Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite

Buat maksiat bawah tanah

Oleh : Nasharuddin Muhammad

RAWANG: Sebuah restoran berhampiran Hutan Lipur Kancing, di sini, dipercayai turut menjalankan kegiatan tidak bermoral dengan menyediakan bilik khas bawah tanah untuk pelanggan melakukan kegiatan maksiat.

Premis yang terletak di tepi jalan besar itu dikatakan menjadi lokasi pilihan pasangan kekasih terutama golongan remaja berikutan kedudukannya strategik serta hampir dengan pusat rekreasi popular berkenaan.

Tindakan pengusaha premis itu dikatakan sukar dikesan pihak berkuasa dan tidak terdedah kepada pengetahuan umum kerana ia dijalankan secara tertutup dan hanya ditawarkan kepada pelanggan tertentu.

Selain menyediakan bilik khas untuk pasangan melakukan kegiatan mereka, pengusaha premis terbabit dikatakan turut menawarkan kemudahan 'mengintai' kepada orang ramai.

Harian Metro difahamkan, orang ramai yang ingin menyaksikan pasangan terbabit melakukan asmara turut disediakan bilik khas bersebelahan bilik berkenaan dengan dikenakan bayaran tertentu.

Bagi pasangan yang ingin melakukan asmara, mereka dikenakan bayaran antara RM8 hingga RM15 setiap jam atau RM30 untuk semalaman, manakala mereka yang ingin mengintai dikenakan bayaran RM10 setiap seorang.

Pengusaha terbabit dikatakan berbuat demikian bagi menarik pelanggan di samping untuk mengaut keuntungan secara mudah.

Pengusaha terbabit juga dikatakan turut mengupah individu tertentu untuk mencari pelanggan dengan memujuk pasangan yang berkunjung di kawasan rekreasi berhampiran menggunakan perkhidmatan berkenaan.

Seorang pengunjung yang enggan dikenali berkata, kegiatan tidak bermoral pengusaha premis terbabit dikatakan sudah lama berlaku tetapi hingga kini, tiada sebarang tindakan penguatkuasaan diambil.

Menurutnya, bagi mengelakkan pasangan kekasih yang melakukan asmara mengetahui mereka diintai, pengusaha terbabit akan menggunakan bahasa isyarat rahsia bagi berkomunikasi dengan pelanggan terbabit.

Katanya, sekiranya ada pasangan kekasih yang menginap di situ, pengusaha berkenaan akan menggunakan istilah 'pair' untuk pasangan terbabit dan'combat ' untuk kegiatan mengintai.

"Apabila ada pasangan yang menginap di situ, pengusaha terbabit akan berbisik kepada pelanggan lain sama ada untuk mendapatkan khidmat `combat' atau sebaliknya.

"Ada pelanggan yang sanggup datang dari jauh termasuk Ampang, Cheras, Sungai Buloh dan Petaling Jaya semata-mata untuk mendapatkan khidmat itu," katanya.

Justeru, katanya, pihak berkuasa terutama Majlis Perbandaran Selayang dan polis perlu memantau kegiatan tidak bermoral itu bagi mengelak berlakunya kegiatan maksiat di kawasan berkenaan.

Beberapa tahun lalu, kegiatan tidak bermoral di premis terbabit pernah didedahkan akhbar ini tetapi sehingga kini, ia masih terus beroperasi tanpa sebarang tindakan penguatkuasaan pihak berkuasa.

Komen Tok Ayah : Kalau dah ada talibarut yang mencari keuntungan... kalau dah ada orang besar yang sengaja mengaut sedikit habuan.... maka apa nak jadi ?


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com