Rujukan Bahan :
Laman PRM
Polis tidak membenarkan himpunan aman yang dirancangkan baru-baru ini kerana kononnya mendapat maklumat mereka akan merusuh dan mengganas. Tetapi mengapakah yang betul-betul amanpun tidak dibenarkan? Mengapakan sambutan secara keluarga untuk merayakan tahun pertama parti pun tidak dibenarkan? Mengapa sampai hendak menderma darah pada hari ulang tahun itupun ditolak? Jikalau UMNO menganjurkan, semuanya boleh.
Cili Api dapat tahu malam ini sepatutnya ada ceramah di Taman Medan, anjuran PRM dan keADILan. Dr Syed Husin Ali, Rustam A Sani, Ezam Mohd Noor dan YB Mohd Azmin Ali dijadualkan berucap. Sudah banyak kali ceramah diadakan di sini, dan semuanya berjalan dengan aman. Mengapa polis membatalkannya kali ini? Mengapa tidak ada ada apa-apa sebab diberikan? Waktu ditanya oleh Malaysia Kini, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya berkata dia tidak boleh menjawab sebab dalam cuti. Masih dalam cuti lagikah? Apa pula yang ditakutkan sekarang ini?
Cili Api dengar sebelum ini banyak juga ceramah yang tidak dibenar polis. Bahkan ada beberapa lagi yang dirancangkan di tempat-tempat lain pada masa hadapan tidak dibenarkan juga. Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai dulu berjanji kepada pemimpin-pemimpin BA yang berjumpa dengannya bahawa tidak ada masalah mengadakan ceramah, jikalau permohonan mendapatkan permit memenuhi syarat.
Cili Api hendak jawapan sebenar sekarang. Adakah polis benar-benar bertindak kerana keselamatan? Atau adakah mereka sudah menjadi alat politik untuk menekan parti-parti alternatif demi menyelamatkan Cek Det? Cili Api setuju dengan kenyataan Tian Chua bahawa tindakan polis menangkap 51 orang baru-baru ini dan mendakwa Ezam Noor dan beliau sendiri juga bermotifkan politik. Apa nak jadi? Apa nak jadi?
Cili Api