Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite

Ku Li Terus Jadi Gurkha atau Lenyap?

PM Dr M @ Cek Det telah menyelamatkan Tengku Razaleigh @ Ku Li daripada terpaksa membuat keputusan. Ku Li masih teragak-agak sama ada hendak bertanding bagi jawatan Naib Presiden atau tidak. Pada kiraan Cili Api, Ku Li hanya hendak bertanding jawatan Presiden dan tidak kurang dari itu. Tetapi jalan baginya telah ditutup dengan berbagai-bagai cara oleh Cek Det. Jawatan Naib Presiden rendah baginya. Lagi pula jawatan ini telah dicadangkan oleh MB Perlis dan Perak, yang mempunyai muslihat menarik Ku Li daripada menandingi dua jawatan tertinggi sekali dalam parti.

Tetapi, jawatankuasa bahagian Gua Musang, yang diberi mandat oleh mesyuarat agungnya, telah membuat keputusan mencalonkan beliau bertanding sebagai Naib Presiden. Itu saja jawatan yang masih terbuka. Dengan pencalonan itu Ku Li mendapat cukup 17 untuk melayakkannya bertanding. Namun begitu, Ku Li memberi kesan seolah-olah beliau bukan menyetujui sangat keputusan yang dibuat oleh jawatankuasanya. Itu keputusan mereka sendiri kata beliau.

Cili Api rasa sikap teragak-agak, dan tidak mahu mengumumkan dengan tegas dari mula-mula lagi bahawa beliau sangggup melawan Cek Det bagi jawatan nombor satu itulah yang membuat bahagian-bahagian yang mahu mencalonkannya serba salah. Jikalau beliau tegas dari mula, tentu boleh mendapat jauh lebih banyak daripada hanya satu pencalonan. Mengapakah Ku Li teragak-agak? Adakah memang benar beliau hendak menjadi gurkha saja? Adakah beliau sudah kira-kira memang tidak boleh menang? Atau adakah kerana mungkin Cek Det menyimpan banyak rahsia Ku Li dalam peti sulitnya?

Sekarang Ku Li tidak payah membuat keputusan sendiri. Cek Det telah membuatkan keputusan untuknya. Ini berlaku sebab Majlis Tertinggi Cek Det memutuskan pencalonan dari Gua Musang itu tidak sah. Jadi, Ku Li mendapat hanya 16 pencalonan dan oleh itu tidak layak bertanding jawatan Naib Presiden. Cili Api tak tahulah sama ada Ku Li menghembus nafas lega atau hanya boleh terkebil-kebil saja kerana sudah ketinggalan keretapi dari Gu Musang. Cek Det telah membenarkannya naik gerabak terakhir. Tetapi, bila sampai masa hendak bertolak, diputuskannya sambungan dengan seluruh keretapi. Kesian Ku Li, tak boleh sampailah dia ke Putrajaya kali ini.

Cili Api rasa, Ku Li telah membuat kesilapan besar sejak mengambil keputusan membubarkan PSM46 dan membawa anggota-anggotanya kembali ke pangkuan UMNO. Beliau yakin hanya melalui UMNO saja beliau boleh menjadi PM. Lagi pula pada waktu itu beliau sudah tidak sanggup lagi hendak melayani desakan-dasakan ekonomi daripada kebanyakan pemimpin dan anggota 46. Mereka ini sudah biasa sangat dengan kuasa dan kesenangan dan mereka berharap dengan memasuki UMNO semula akan terbuka semulalah peluang untuk mereka. Apabila Ku Li sudah masuk pukat harimau, Cek Det memisahkannya daripada orang jenis Rais Yatim, Zainal Abidin Zain dan Tengku Azlan dengan mengangkat mereka sebagai menteri atau timbalan menteri dan meninggalkan Ku Li. Rais begitu syukur sekali, sehingga beliau sanggup mengganti tempat Ibrahim Ali dan berjoget serta menari seperti si katak lompat, mengikut rentak irama lagu Cek Det. Tetapi, jikalau beliau berharap dengan berbuat demikian beliau boleh menang jawatan Naib Presiden, lupakan sajalah.

Cili Api tahu bahawa Ku Li memang sentiasa tidak dipercayai oleh Cek Det. Walaupun sebagai Tengku, latar belakang Ku Li berlainan daripada Cek Det, namun kedua-dua mereka tidak banyak berbeza daripada sikap mereka terhadap kuasa serta kekayaan dan sebagai pemimpin yang pro-kapitalis. Perebutan kuasa serta kekayaan adalah di sebalik punca perpecahan mereka dan UMNO pada taun 1987 dulu. Korporat yang menyokong mereka masing-masing mendesak kuat supaya mereka berlawan untuk memastikan peluang ekonomi yang lebih besar jikalau calon yang mereka sokong menang.

Apabila Ku Li kembali kepada UMNO, Cek Det dan Daim yang pendiam itu merasakan mungkin Ku Li sekali lagi boleh mengancam kekuasaan politik dan ekonomi yang mereka bolot. Itu sebabnya mereka tidak hendak memberi ruang sama sekali kepada Ku Li. Nasib mereka ialah Ku Li tidak tegas, tetapi sebaliknya teragak-agak dan berdolak-dalik Ini memungkinkan mereka menyekat Ku Li dan pada masa yang sama menarik sebanyak-banyak sokongan yang ada padanya.

Cili Api lihat masa depan Ku Li ialah untuk terus menjadi gurkha. Bukankah Daim sudah merasa selamat sekarang ini dengan Dolah Badawi, sekiranya apa-apa berlaku kepada Cek Det? Beliau tidak akan hendak sesiapa mengancam cengkaman beliau ke atas politik dan ekonomi negeri ini. Sebenarnya, dalam firasat Cili Api, dalam diam-diam, Daim sebenarnya lebih kuat kuasanya daripada Cek Det. Beliau merasa lebih terancam jika Ku Li naik. Cili Api rasa, jikalau Ku Li salah langkah, Daim tidak akan teragak-agak mempengaruhi Cek Det supaya menyingkirnya dari UMNO.

Cili Api nak balik kampung tanam jagung.

Cili Api


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com