Cili Api percaya semua orang yang tengok TV, dengar radio dan baca akhbar sudah tahu tentang penangkapan tiga orang pemimpin keADILan, iaitu Ezam Mohd Noor, Ruslan Kassim dan Gopalakrishnan. Empat orang lagi sedang dicari. Yang ramai orang tidak tahu, sebab belum tersebar lagi beritanya, ialah beberapa orang lain telah juga ditahan oleh polis. Cili Api mendapat tahu bahawa setakat ini tidak kurang daripada sembilan orang telah ditangkap dalam perjalanan mereka hendak ke Kuala Lumpur dari Melaka, Perak dan Kedah. Mereka disyaki hendak menghadiri perhimpunan hari ini.
Nampaknya polis sekarang ini bertindak zalim semata-mata atas dasar syak mereka. Mereka tembak mati berpuluh orang, bahkan beratus, yang mereka syaki hendak melakukan jenayah. Belum pun lagi mereka melakukannya. Kalau pun sudah mereka lakukan, namun jenayah mereka itu tidak boleh membawa hukum mati. Semalam mereka menangkap pemimpin-pemimpin keADILan semata-mata kerana disyaki akan menunjuk perasaan dan merusuh. Belum pun mereka melakukannya. Bahkan sehingga ini tidak ada lagi apa-apa perhimpunan diadakan.
Cili Api tahu dan semua orang tahu juga bahawa polislah yang mengheboh-hebohkan berita kononnya akan ada perhimpunan yang membawa kepada huru-hara. Pada hal perhimpunan yang hendak diadakan itu, jikakalau dibenarkan, akan berjalan dengan aman. Mengikut pengalaman yang lalu, keadan tidak tenteram berlaku dalam perhimpunan aman yang dianjur rakyat, hanya apabila polis bertindak zalim, memukul orang dan memancut air beracun. Kali ini polis sendiri menimbulkan suasana tegang dan takut. Lepas itu mereka tuduh orang lain pula. Kemudian tangkap mereka.
Cili Api nampak polis bertindak demikian kerana mereka taat dan setia kepada kehendak dan nafsu tuan besar politik mereka, iaitu tidak lain tidak bukan Perdana Menteri Dr M @ Cek Det. Cek Det mahu Anwar Ibrahim dilupakan. Cek Det mahu segala kezaliman yang dilakukannya ke atas Anwar dilupakan. Itu sebab dia memerintah supaya media jangan lagi mengeluarkan gambar Anwar yang sedang dibicara atau memerikan liputan besar kepada perjalanan kesnya. Itu sebabnya Cek Det tidak mahu perhimpunan memperingati setahun Anwar dijatuhi hukum diadakan. Itu sebab dia mahu semua orang ditangkap.
Sebelum pergi ke Havana Cek Det meninggalkan arahan supaya tindakan diambil ke atas sesiapa yang hendak berhimpun pada 15 haribulan ini. Di Havana, beliau terus menegaskan tindakan mesti diambil terhadap mereka yang berhimpun, walaupun secara aman. Anehnya, Cek Det memuji tunjuk perasaan yang telah diadakan di Seattle kerana membantah WTO. Sewaktu ditanya oleh wartawan di Havana, beliau memberitahu kerajaan yang dipimpinnya bukan tangkap-tangkap orang ikut suka hati saja. Cili Api setuju. Sebabnya? Cek Det bertindak sesuka hati dan ikut nafsu bukan saja dalam hal penangkapan. Bahkan beliau bertindak sesuka hati ikut nafsu dalam semua hal.
Cili Api
http://www.prm.tsx.org/