Seperti biasa dalam persidangan besar-besar, gambar beramai para peserta diambil dan disiarkan oleh media. Apabila terbit saja gambar itu dalam akhbar tempatan, seorang anak Cili Api yang baru dalam tingkatan tiga bertanya, “Abah, mana dia Dr Mahathir? Mengapa dia tidak ada di depan?” Pada anggapannya orang yang paling besar dan dihormati selalunya akan ditempatkan di barisan depan. Cili Api tidak tahu apa hendak jawab. Yang terkeluar hanya, “Barangkali ada ramai lagi orang yang lebih besar dan lebih dihormati daripada dia.” Anak Cili Api pun mengeluarkan kata-kata yang tidak disangka-sangka, “Jadi, abah, Dr Mahathir ini bukanlah wira dunia besar sangat.” Cili Api tak terkata apa, diam saja, tetapi menahan rasa geli hati.
Memang kalau kita bergantung kepada maklumat dari media tempatan, kita akan mendapat kesan seolah-olah dialah wira dunia paling dihormati, selalu di mata dunia (in the eyes of the world). Sekali-sekala adalah media asing memuji. Media tempatan akan membesarkan beritanya. Hari ini disiarkan secara besaran petikan daripada sebuah akhbar dari Britain (Cili Api tak ingat namanya sebab bukan akhbar terkenal sangat) yang memujinya. Kalaulah pujian itu diberi untuk salah seorang pemimpin dari parti alternatif, tentulah dia akan dituduh sebagai alat kuasa asing. Tetapi tidak bagi Cek Det.
Di Havana Cek Det telah mengadakan satu sidang media. Barangkali beliau hendak menonjolkan kepada dunia betapa hebatnya ketokohan beliau. Alangkah terperanjatnya Cek Det, kerana beliau ditanya dua soalan yang tidak diduganya. Pertama, tentang ugutan menangkap pemimpin-pemimpin yang merancang mengadakan himpunan secara aman. Kedua, mengapakan beliau enggan sangat hendak hadir ke mahkamah sebagai saksi dalam kes Anwar?
Berubah mukanya, terutama bila mendengar soalan kedua. Cek Det berbohong, seperti biasa, beliau tidak keberatan ke mahkamah. Katanya, jikalau hakim mendapati kehadirannya releven dia akan hadir. Malangnya, kebanyakan wartawan yang hadir tidak begitu tahu hakim dalam negeri ini tidak akan berani membuat keputusan yang bertentangan dengan kehendak dan nafsu Cek Det. Sudah berkali-kali Cek Det menegaskan maklumat yang boleh diberinya tidak releven.
Cili Api ingin tahu. Mengapakah akhbar tempatan tidak mengeluarkan berita ini? Yang mengeluarkannya pun, kecil saja. Sebab ia bukan merupakan pujian atau sanjungan orang asing terhadap Cek Det? Maklum sajalah.
Cili Api
http://www.prm.tsx.org/