Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

Astora….ANASIR ASING KATALIS PERPECAHAN
(Reaksi Debat Utusan Malaysia 31/3/2000)

Setelah dua minggu Astora tamatkan di pertengahan jalan muzakarah antara saya dengannya, tiba-tiba minggu ini beliau munculkan semula kritikan saya (Astora Pendusta Agama - siri I) yang dikatakan sebagai yang pertama pada tahun lepas, sedangkan itu adalah kritikan saya yang keempat terhadapnya selepas "Sumpah Dengan al-Quran", "`Umar r.a. Pelaksana Hudud, Bukan Pengubah" dan "Astora Melakukan Perkara Yang Merosakkan Aqidah" , yang hanya sebuah daripada rencana-rencana itu disiarkan secara tidak lengkap walaupun Astora berjanji untuk menyiarkannya tanpa dipotong. Memang itu tabiatnya, bila bercakap (menulis), ada campuran dusta, bila berjanji, ada yang dimungkiri, bila berbalah, dia sentiasa hendak menang walaupun kalah hujah. Cuma satu lagi yang belum dipastikan: bila diberi amanah, tidak pasti sama ada khianat atau tidak. Tetapi amanah sebagai wartawan seterusnya dinaikkan pangkat sebagai pengarang agama nampaknya setakat ini telah dikhianati dengan menghidangkan pembaca dengan tulisan-tulisan yang antaranya menyeleweng, menyesat, mengeliru dan mengakibatkan perpecahan umat terutama tentang beberapa hukum-hakam Islam yang telah disepakati sejak zaman berzaman oleh seluruh ulama Islam yang muktabar sehinggalah ianya dikhilafkan oleh Astora dan kuncu-kuncunya.

Sifat-sifat Astora yang saya sebutkan di atas bukanlah hukuman, tetapi hanyalah beberapa sifat yang pernah disebutkan oleh Nabi s.a.w. secara umum tanpa mengaitkan sesiapa. Sifat-sifat itu pula telah saya buktikan kewujudannya pada diri Astora. Ringkasnya, berdasarkan ilmu mantiq, saya tidak pernah membuat natijah (hukuman/keputusan) kepada muqaddimah shuhgra atau kadang-kadang kubra yang dinyatakan. Terpulanglah kepada pembaca dan Astora sendiri untuk menentukan natijahnya dan yang muktamad ialah yang diketahui Allah s.w.t. sahaja. Nabi s.a.w. menyebutkan sifat-sifat itu hanyalah sebagai panduan untuk kita mengenali sesuatu dan berwaspada daripadanya, bukan untuk menghukum.

Tegaskan

Sebelum saya menyambung reaksi terhadap Debat Utusan 31/3/2000 ini, sukalah saya tegaskan di sini bahawa saya tidaklah sekali-kali menggalakkan para pembaca membeli akhbar Utusan dengan terpaparnya tulisan-tulisan saya yang merupakan reaksi kepada ruang-ruang tertentu dalam akhbar itu. Para pembaca tidak perlu membeli media massa yang diboikot sebagai menyahut seruan gerakan yang menyedari kepupusan hak bersuara dan kebebasan akhbar di negara kita ini. Cukuplah dengan membaca sahaja apa yang patut dibaca sama ada di pejabat, kantin, kedai kopi atau mana-mana sahaja terlintas, tapi ingat: jangan beli. Kalau pembaca hendak baca lebih mendalam sedikit, lawati secara percuma laman akhbar-akhbar terbabit dalam internet. Ingat, jangan beli. Ini adalah tindakan balas yang amat wajar atas cengkaman ke atas beberapa akhbar dan terbitan bagi pihak suara alternatif. Dengan mengambil tindakan ini, diharapkan `perencanaan dan strategi' Astora bagi pihak Utusan untuk melariskan akhbarnya yang telah terbantut itu dengan menyiarkan beberapa cebis rencana kritikan saya, tidak akan memberi kesan kepada pemulihan jualannya.

Kali ini ruang Debat itu bertajuk Berdebat mesti cara Islam, di mana Astora menasihatkan agar kita mematuhi etika berdakwah dan berbahas seperti yang disarankan oleh ayat 125 Surah al-Nahl, jauhkan daripada berburuk sangka, elakkan dari menggunakan pendekatan Khawarij yang suka menghukum, jangan membuat tafsiran sendiri tanpa bukti dan macam-macam lagi. Sungguh bagus dan cantik nasihat -nasihat tersebut jika ianya diamalkan dahulu oleh orang yang menasihati. Malangnya Astora jauh tersasar dari himpunan nasihat itu bila menulis tentang musuh parti yang dipujanya. Bila ditegur, beliau akan kata "penulis hanya mengkritik pandangan mereka, bukan peribadi mereka". Sedangkan siapa tidak tahu perbuatan mempersenda dan memperleceh pakaian jubah serban yang dipakai oleh ulama yang amat dibencinya itu. Begitu juga dengan seorang ulama yang dikritik secara keras tentang isu jampi yang turut disiarkan gambarnya sekali tahun lepas. Apakah itu namanya kritikan pandangan, bukan kritikan peribadi? Tetapi begitulah taktik Astora setiap kali tulisan kurang ajarnya ditegur oleh pembaca.

Ular kena godam

Saya membaca dan meneliti tulisan Berdebat mesti cara Islam itu, seperti tulisan-tulisannya sebelum ini sebanyak beberapa kali. Nampaknya Astora menulis untuk menjawab kritikan saya kali ini dengan kelam-kabut tidak tentu haluan, banyak kesalahan dalam mengeja, tertinggal perkataan dan susunan ayat yang tunggang terbalik, menyebabkan pembaca terpaksa membuat andaian sendiri untuk memahaminya. Maklumlah, ibarat seekor ular yang merasakan dirinya berbisa dan dikatakan orang sebagai berbisa, tiba-tiba digodam dan digodam dengan sebatang buluh yang bisanya tidak nampak, tapi cukup untuk membuat ular bisa itu meronta-ronta, melenting-lenting dan sekali-sekala menyerang balas tidak tentu haluan. Hanya menunggu beberapa pukulan dan godaman lagi untuk menghembuskan nafasnya yang terakhir. Astora berada dalam keadaan itu sekarang. Kalau semua tulisan saya disiarkan dalam media perdana, Astora tidak akan mengangkat kepala lagi. Tidak `mati'…(sebab saya pun tidak mahu beliau terus `mati'), tetapi cuma mampu menggerakkan bola matanya ke kiri ke kanan sambil berkedip-kelip lemah tidak bermaya. Apa nak buat, buluh yang saya gunakan untuk godam `ular' itu tidaklah besar mana dan pendek pula, sebab itu `ular' itu masih berani beraksi walaupun dalam keadaan tidak keruan, patuk sana, belit sini, libas kanan, sembur kiri….lama kelamaan terkulai keletihan. Bagi pihak saya, godaman dan pukulan itu akan diteruskan walaupun dengan buluh yang kecil dan pendek itu, sehinggalah `ular' itu menyerah kalah dan memohon maaf atas patukannya terhadap orang yang tidak bersalah.

Astora membawa terjemahan ayat 125 Surah al-Nahl untuk mengukur sejauh mana adab Islam yang saya gunakan dalam berbincang, berbahas dan berdebat. Beliau menuduh saya tidak mengetahui adab kerana "menggunakan pendekatan puak Khawarij untuk menghukum orang…….tanpa mempunyai bukti yang jelas bahawa orang itu melakukan kesalahan seperti yang didakwa itu." Astora menyambung, "Dalam ayat yang sama (al-Nahl: 125) Allah menjelaskan bahawa Dia sajalah yang mengetahui siapa yang sesat dan siapa yang mendapat petunjuk." Astora meneruskan syarahannya dengan memetik sebuah hadis Nabi s.a.w. yang menegur sahabat yang menghukum bunuh seorang yang disyaki kafir dan memerangi Islam: "Apakah kamu telah membelah hati (terjemahan tepatnya: dada) mereka?" Berdasarkan terjemahan nas-nas tersebut, Astora membuat konklusi "Ini menjadi bukti yang jelas lagi nyata bahawa saudara tidak matang dalam pemikiran Islam." (Debat Utusan 31/3/2000)

Untuk memutuskan secara lebih adil sama ada saya ini beradab atau tidak, sila siarkan semua kesebelasan tulisan saya sebelum ini tanpa dipotong seperti yang saudara Astora janjikan dalam Debat Utusan 18/2/2000. Secara peribadi memanglah Astora kata saya tidak beradab, tapi itu hanyalah perasaannya sendiri yang tidak sedar bahawa tulisannya (yang mencerca dan menghina beberapa pihak yang dihormati dan disegani di Malaysia dan dari dunia Arab) itu lebih tidak beradab, biadab, kurang ajar dan kontang kesopanan terhadap golongan yang berilmu atas slogan `kritikan pandangan bukan peribadi'. Untuk mengetahui sama ada hukuman (sebenarnya dakwaan) saya terhadapnya mempunyai bukti yang jelas atau tidak, dan pemikiran Islam yang saya bawa matang atau tidak, sekali lagi sila bentangkan keseluruhan tulisan saya kepada para pembaca tanpa dipotong. Biar pembaca membuat keputusan seperti cadangan saudara dulu (Debat Utusan 18/2/2000), bukan keputusan peribadi saudara. Apakah Astora berani kotakan janji dan cadangannya dulu? Kita tunggu dan lihat, setakat ini nampaknya tiada tanda-tanda beliau akan menyiarkan tulisan saya tanpa edit. Janjinya dulu adalah tindakan luar kawalan yang tidak disengajakan kerana terlalu melenting dek godaman dan pukulan saya. Tetapi bila berjanji, ianya wajib ditunaikan, kalau tidak beliau akan jadi kawan `Abdullah bin Ubay.

Allah lebih mengetahui

Astora mendakwa berdasarkan ayat 125 Surah al-Nahl itu bahawa Allah sahajalah yang mengetahui siapa yang sesat dan siapa yang mendapat petunjuk. Dengar sini wahai Astora! Sekali lagi saudara menyelewengkan ayat al-Quran dan kehendak Allah dalam ayat tersebut. Sebenarnya Allah berkata bahawa Dialah yang lebih mengetahui (a`lamu) siapa yang sesat dan siapa yang dapat petunjuk, bukan Dia sahajalah yang tahu, yang membawa maksud bahawa yang selain-Nya tidak tahu. Tengok baik-baik maksud ayat itu, jangan gelojoh sangat!

Kalau benarlah tafsiran menyeleweng Astora bahawa hanya Allah sahajalah yang mengetahui siapa yang sesat dan siapa yang dapat petunjuk, bagaimana pula Astora (yang merupakan makhluk selain Allah) dapat tahu bahawa puak Khawarij itu sesat dan suka menghukum puak lain? Bagaimana pula Astora tahu bahawa Dr. Yusuf al-Qaradawi dan beberapa ulama terkenal di Malaysia mengeluarkan fatwa sesat dan serong, sedangkan Astora kata hanya Allah sahaja yang mengetahui siapa yang sesat? (Baru-baru ini Astora menyiarkan berturut-turut fatwa al-Qaradawi mengenai hukum merokok dan hiburan, mungkin untuk `cover-up' fitnahnya sebelum ini yang menuduh al-Qaradawi mengeluarkan fatwa sesat dan serong berkenaan hukum tuduhan zina tanpa saksi). Bagaimana pula kita tahu bahawa orang Yahudi dan Kristian itu sesat sedangkan menurut Astora hanya Allah sahaja yang mengetahui siapa yang sesat, manusia tidak dapat mengetahuinya melainkan dengan membelah dada orang yang didakwa terlebih dahulu. Dalam membuat tuduhan sesat dan menyeleweng terhadap Khawarij dan beberapa orang ulama yang tidak sealiran dengannya, Astora seolah-olah sama pengetahuannya dengan Allah kerana berdasarkan tafsiran menyeleweng Astora itu, tiada yang lain mengetahui kesesatan seseorang melainkan Allah sahaja. Cuba jelaskan semula wahai Astora…!

Sebenarnya Allah tidak berkata hanya Dia yang mengetahui siapa yang sesat dan siapa yang dapat petunjuk, tetapi Allah berkata Dialah yang lebih mengetahui orang-orang tersebut. Maknanya kita sebagai manusia juga boleh mengetahui siapa yang sesat dan siapa yang dapat petunjuk berdasarkan perbuatan dan tingkah lakunya, tetapi Allah mengetahuinya secara hakikat dan lebih mendalam lagi.

Astora memang selalu putar belitkan ayat al-Quran dan hadis, jadi tidak hairanlah dalam hendak mempertahankan dirinya pun beliau masih menggunakan taktik yang sama, dengan harapan pembaca tidak perasan. Dalam menjatuhkan hukuman, memang seseorang itu mesti mempunyai bukti yang sahih tanpa keraguan. Apatah lagi hukuman bunuh seperti yang Astora sebutkan dalam hadis berkenaan itu. Tetapi saya tidak pernah menjatuhkan apa-apa hukuman terhadap Astora, yang ada hanyalah dakwaan yang disertakan bukti-bukti objektif daripada apa yang ditulis oleh Astora sendiri. Jadi apa perlunya saya membelah dada Astora dahulu untuk membuat dakwaan. Kalau dalam mahkamah, saya ini ibarat pendakwa raya yang sedang mendakwa yang tertuduh (Astora) dengan berpuluh bukti yang menjadi prima facie. Astora berhak membela diri untuk mendatangkan keraguan terhadap pertuduhan jika mampu. Pendakwa tidak boleh menghukum walaupun terdapat banyak prima facie dan bukti, hanya hakim sahaja yang berautoriti menjatuhkan hukuman dan memastikan pelaksanaannya. Adakah Astora faham prosedur ini?

Setelah mendakwa saya tidak matang dalam pemikiran Islam, Astora menambah, "Dengan itu (tidak) hairan kini ada orang Pas marah muncul tulisan saudara dalam ruangan ini." Cuba Astora sebutkan siapa orang Pas yang marahkan saya atau Astora sendiri kerana kemunculan beberapa bahagian tulisan saya itu. Kalau dia nak marah pun, apa kena mengena dengan saya? Saya tidak pernah mewakili Pas dan Pas tidak pernah melantik saya jadi wakil, hanya Astora yang menyibuk hendak mengaitkan saya dengan Pas dalam setiap kritikan lemahnya terhadap saya.

99 peratus bersetuju ?

Astora mendakwa bahawa pembaca yang mahir perundangan Islam dan mampu mengesan pendustaannya atas nama Islam malangnya hanyalah saya seorang, manakala 99 peratus lagi adalah pembaca yang bersetuju dengannya. Ini adalah angka yang amat sukar untuk dipercayai, kononnya hanya satu peratus yang tidak bersetuju dengannya. Berdasarkan e-mel daripada pembaca yang disiarkan itu ianya boleh dikatakan 50 peratus bersetuju dan 50 lagi menentang. Yang bersetuju itu pun dalam keadaan persetujuan yang bukan rasional tetapi lebih kepada persetujuan atas dasar kecenderungan kepartian yang sama dengan Astora dan dalam keadaan mereka belum membaca tulisan saya secara penuh walaupun sebuah. Adalah satu pembohongan yang melampau mendakwa 99 peratus bersetuju dan hanya satu peratus menentang. Tetapi kita tidak boleh menghalang Astora untuk berkata begitu, biarlah dia terus mendakwa seratus peratus pembaca bersetuju dengannya sekalipun.

Sebenarnya bukan saya seorang yang bangun menyanggah penyelewengan Astora, tetapi ramai yang bersedia untuk melakukan tugas yang sama. Tetapi bila mereka mengetahui saya telah melaksanakan tugas tersebut mereka memberi sokongan yang tidak berbelah bagi dan tidak membuang masa untuk melakukan tugas yang telah diselesaikan. Antara orang yang bangkit dengan lantang menyanggah Astora ialah Ustaz Mohd Asri Zainul Abidin, yang tulisannya beberapa kali tersiar dalam Eksklusif. Dengar khabar dari Bukit Mertajam, Astora akan berdebat dengan Ustaz Mohd Asri ini tentang isu negara Islam pada 8/4/2000 nanti. Kita tunggu dan lihat. Namun tidak payahlah saya nyatakan bilangan penyokong saya dengan angka yang melampau seperti rekaan Astora itu. Cukup untuk saya katakan setakat ini hanya terdapat seorang bernama Zulkifli Abd Latif (zulkas@tm.net.my) yang masih mengutus e-mel kepada saya menyoal tentang siapa saya, di mana saya belajar diselang-seli dengan bahasa yang kadang-kadang tidak sopan dan akhir sekali dia kata saya sombong kerana tidak bersetuju dengannya. Saya tidak kisah sangat dengan orang seperti Zulkifli itu, kerana dia pun ada memberitahu bahawa dia lulusan SRP tahun 70-an. Tetapi hari ini (3/4/2000) saya terima e-mel daripada Zulkifli mengatakan beliau tidak berminat lagi berurusan (bermuzakarah) dengan saya. Baguslah, beliau datang saya tidak jemput dan pergi pun saya tidak halau. Dua orang lagi yang memakai nama Kias Fansuri dan Nasrul Hadi telah mendiamkan diri setelah saya mencadangkan beliau membaca dulu semua rencana sanggahan saya terhadap Astora sebelum menyerang saya. Agaknya mereka berdua telah membacanya dan telah faham bahawa dakwaan pendusta agama terhadap Astora itu adalah betul. Tahun lepas ada seorang yang amat banyak syubhat dan kekeliruannya, Mahzan Ismail beralamat mahzanmail@yahoo.com bermuzakarah dengan saya tentang isu lain, bukan tentang tulisan Astora. Oleh kerana beliau mempunyai kekeliruan yang amat banyak, saya tidak cukup masa menjelaskannya kerana pada saya lebih baik masa itu digunakan untuk memberi penerangan kepada pembaca yang lebih ramai berbanding Mahzan seorang itu. Tiba-tiba baru-baru ini komen beliau muncul dalam E-MEL DARIPADA PEMBACA, Utusan 26/3/2000 dengan mendakwa saya penakut kerana tidak mengisytiharkan diri sebagai ahli Pas!. Yang terkini, saya terima e-mel daripada Maziah Babu (m4ziah@hotmail.com) yang mendakwa saya tidak layak dipanggil ustaz (saya pun tidak minta orang panggil saya demikian) dan mengatakan ilmu saya dalam pengajian Islam amat cetek. Katanya, mungkin saya digelar ustaz kerana saya mengajar muqaddam kepada budak-budak atau kerana saya pakai jubah dan kopih putih. Seterusnya beliau mencadangkan agar gelaran `ustaz' untuk saya itu dicampakkan ke dalam longkang saja! Agaknya mereka inilah antara `ahli akademik kelas pertama' yang bersetuju dan menyokong Astora.

Itu sahajalah (5 orang) yang pernah kontra terhadap saya melalui e-mel, walaupun Astora telah membuat rayuan kepada pembaca agar tolong memberi penjelasan kepada saya bahawa Astora bukanlah pendusta agama. Sedangkan pembaca yang bersetuju dan ternanti-nanti jawapan saya jumlahnya beratus termasuk ahli-ahli akademik, pekerja-pekerja awam dan swasta yang terpelajar serta penyokong dan ahli Pas sendiri. Ini bukan untuk berbangga, sekadar makluman kepada Astora yang terlalu syok dengan penerimaan setengah pembaca yang tiada rasional ilmu.

Kerjasama bukan Islam

Astora mendakwa pembaca biasa dan orang awam Islam kini telah jelas tentang pendirian Pas yang tidak konsisten dalam masalah kerjasama dengan bukan Islam. Jadi, kononnya Pas tidak betul. Itu hanya resolusi yang dibuat oleh pembaca yang sememangnya jahil dan tidak mahu belajar. Dulu memang Pas mengatakan kerjasama Umno dengan bukan Islam itu adalah haram, dan sampai sekarang pun begitu juga hukumnya kerana kerjasama itu atas dasar mengekalkan pemerintahan sekular dan mempertahankan undang-undang zalim buatan manusia penjajah. Kerjasama atas dasar itu memang hukumnya haram. Jangankan kerjasama dengan bukan Islam, jika bekerjasama dengan sesama Islam pun hukumnya haram juga jika atas dasar tersebut itu. Ini kerana Allah sendiri melarang kita bertolong-tolongan dalam perkara dosa dan pencabulan/permusuhan. Sebaliknya Allah menyuruh kita bertolong-tolongan dan bekerjasama dalam hal kebajikan dan takwa (Lihat ayat 2 Surah al-Maidah). Jadi sekarang Pas bekerjasama dengan DAP dalam hal menegakkan keadilan dan menentang kezaliman, yang tidak syak lagi termasuk dalam perkara kebajikan dan takwa yang diperintahkan Allah supaya kita bekerjasama melakukannya. Astora tidak faham lagi ke perkara ini lalu menuduh Pas tidak betul? Kalau Astora sendiri masih tidak faham, maka pembaca yang menganggap tulisan Astora sebagai kitab pengajian Islam itu lebih-lebih lagilah tidak fahamnya. Tapi rasanya Astora sudah faham, cuma dia buat-buat tidak faham demi survival cari makannya.

Akhir sekali Astora membuat penjelasan bahawa bukti pertama dakwaan saya terhadapnya sebagai pendustaan agama, (iaitu mengada-adakan terjemahan ayat al-Quran yang tidak wujud) itu hanyalah sebagai "niat jahat saya untuk memjatuhkan namanya", sedangkan dakwanya, "tidak masuk akal orang yang berkelulusan Syariah, Ulum al-Quran dan Ulum al-Hadis sepertinya boleh melakukan kesalahan itu". Menurutnya lagi, "orang yang berfikiran seperti saudara (saya) tidak akan mampu menjatuhkan nama baiknya". Sedangkan para ulama yang saya iktiraf pun "tidak akan mampu melakukannya". Buktinya sampai kini "belum ada teguran dan kritikan yang ditulis beliau terhadap ulama-ulama itu dapat dijawab. Malah, teguran dan kritikannya menyebabkan para ulama itu berhati-hati membuat kenyataan bersifat agama dan ada yang telah menutup mulut terus." (Debat Utusan 31/3/2000).

Baiklah, bukti dakwaan pendusta agama yang pertama telah dijawab oleh Astora dengan jawapan yang amat rapuh, sedangkan saya meletakkan analisis sebab mengapa Astora membuat terjemahan salah begitu. Bagaimana pula dengan berpuluh bukti pendustaan yang lain? (Lihat rencana Astora Pendusta Agama siri I hingga IV dll sepenuhnya). Kita tunggu dan lihat apakah Astora akan menjawabnya satu persatu atau menyembunyikan mana yang tidak dapat dijawab. Dalam ruang Debat ini pun (Utusan 31/3/2000) ada lagi bukti pendustaan Astora dalam mentafsirkan ayat Allah seperti yang saya sebutkan di atas. Saya tidak sekali-kali berniat untuk menjatuhkan namanya, sebaliknya cuma berniat agar penyelewengannya terbongkar oleh pembaca kerana menunaikan tanggungjawab mempertahankan kebenaran Islam. Kenapa pula tidak masuk akal orang yang berkelulusan seperti Astora melakukan pendustaan seperti mengadakan terjemahan ayat yang tidak wujud? Kebenaran dan kejujuran seseorang itu bukan diukur dengan kelulusan dan ijazah. Orientalis seperti Ignas Goldziher, Joseph Schact, Zwaemer dan lain-lain lagi mempunyai kelulusan dan ijazah lebih tinggi daripada Astora, tetapi apakah mereka itu tidak melakukan penyelewengan terhadap Islam. Bahkan buku-buku mereka itulah yang menjadi sebahagian rujukan para pengkaji `pemikiran Islam gaya moden' kini, tetapi tidak dinyatakan secara terang-terangan. Jadi kelulusan bukanlah pengukur kepada kebenaran.

Cengkerik lawan cengkerik

Jangan Astora sangka bila tiada ulama yang dikritik dan dihina memberi jawapan, maka semua kritikan dan hinaannya itu benar. Janganlah mudah perasan sangat wahai Astora… lagi pun apa yang didakwa Astora terhadap mereka bukanlah apa yang sebenar mereka perkatakan. Mereka itu tiada masa untuk melayan penulis gurkha seperti anda. Mereka itu ibarat gajah dan anda ibarat seekor cengkerik yang membuat bising. Gajah tidak akan ambil apa-apa perhatian terhadap jeritan cengkerik. Pada mereka biarlah cengkerik yang bising itu didiamkan oleh cengkerik juga seperti saya ini. Cukuplah cengkerik lawan cengkerik, tidak payahlah gajah masuk campur. Itu saja, jangan pula Astora cepat naik tocang dan perasan seorang diri.

Para pembaca yang budiman, nampaknya Astora sekarang ini telah naik tocang besar bila dinaikkan pangkat, (yang menurut sumber-sumber dalaman Utusan, dengan `endorsemen't seseorang), tulisannya mendapat perhatian pemerintah, dilantik sebagai wakil ulama kerajaan untuk berdialog dengan penuntut IPT dan sebagai penceramah kerajaan dalam pilihanraya kecil Sanggang. Apatah lagi bila seorang pelajar di sebuah IPTA digantung pangajiannya kerana menyanggah Astora dalam satu majlis dialog dengan penuntut. Tetapi kita kena berhati-hati dengan Astora. Disebabkan tulisan-tulisannya yang menyelewengkan beberapa hukum yang muktamad dalam Islam, kita berhak untuk berwaspada sambil menilik `baju kejujuran'nya memperjuangkan `Islam' di Malaysia. Kalaulah benar beliau hendak menerangkan hakikat Islam, kenapa beliau lari jauh dari tanah tumpah darahnya? Kenapa tidak berdakwah menerangkan kecantikan Islam versinya kepada orang Siam, biar mereka semua masuk Islam berbondong-bondong dek kerana keindahan `Islam' bawaan Astora. Kenapa tidak? Sebaliknya beliau bertungkus-lumus mengetengahkan Islam versinya kepada umat Islam di Malaysia yang telah bersepakat menerima imam mazhab empat itu sebagai ulama salaf yang menjadi rujukan dalam semua hukum Islam termasuk hukum murtad. Tiba-tiba beliau menyuapkan pembaca dengan dakwaan baru yang disadur dengan label Bicara Agama bahawa hukum murtad itu hanyalah rekaan Imam al-Awza`ie, tidak berdosa langsung jika tidak bertudung bagi wanita Islam, hudud yang menurut istilah asalnya itu tidak wajib dijalankan kerana Saydina `Umar sendiri telah menamatkan hukum hudud potong tangan, bahkan Nabi s.a.w. sendiri telah tidak melaksanakan arahan yang terdapat dalam al-Quran. Sedangkan semua hukum tersebut telah disepakati oleh ulama salaf dan khalaf termasuk imam mazhab empat yang diikuti umat Islam di seluruh dunia.

Katalis perpecahan

Saya melihat tindakan Astora menangguk di air keruh dengan mengapikan perpecahan antara umat Islam dalam Umno dan Pas mempunyai agenda tersembunyi. Paling kurang agenda `cari makan'nya di bumi Malaysia yang subur ini, berbanding agenda yang sama jika digerakkan di Thailand tidak akan memberi apa-apa yang lumayan kepadanya. Cuba para pembaca perhatikan, setiap isu yang dulunya pernah diperbalahkan oleh Umno dan Pas tetapi hampir dilupakan sejak akhir-akhir ini, dibangkitkan semula dan digendangkan oleh Astora supaya mereka saling berbalah dan tuduh menuduh. Antaranya isu buatan kafir mengkafir, sembahyang dua imam, tidak makan sembelihan, konon pangkah Pas masuk syurga pangkah BN masuk neraka, fitnah samak masjid bekas Umno dan berpuluh isu yang merupakan minyak petrol kepada api perpecahan yang dicitakan oleh Astora dan orang yang sepertinya. Jika Astora berniat membela Islam, kenapa beliau menggalakkan perpecahan umat Islam Melayu? Bahkan Astora menjadikan semua pihak yang tidak bersetuju dengannya sebagai musuh Umno/BN. Umpamanya mendakwa 90 (%) orang Jakim membangkang secara senyap, pelajar IPT diracuni pembangkang, pensyarah IPT menyokong pembangkang atau takut menongkah arus pembangkang pelajar dan pelbagai tohmahan beragenda lagi. Cuba perhatikan ini semua wahai pembaca dengan hati yang celik. Apakah seorang yang kononnya berilmu tinggi dalam agama patut menggerakkan agenda sebegini jelek. Apakah begini orang yang ditabal sebagai `ulama Islam rasional'?

Ingatlah, Astora amat benci terhadap Pas, dia juga bukan ahli Umno kerana tidak layak menjadi ahli berdasarkan pemberitahuannya sebelum ini (mungkin kerana bukan warganegara). Jadi cuba fikirkan siapa Astora sebenarnya, yang kononnya bermati-matian mempertahankan Umno dan menyerang Pas habis-habisan. Tidak berapa lama selepas itu beliau dinaikkan pangkat kepada jawatan pengarang agama di Utusan. Apakah melampau jika saya katakan Astora adalah anasir asing yang mencari kedudukan di negara ini dengan menjadi katalis (pemangkin) kepada perpecahan umat Islam Melayu?.

Sekian, wassalam `ala man ittaba`a al-huda.
alimuda@hotmail.com
(3/4/2000)

# Rencana menyanggah Astora dan Ab. Jalil Aboo Backer tentang hukum murtad telah disiarkan dalam majalah tak berkala (Editor Suria Janib) bertajuk `JOM BOIKOT MEDIA!' yang sedang dalam pasaran. Jika kehabisan boleh lawati www.majalah.com/fokus.



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com

Balik Semula Laman Tranung Kite