PAS Kawasan Ampang Jaya menganggap kejadian tanah runtuh di Kg. Seri Damai sebagai satu tragedi yang sepatutnya boleh dielakkan. Di dalam tragedi 24 Februari itu seorang kanak-kanak berumur 4 tahun telah terkorban ketika beliau sedang mandi. Rumah yang didiami keluarga kanak-kanak itu telah ditimbus oleh tanah-tanah yang runtuh.
Sejak 12 bulan lalu, 4 kejadian tanah runtuh telah berlaku di sekitar Ampang Jaya. Sebelum ini telah berlaku tanah runtuh di Bukit Antarabangsa ( Hulu Kelang ), Taman Bukit Indah, Kg. Cheras Baru dan yang terakhir di Kg. Seri Damai ini yang bersempadan dengan Kg. Cheras Baru.
Sepatutnya dari pengalaman kejadian-kejadian tanah runtuh ini, Majlis Perbandaran Ampang Jaya ( MPAJ ) sudah mempunyai satu pasukan khas yang berpengalaman untuk memantau segala cerun-cerun yang merbahaya di bawah bidangkuasanya.
Kami telah difahamkan MPAJ dengan kos yang tinggi telah menghantar kakitangannya ke Hong Kong pada pertengahan tahun lepas untuk mempelajari bagaimana pentadbiran di sana menangani cerun-cerun yang merbahaya. Walau bagaimanapun mengapakah masih berlaku tanah runtuh setelah perbelanjaan yang banyak dikeluarkan ?
Juga tragedi yang berlaku di Kg. Seri Damai menunjukkan bahawa MPAJ sebenarnya tidak pernah belajar dari peristiwa-peristiwa tanah runtuh yang lepas. Tragedi Highland Towers telah juga berlaku di Ampang Jaya dan walaupun ketika Highland Towers dibina MPAJ belum lagi diwujudkan namun setidak-tidaknya ianya dapat menyedarkan MPAJ bertapa masaalah tanah runtuh perlu diberikan perhatian yang khusus olehnya.
Rakyat ingin tahu apakah peranan wakil-wakil rakyat mereka yang dilantik sebagai ahli majlis MPAJ di dalam masaalah ini. Bagi PAS, kami sentiasa menggesa agar ketelusan wujud di dalam pentadbiran MPAJ. Sepertimana yang telah dinyatakan di dalam manifesto bersama Barisan Alternatif bagi pilihanraya umum yang lepas, ahli-ahli majlis kerajaan-kerajaan tempatan perlulah dipilih oleh rakyat melalui satu pilihanraya yang bebas dan bukannya dilantik di atas dasar-dasar yang tidak ketahui oleh sesiapa agar ketelusan ini dapat diperolehi.
Walau bagaimanapun untuk tindakan terdekat kami menggesa agar MPAJ melakukan satu kajian yang terperinci terhadap semua cerun-cerun di Ampang Jaya dan melaksanakan kerja-kerja untuk memastikan tragedi-tragedi tanah runtuh seperti ini tidak berulang lagi.
Berapa nyawakah perlu dikorbankan sebelum satu perancangan yang benar-benar berkesan dapat dihasilkan dan dilaksanakan secara bersungguh-sungguh ?
ISKANDAR HAJI ABDUL SAMAD
SETIAUSAHA PAS KAWASAN AMPANG JAYA
CALON PAS N.21 LEMBAH JAYA PILIHANRAYA UMUM 1999
22 ZULKAEDAH 1420 / 28 FEBRUARI 2000