Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

SANGGANG: CONTOH KORUPSI KETELALUAN

Pada 31 Mac, Cili Api pergi ke Sanggang kerana hendak mendengar ceramah besar menjelang hari mengundi. Telah diumumkan bahawa semua presiden parti dalam BA akan hadir memberi ucapan. Cili Api kira lebih 20,000 orang berada di padang dan di tepi jalan, sungguhpun petang itu hujan turun lebat. Hampir tiga empat ribu lagi terpaksa berjalan kaki hingga tiga empat kilometer, kerana kesesakan lalu lintas, dan akhrinya tidak berpeluang juga mendengar ceramah.

Tetapi malangnya, selain daripada Presiden PRM , pemimpin yang lain tidak hadir Tidak ada penerangan mengapa. Dan tidak ada pula pihak penganjur meminta maaf. Ramai hadirin yang kecewa. Nasib jugalah YB Mohd Sabu, YB Hassan Ali, Dr Sanusi Osman, dan Ruslan Kassim serta Gopalakrishnan hadir sebagai pengganti. Ucapan-ucapan mereka yang bersemangat sambil melucukan telah dapat menghilangkan kekecewaan beribu-ribu yang telah datang berduyun-duyun dari jauh dan dekat untuk mendengar para pemimpin berceramah.

Seperti biasa Mohd Sabu berucap dengan menarik, disambut penuh dengan gelak ketawa dan takbir. Yang menarik Cili Api ialah apabila beliau bercerita tentang MB Pahang dan gerak-gerak lucahnya. Sabu berkata Adnan telah memulakan mazhab baru manakala beliau berkata bahwa mengikut hukum syariah yang dianutinya, seseorang Islam boleh membalas dengan cara yang sama seperti apa yang dilakukan terhadapnya.

Mengikut Adnan, dia menunjuk punggungnya dan menunjukkan tanda lucah dengan kedua-dua belah tangannya sebab ada orang, yang dituduhnya dari golongan PAS, yang terlebih dulu berbuat demikian. Maka berkatalah Sabu, “Nasib juga tidak ada orang yang buka seluar. Jikalau tidak sudah tentu Adnan lucah itu akan membuka seluar dan menunjukkan anunya pula.” Ini disambut dengan gelak ketawa yang gemuruh.

Dr Syed Husin Ali, Presiden PRM, yang bercakap sebelum Sabu menumpu kepada amalan rasuah dan salah guna kuasa yang dialakukan oleh pemimpin-pemimpin BN. Mula-mula sekali, beliau berkata, jikalau dinilai semua bendera, pemidang, poster dll yang dipasang oleh BN dengan cara swasta, sudah tentu jumlahnya lebih daripada RM30,000 yang dibenarkan mengikut undang-undang.

Para menteri berkali-kali turun naik dengan helikopter. Bagaimanakah alat kerajaan (yang dibayar dengan wang rakyat) boleh digunakan untuk kepentingan kempen parti? Begitu juga, van dan pegawai-pegawai penerangan, yang di bawah Menteri Penerangan, dugunakan sepenuh-penuhnya unuk membantu calon BN. Cili Api hendak beritahu Menteri Khalil, Setiausaha Agung UMNO semua van itu bukan bapak sesiapa yang punya.

Cili Api ternampak juga tiga bas daripada Universiti Utara. Tetapi tulisan Universiti ditutup dengan bendera UMNO. Cili Api dengar ramai mahasiswa dari universiti itu telah dipunggah untuk dijadikan anak angkat di rumah-rumah pengundi, supaya mereka mempengaruhi ibu atau bapa angkat mereka. Tetapi para pemimpin UMNO mendakwa PAS pula yang menggunakan mahasiswa. Kata dulang paku serpih …..

Cili Api tertarik dengan lima contoh yang telah diberikan Syed Husin tentang rasuah yang dilakukan oleh UMNO. Di Berhala Gantang menghala Kg Kerai, basikal diedarkan. Di Purun ramai orang tua disuruh mengisi borang dan dijanjikan untuk naik haji percuma. Di Baduk rumah pasang siap didirikan. Di Telok Ira ke Krai, duit RM200 diberi. Orang Asli di Senayah dan Paya Perak diberi beras dan makanan, dan diadakan pula wayang serta karaoke. Ada bekas anggota keselamatan yang diberi RM1000 hingga RM2000. Syed Husin memberitahu, kesemua habuan ini diberi kepada pengundi-pengundi yang dapat dikenalpasti oleh UMNO sebagai pengundi atas pagar.

Sewaktu Cili Api menulis, kita belum tahu lagi keputusan pilihanraya kecil ini. Jikalau PAS menang, bererti kebanyakan pengundi tidak lut dengan serangan senjata politik wang UMNO ini. Jikalau kalah, kita tahulah apa dia di antara punca kekalahan itu, iaitu korupsi dan salah guna kuasa.

Cili Api rasa, kalah atau menang, PAS harus berusaha untuk mengumpul bukti-bukti yang kongkrit untuk mendedah segala pekong penyelewengan UMNO yang hanya menunggu masa untuk pecah dan musnah.

Cili Api
http://www.prm.tsx.org/



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com