Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

Akhirnya Detik tidak berdetik lagi

Saat yang dinanti akhirnya muncul juga. Detik, majalah dua kali sebulan -- yang dihidupkan semula pada 1 Januari 1999, selepas hampir dua tahun ditutup sementara kerana kerugian besar - sudahpun diharamkan Kementerian Dalam Negeri secara rasmi minggu lalu.

Itupun setelah Menteri Dalam Negeri, Abdullah Ahmad Badawi diminta berkali-kali supaya bertegaskan membuat keputusan, dan menamatkan penantian empat bulan kami ekoran Detik digantung tidak bertali. Saya sendiri memohon agar Pak Lah "mengharamkan saja Detik". Biar senang diuruskan perancangan seterusnya, tidak tertunggu-tunggu.

Detik yang tamat permit penerbitannya pada 30 November 1999 sebenarnya telah disambung semula pada 9 Disember untuk tempoh setahun lagi. Ini boleh dirujuk kepada surat KDN. 1505(8757)-(25) yang ditandatangani Che Haslina Che Mamat, dengan tajuk "kelulusan permohonan permit penerbitan bagi tajuk Detik". Kami sempat mengadakan "kenduri kesyukuran" secara kecil-kecilan menyambut kelulusan itu. Waktu itu Kabinet baru selepas kemenangan BN pada pilihan raya 29 November belum lagi dibentuk. Senario berubah sebaik saja Majlis Tertinggi Umno bermesyuarat beberapa hari selepas permit baru diluluskan. Nyata pembabitan politik cukup tebal dan ketara, namun kelulusan bertulis tidak pula dibatalkan. Daleh KDN, Detik tidak boleh diterbitkan selagimana nombor Permit Penerbitan (PP) tidak dikeluarkan.

Jika saya sendiri pemegang permit, saya akan terus keluarkan Detik dengan surat kelulusan KDN itu. Namun mengenangkan ia milik rakan baik saya dan bimbang jika ia membawa natijah buruk kepadanya, maka saya pendamkan saya hasrat yang tidak kesampaian itu. Ramai juga pembaca yang mencadangkan agar kes ini dibawa ke mahkamah. "Tentulah kelulusan bertulis digunapakai berbanding arahan lisan," kata seorang darinya.

Saya dan teman-teman sekerja tidak terkejut dengan pembatalan ini meskipun kami cukup kecewa kerana, pertama, KDN langsung tidak menghiraukan segala surat yang kami hantar, walhal mereka melenting hebat jika surat yang mereka hantar tidak kami endahkan. Kedua, tiada alasan disertakan.

KDN pernah mengingatkan kami bahawa Detik terlalu banyak menyiarkan rencana yang berunsur politik dan rata-rata rencana itu lebih difokuskan kepada politik pihak pembangkang. Dengan serta merta kami membalas peringatan tersebut dan bertekad untuk memperbaiki apa-apa kesalahan, itu pun jika dikira menyiarkan laporan berkaitan pembangkang satu kesalahan.

Tidak cukup dengan itu, pada 24 Disember 1999 kami mendapat surat tunjuk sebab mengapa permit Detik tidak boleh dibatalkan. Kini, alasannya tiada kaitan pula dengan kandungan Detik. Ia menjurus kepada soal-soal pentadbiran dan pengurusan majalah, serta perlantikan saya sebagai Ketua Editor. Pemilik permit Detik sendiri membuat penjelasan, namun tiada maklum balas yang kami terima. Manakala bayaran RM500 yang kami langsaikan untuk permit baru tidak pula dipulangkan.

Dalam surat KDN bertarikh 21 Mac 2000 yang ditandatangani Saadun Mat Sabari, beliau hanya memaklumkan: "Dukacita dimaklumkan YAB Menteri Dalam Negeri telah mengambil keputusan menolak permohonan tuan untuk mendapatkan Permit Penerbitan tahun 1999/2000 bagi menerbitkan majalah bertajuk "DETIK". Oleh yang demikian surat Kementerian ini bil. KDN.1505(8757)-(25) bertarikh 9 Disember 1999 dengan ini dibatalkan."

Persoalannya, mengapa Pak Lah mengambil masa terlalu lama, yakni hampir empat bulan untuk membuat keputusan semudah itu? Sebagai pengamal media dan juga penerbit, saya tentunya ingin tahu apa kesalahan serius yang saya lakukan semasa mengendalikan majalah Detik sehingga dihukum sebegitu rupa. Dengan itu bolehlah saya membuat pengubahsuaian yang patut ke atas apa-apa makalah yang akan saya terajui nanti. Kelak saya dapat menhindari dari melakukan bentuk kesalahan yang sama di masa akan datang. Persoalan kedua, apa pula kesalahan yang saya lakukan di antara tarikh 9 Disember 1999 sehingga keputusan membatalkan kelulusan awal itu dibuat? Tentunya, ketika menimbang permohonan kami melanjutkan PP Detik, pegawai-pegawai KDN berpuas hati dengan prestasi yang kami tunjukkan dari 1 Disember 1998 sehingga 30 November 1999. Jika tidak, sudah pasti mereka tidak akan meluluskan permohonan itu. Justeru, kami ingin tahu kesalahan yang telah kami lakukan, daripada tarikh kelulusan dikeluarkan sehingga tarikh ia dibatalkan, sedangkan tempoh itu majalah Detik tidak lagi diterbitkan. Sikap memekakkan telinga, membutakan mata, adalah langkah tidak bertamadun dan bercanggah dengan etika perkhidmatan awam. Apa salahnya jika pihak KDN menggariskan apa yang boleh kami tulis dan apa pula yang haram untuk kami laporkan. Jika memuatkan laporan tentang perkembangan parti-parti Alternatif dikira kesalahan besar, maka hebahkanlah kepada semua pengamal media. Biar mereka tahu sempadan kerangka yang dibenarkan.

Berbuih mulut dan rosak papan kekunci komputer bagi meluahkan rasa jengkel terhadap pencabulan media oleh elit pemerintah Umno-BN ini. Jika Harakah yang mempunyai edaran meluas dan pembaca yang ramai dihukum dengan menyekat kekerapan penerbitannya, bagi KDN, majalah nyamuk sekerdil Detik tidak perlu dilanjutkan usianya lagi. Jeritlah sekuat hati bagi membantah tindakan zalim ini, yang penting saluran buat rakyat mengetahui pandangan kedua yang berbeza dengan pemerintah mesti disekat dan dimusnahkan. Namun, kami di Penerbitan Pemuda melihat cabaran segetir ini sebagai pemangkin semangat untuk terus mencuba-cuba konsep kebebasan akhbar yang kini hanya menjadi bahan perbincangan di bilik-bilik kuliah kajian media. Dan dalam masa sama, saya sedang mempersiapkan minda untuk menempuh satu lagi halangan besar. Masakan tidak, majalah Wasilah akan tamat permitnya pada Ogos depan sedangkan ia juga mendapat surat tunjuk sebab yang sama dengan Detik.

Detik Daily Internet Edition



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com