penduduk yang tidak mahu pindah tetapi bersikap lebih bertanggung-jawab dengan menyelidiki sebab-sebab mengapa penduduk kampung membuat keputusan yang sedemikian.
ISKANDAR HAJI ABDUL SAMAD
SETIAUSAHA PAS KAWASAN AMPANG JAYA
CALON PAS N.21 LEMBAH JAYA PILIHANRAYA UMUM 1999
22 ZULKAEDAH 1420 / 28 FEBRUARI 2000