Sumber Berita :
Harakah Daily
KOTA BHARU, 27 APRIL (Hrkh) - Ahli-ahli perniagaan dan agensi-agensi pelancongan di negara-negara Timur Tengah kagum dengan kejayaan gerakan Islam mampu menguasai kerajaan di Kelantan dan Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerjaya, Kemudahan Awam, Kebudayaan dan Pelancongan, Abdullah Ya'kub berkata, mereka begitu kagum dengan perkembangan itu, di mana gerakan Islam berjaya mentadbir kerajaan negeri dalam sistem demokrasi. Katanya, sebelum ini golongan terbabit kurang mengetahui secara jelas perkembangan yang berlaku di Malaysia.
"Hakikat ini diakui sendiri oleh ramai ahli-ahli perniagaan dan operator pelancongan yang ditemui sepanjang lawatan Kaji Selidik dan Promosi Pelancongan Malaysia ke Timur Tengah bersama Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Dato' Abdul Kadir Sheikh Fadzil pada 5 hingga 18 April lalu," katanya di sini.
Rombongan tersebut disertai anggota-anggota Exco Pelancongan dari Kelantan, Terengganu, Melaka, Perlis dan pegawai-pegawai di bahagian pelancongan dari negeri-negeri lain.
Sepanjang lawatan tersebut mereka berkesempatan mengunjungi beberapa negara Arab termasuk Arab Saudi, Kuwait, Mesir, Bahrain, Qatar, Oman dan Emeriah Arab Bersatu.
Abdullah berkata, golongan peniaga dan operator pelancongan berminat untuk datang melawat Kelantan dan Terengganu apabila diberitahu perkembangan yang berlaku.
"Mereka cukup tertarik apabila diberitahu di Kelantan ramai peniaga wanita menjalankan perniagaan di Pasar Siti Khatijah, penduduk yang peramah, pantai bersih dan cantik serta suasana Islam yang menjadi amalan bagi penduduk tempatan.
"Di negara-negara Arab tidak ada peniaga-peniaga wanita yang menjalankan perniagaan di pasar dan mereka cukup tertarik apabila diberitahu keadaan di sini," katanya.
Risalah-risalah mengenai destinasi pelancongan menarik di Kelantan turut dibawa dan disampaikan kepada penduduk negara-negara Arab yang dikunjungi.
Beliau berkata, sebelum ini tidak ramai pelancong dari negara-negara Arab berkunjung ke Malaysia berbanding Thailand dan Singapura.
Katanya, mengikut perangkaan kira-kira 250,000 pelancong dari negara Arab berkunjung ke Malaysia sepanjang tahun lalu.
Abdullah juga berkata, setiap pertemuan dengan anggota-anggota dewan perniagaan dan agensi-agensi pelancongan di negara-negara terbabit, sambutannya begitu menggalakkan sekali.
"Malah rombongan dari Malaysia dapat bertemu dengan menteri-menteri yang menjaga hal ehwal pelancongan di negara-negara berkenaan dan dapat bertukar-tukar pandangan mengenai industri pelancongan," ujarnya.
Beliau menyifatkan lawatan julung kali disertai kerajaan PAS bersama rombongan menteri cukup bermakna dan mencapai sasarannya.
"Saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Dato' Abdul Kadir dan kerajaan Malaysia kerana turut menyenaraikan Kelantan dan Terengganu bersama dengan misi lawatan tersebut," katanya.
Beliau juga berharap perkembangan itu dapat menarik lebih ramai lagi pelancong dari negara-negara Arab berkunjung ke negara ini terutamanya Kelantan dan Terengganu.
Sepanjang tahun lalu, seramai 2.7 juta pelancong asing dan tempatan berkunjung ke Kelantan.