Rujukan Bahan :
Laman PRM
Kabinet baru saja menubuhkan Majlis Tindakan Islam Nasional (MATIN). Apa benda dia "islam nasional" itu? Tak sama dengan "majlis nasional", bukan? Kononnya tujuan utama MATIN ialah untuk menyelaraskan usaha memberi kefamaman Islam yang betul. Cili Api tidak keberatan dengan langkah menubuhkan MATIN ini. Yang menimbulkan was-was ialah apakah yang dimaksudkan dengan "kefahaman yang betul" itu. Betul dari segi apa? Dan untuk kepentingan siapa?
MATIN dilaporkan juga bertujuan membenteras penyelewengan agama mengikut kepentingan sesuatu parti politik. Cili Api akur. Cili Api memang tidak bersetuju dengan sesiapa atau golongan apa sekali pun, dari dalam atau luar negeri, yang cuba menggunakan agama untuk kepentingan diri atau parti sendiri. Akan tetapi, Cili Api lihat bahawa tugas sebenar MATIN ialah untuk membenteras perkembangan pengaruh politik PAS. UMNO melihat PAS sebagai ancaman terhadapnya yang paling besar. PAS telah berjaya menarik lebih banyak undi orang Melayu.
Cili Api lihat Cek Det telah lama membuat persediaan untuk bertindak terhadap PAS dengan menggunakan isu agama. Beliau menuduh bertubi-tubi, sebelum dan selepas pilihanraya, bahawa PAS kononnya melakukan banyak penyelewengan. Mereka menuduh PAS mengeluarkan fatwa yang salah. Akan tetapi sehingga ini mereka belum berjaya lagi membuktikan secara konkrit bukti-bukti fatwa yang menyeleweng itu.
Bila dilihat susunan MATIN, yakinlah Cili Api dengan sepenuh yakin dan tidak was-was lagi bahawa badan baru ini akan menjadi alat politik kepada UMNO. Tidak lebih dan tidak kurang dari itu. Dollah Badawi menjadi pengerusinya. Antara anggota yang lain ialah Khalil Yaakub dan Yusuf Nor. Badan urusetianya pula ialah Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM), Kementerian Penerangan dan Bahagian Kemajuan Masyarakat (KEMAS). Bolehlah mereka urus segalanya dengan setia untuk Cek Det.
Selain Cek Det, ketiga-tiga pemimpin UMNO ini memang terkenal paling kuat berusaha untuk memfitnah parti-parti alternatif, terutama sekali PAS, demi melemahkannya dan menegakkan kewibawan UMNO yang sudah mulai runtuh di kalangan orang Melayu. Keempat-empat badan yang menjadi urusetia itu memang sudah lama diketahui peranannya sebagai alat untuk menyebarkan fitnah UMNO dan mendapatkan sokongan bagi kerajaan dan UMNO, terutama semasa pilihanraya. Jadi tokoh-tokoh serta badan-badan ini sudah digabungkan sekarang di bawah MATIN supaya kerja-kerja kotor mereka dapat diselaraskan.
Akhir sekali, hanya orang yang dilantik kerajaan akan dibenarkan membaca khutbah. Sudah jelas dan tidak payah bersuluh lagi kepada Cili Api, UMNO dan Kerjaan BN akan menggunakan khatib dan masjid sepenuh-penuhnya untuk kepentingan politik mereka. Mereka tuduh orang lain memperalatkan masjid, tetapi mereka sendiri yang memperalatkannya. Mereka kata orang lain membuat fitnah, tetapi merekalah yang paling lantang menyibarkan fitnah. Cili Api tidak sedih. Bahkan gembira. Biarkanlah, si-luncai sudah terjun dengan labu-labunya.
Cili Api