Beberapa minggu sebelum pilihan raya umum 1999 [4 - 5 November 1999], saya berkunjung ke Dungun kerana dipaksa teman baik sekampus dulu untuk berceramah. Bukan senang menutur kata bagi seorang yang hanya berucap di depan publik sekali dalam setahun.
Ketika itu saya mengandaikan, Dr Mahathir tidak berani mengadakan pilihan raya pada tahun-tahun yang angka hujungnya 9. Ini kerana pilihan raya yang diadakan pada tahun 1959 menyebabkan PAS menawan Terengganu (walaupun tempohnya hanya dua tahun empat bulan sepuluh hari ), manakala pada 1969, meskipun Perikatan menang tipis dengan kelebihan dua kerusi di peringkat DUN, namun jumlah undi keseluruhan PAS di negeri itu mengatasi undi Perikatan.
PAS memperolehi 61,619 undi sedangkan Perikatan 61,495. Saya sekadar berseloroh bila menyebut Mahathir, dalam konteks Terengganu, pasti tidak membubarkan Parlimen pada 1999 kerana takutkan badi 9. Rupanya saya tidak perlu menunggu lama menyaksikan sejarah baru dibentuk di Terengganu apabila PAS menang besar pada 29 November 1999, hampir mengulangi kemenangan gemilang Kelantan pada 1990.
Jika dirujuk sejarah kekuatan asas (power base) PAS di Terengganu, kemenangan itu tidaklah mengejutkan. Yang menakjubkan mungkin bilangan kerusi yang dimenangi, yakni 28 daripada 32 kerusi DUN dan membolot semua lapan kerusi Parlimen, jika dirangkumkan bersama Kemaman yang dimenangi keADILan.
Malah majoriti kemenangan ternyata cukup selesa, misalnya di Kuala Terengganu (14,448 undi) dan Marang (12,700 undi). Selepas PAS keluar BN, catatan peratusan undi BN sejak 1978 sehingga 1995 adalah di bawah 60%, kecuali pada 1986, itu pun sekadar 60.08%. Kekuatan yang sedia ada pada kita sudah 45% berbanding dengan BN,kata Haji Mustafa Ali, Naib Presiden PAS yang juga Setiausaha Perhubungan PAS Terengganu. Paling rendah pun yang kita pernah terima ialah 40%. Tahun 1990 dan 1995 kita mendapat 45-46%. Jadi kita memerlukan peralihan tujuh peratus sahaja sudah cukup untuk kita menang, tambahnya.
Penguasaan kerusi DUN juga mendefinisikan Terengganu sebagai negeri kedua terkuat pengaruh PAS selepas Kelantan. Pada 1969, PAS menang 11 kerusi berbanding Perikatan 13; 1990, bersama Semangat 46 mendapat 10 kerusi; dan 1995, PAS mendapat lapan kerusi. Sementalahan pula kepemimpinan PAS Terengganu merupakan tokoh utama di peringkat pusat, misalnya Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ustaz Harun Taib, Mustafa Ali, Ustaz Abu Bakar Chik dan Wan Mutalib Embong.
Justeru teori ala-domino acap kali ditimbulkan bagi menggambarkan BN akan tumbang di Terengganu selepas kalah di Kelantan. Kemenangan besar PAS di Terengganu sepatutnya membuka laluan lebih mudah bagi PAS menguasai negeri-negeri lain, misalnya Kedah, Pahang dan Perlis. Kelantan sememangnya dianggap negeri yang secara tradisinya dikuasai PAS.
Cuma pada 1978 sehingga 1990, Umno merampas Kelantan dari PAS. Dan PAS mengambil alih semula pada 1990, maka kekallah Kelantan sebagai negeri PAS,kata seorang pemerhati. Senario berbeza di Terengganu. Selama ini ia dianggap negeri kaya minyak yang akan dipertahankan habis-habisan daripada ditawan PAS.
Ada pihak berpandangan, Mahathir mungkin boleh menerima hakikat Kelantan akan terus dikuasai PAS, tetapi untuk membenarkan Terengganu mengulangi nasib sama, Mahathir pasti ada helah untuk mengecewakan PAS.Halangan kewangan di Kelantan menyukarkan PAS membangunkan negeri itu, namun bebanan ini tidak ketara di Terengganu. PAS dapat mendaulatkan Islam di Terengganu, menunjukkan sistem pemerintahan yang telus dan bertanggungjawab, serta membangunkan ekonomi negeri dengan baik, ulas seorang pensyarah sains politik.
Pesisir laut Terengganu mengandungi 64 peratus simpanan minyak negara yang dianggarkan boleh mengeluarkan 3.9 bilion tong. Simpanan gasnya pula dianggarkan sebanyak 86.9 trilion padu persegi. Pada masa ini Terengganu mengeluarkan 300,000 tong minyak sehari dan memperolehi pendapatan royalti antara RM500 juta hingga RM600 juta setahun. Keupayaan kerajaan negeri menguruskan hasil bumi Terengganu dan mengembangkan potensi ekonomi yang diabaikan BN selama ini akan menjadi perhatian umum, khususnya daripada pengundi bukan Melayu.
BN dikatakan terlalu mengharapkan hasil petroleum sehingga tidak meneroka peluang lain, misalnya industri pelancongan dan pertanian. Beberapa kejutan awal ekoran perubahan yang dibuat, misalnya isu kharaj, cuba dieksploit media bagi memburukkan kerajaan PAS pada kacamata bukan Islam. Baru-baru ini, peraturan bertudung bagi wanita juga tidak sunyi dari dijadikan polemik berpanjangan untuk terus menggambarkan PAS sebagai ekstrimis dan pelampau.
Dikatakan isu tudung ini juga dijadikan isu oleh MCA untuk menyerang calon PAS di Sanggang. PAS tentunya sudah menjangka, apa saja tindakannya di Terengganu dan Kelantan akan cuba disorot dari perspektif negatif oleh media utama negara ini. Melihat pengalaman pimpinan PAS Terengganu melalui pilihan raya umum, mereka jelas cukup berhati-hati dan merangka strategi dengan teliti sehingga dalam hal yang dilihat remeh-temeh pun diberikan perhatian serius.
Diharapkan ketelitian itu dapat diterjemahkan sewaktu mereka merangka dasar-dasar dan pendekatan baru kerajaan negeri. Kerajaan negeri seharusnya menerbitkan buletin semasa yang merakamkan, misalnya perubahan-perubahan penting yang menyentuh rakyat jelata, secara lebih kerap dan profesional. Kadang-kadang perkara baik yang dilakukan, jika tidak diiringi dengan penerangan yang jelas dan menyeluruh boleh membawa tanggapan berbeza, apatah lagi jika ia diberi gambaran buruk oleh media pihak lawan.
Setakat ini, difahamkan, setelah lebih tiga bulan PAS memerintah, buletin seumpama itu belum lagi dapat dikeluarkan. Diharap jika ada masalah berbangkit, ia harus diselesaikan segera. Berbanding Kelantan, PAS Terengganu mungkin lebih selesa mengatur rentak. Kemenangan Kelantan pada 1990 banyak difaktorkan oleh unsur luaran, misalnya pengaruh Tengku Razaleigh Hamzah dan peranan istana.
Sedangkan kemenangan PAS Terengganu tidak dibayangi faktor-faktor yang mungkin mengikatnya di masa depan. Dan lebih penting lagi, hubungan PAS-keADILan di Terengganu jauh lebih baik dan serasi berbanding pakatan PAS-Semangat 46. Sebelum ini dihebohkan bahawa pimpinan PAS Terengganu cukup berhati-hati untuk mengadakan persefahaman politik dengan pihak lain. Kedudukan dan peranan Kerajaan PAS Terengganu begitu penting bagi mencaturkan senario politik Malaysia di masa akan datang.
Tidak dapat dipastikan apakah keputusan di Sanggang juga sedikit sebanyak dipengaruhi penguasaan PAS di Terengganu dan Kelantan. Ataupun pengundi di sana terus jahil dengan rancangan pembaharuan PAS bagi menjaga kepentingan rakyat. Lebih malang jika ia boleh menjadi bebanan pula. Namun percikan sinar gemilang di Terengganu seharusnya melimpah, sekurang-kurangnya kepada negeri yang berjiran. PAS jangan terlalu berbangga dengan sokongan kuat yang diberikan pengundi Melayu pada pilihan raya lalu. Mereka boleh berubah jika tidak dijaga.
Di samping terus mencuba mendekati bukan Melayu, asas kekuatannya di kalangan orang Melayu harus dimantapkan lagi,Ó ulas seorang wartawan politik, yang merasakan kempen PAS di Sanggang mengabaikan pengundi Melayu. Komposisi kaum di Terengganu mungkin berbeza jauh dengan keadaan di Pahang atau Kedah, tetapi respons pengundi Cina terhadap dasar dan rancangan kerajaan negeri boleh mempengaruhi pengundi bukan Melayu di luar.
Memanglah kebiasaan media membesarkan keburukan dan menenggelamkan kebaikan. Oleh itu jentera penerangan kerajaan negeri harus melihatnya sebagai cabaran bagi memangkinkan lagi gerak kerja menjelaskan segala isu berbangkit kepada semua kaum. Mungkin terlalu awal menghakimi prestasi kerajaan PAS Terengganu apatah lagi Mahathir dilihat amat jarang mengulas mengenainya, berbeza dengan responsnya terhadap kerajaan Kelantan.
Tapi, jika dilihat langkah awal menstrukturkan semula kepemimpinan Umno Terengganu, PAS tidak perlu merasa gentar. Kesatuan dalaman Umno belum dapat dipulihkan sepenuhnya. Dalam pada itu, pendekatan Umno di Sanggang patut mengingatkan semua pihak, termasuk PAS Terengganu, jangan pandang rendah usaha Umno memulihkan imejnya semula khususnya mendekati pengundi Melayu.
Ahmad Lutfi Othman
Di Petik daripada Risalah 100 hari selepas kemenangan