Petikan daripada :
Detik Daily Internet Edition
Wawancara bekas Ketua Editor DETIK dengan Tan Sri Abdul Samad
Ismail (Pak Samad), yang baru-baru ini dilantik semula menjadi
Penasihat The New Straits Times (NSTP).
DETIK: Kalau kita lihat kedudukan Umno dalam pilihan raya
lalu, ia adalah prestasi paling teruk parti itu dalam sejarahnya.
Tentunya Umno mempunyai langkah-langkah pemulihan bagi
mendekatkannya dengan pengundi Melayu menjelang pilihan raya akan
datang. Tetapi setakat ini, menurut pandangan Pak Samad, apakah
tindakan Dr Mahathir dan pemimpin Umno yang lain itu sesuai dan
bijaksana, ataupun sebaliknya?
PAK SAMAD: Setakat ini saya tidak nampak sesuatu langkah yang
dibuat oleh Umno untuk mengkaji dan meneliti, atau menimbang
masalah-masalah yang dihadapi waktu pilihan raya lalu. Antaranya
seperti mengapa begitu ramai sekali yang menyokong PAS? Mengapa PAS
menang besar sehingga dapat menerobos Terengganu, menempatkan diri
di Pahang, Selangor, Perak, Perlis, Kedah dan mempertahankan
Kelantan? Saya belum nampak ia dikaji oleh Umno. Barangkali Umno
sekarang sibuk dengan pemilihan parti, tetapi suara-suara sudah kita
dengar dari beberapa tokoh Umno tentang masalah yang perlu
ditanganinya bagi menghadapi pilihan raya akan datang. Antara yang
penting, Umno harus mendengar dan melayani karenah generasi muda.
Tidak boleh mengabaikan fikiran, pendapat dan idealisme ataupun
cita-cita anak muda. Begitupun suara ini baru disebut di sana sini
sahaja. Belum merupakan satu agenda. Bagi saya ini adalah satu
agenda besar. Pilihan raya akan datang akan diwarnai oleh pengundi
dari generasi muda. Berjuta yang tidak dapat mengundi sekarang akan
mengundi lima tahun akan datang. Jumlah mereka besar dan mereka
mungkin dapat mempengaruhi keputusan pilihan raya akan datang.
Dalam pada itu kita juga perlu mencari kesilapan kita sendiri.
Kita memerlukan sikap yang luar biasa, di mana kita mesti berani,
jujur dan mesti sedia berkorban. Bermaksud, yang salah dikatakan
salah, yang betul dikatakan betul. Kalau kita tidak dapat baiki
kelemahan ini, susahlah…
Walaupun mungkin mereka sekarang lebih menumpukan soal pemilihan
parti, tetapi mereka juga harus sedar bahawa generasi muda ini juga
tidak boleh menunggu. Mereka menunggu isyarat daripada Umno bahawa
Umno ada ambil hati pada mereka. Datuk Hishamuddin (Tun Hussein) ada
bercakap tentang pemuda … kita mesti mendampingi orang muda, mereka
merupakan tenaga yang besar, kita tidak boleh abaikan mereka …
tetapi langkah tidak ada.
Tidak disusuli dengan tindakan selanjutnya. Sedangkan masalah ini
sebenarnya masalah besar. Sebelum krisis Umno, keADILan dan
sebagainya, kedudukan belia sebenarnya sangat kritis. Begitu banyak
perkumpulan belia yang tidak bergerak, yang macet, beku, yang oleh
Pendaftar Pertubuhan diberi peringatan, kalau kamu tidak bergerak,
akan ditutup.
Selain itu, kebanyakan pertubuhan belia dipimpin oleh orang yang
berumur lebih 40 tahun. Mengikut peraturan, mereka tidak boleh
berumur lebih 40. Sebelum pilihan raya masalah ini sudah ditimbulkan
oleh Muhyiddin Yassin. Oleh kerana itu apabila Umno menghadapi
pilihan raya baru-baru ini, ia tidak dapat menggunakan tenaga belia
ini. Mereka hanya bergantung kepada Pemuda Umno sahaja, dalam
perkiraan saya.
Jadi, belia yang terbiar ini mungkin ditarik oleh keADILan, PAS …
saya tidak tahulah. Ini belum dibuat post mortem oleh Pemuda Umno.
Selepas buat kajian mereka mungkin dapat gambaran keadaan pemuda
semasa pilihan raya. Setahu saya banyak cawangan Pemuda Umno tidak
bergerak semasa pilihan raya, malah ada yang segan mengaku dia
Pemuda Umno. Banyak orang Umno komplen dengan saya … moral jatuh
merosot teruk sekali ….
Ada pihak mengatakan undi kepada pembangkang itu adalah undi
protes kepada Umno, bukan mereka sendiri betul-betul penyokong
kepada dua parti itu?
Mereka bukan anggota Umno, memang betullah kalau undi mereka undi
protes kepada Umno. Banyak yang mereka tidak berkenan dengan Umno.
Yang lain mereka tidak suka Dr Mahathir, tidak suka ulamak
diperlekeh oleh Umno ….
Maksudnya, usaha untuk Umno membuat perubahan itu masih
terbuka?
Ya. Kemarahan ini tidak berakar. Ia timbul sebagai isu semasa.
Macam pertelagahan Umno dengan ulamak, misalnya. Itu satu fasa.
Tidak selamanya Umno gaduh dengan ulamak. Ia bukan perkara umbi.
Bisa diperbaiki.
Sekarang timbul soal masjid. Ini soal pentadbiran, sebenarnya.
Sejauh mana masjid ditadbirkan dengan betul oleh Jawatankuasa
Masjid. Di negara kita masjid terlalu banyak. Mereka yang bekerja di
masjid gajinya murah-murah. Macam mana hendak jaga masjid dengan
betul? Macam mana hendak buat aktiviti? Kalau masjid hendak
dipergunakan sepenuhnya. mesti di'overhaul' pentadbiran itu,
dikemaskini betul-betul secara moden, dengan mewujudkan kelas
komputer, IT dan macam-macam lagi.
Di Singapura misalnya, mereka betul-betul mengemaskinikan
penggunaan masjid sebagai satu institusi yang moden, yang tugasnya
diselarikan dengan keperluan rakyat untuk mendapat pendidikan.
Kalau kita betul-betul hendak mengemaskinikan masjid, bukan soal
PAS atau Umno yang menggunakan masjid, tetapi bagaimana kita hendak
menggunakan masjid itu untuk memberi faedah kepada masyarakat.
Masjid bukan hanya untuk mendengar kuthbah sahaja. Kita boleh buat
perpustakaan misalnya., boleh hubungkan antara satu masjid dengan
masjid yang lain melalui teknologi IT. Kita patut memikirkan soal
memodenkan masjid. Kita perlu mencari fungsi-fungsi yang baru yang
sesuai untuk masjid, supaya dapat menarik orang muda, misalnya.
Merujuk kepada prestasi Umno tadi, kita nampak beban
menanggung kekalahan itu lebih dirujuk kepada pimpinan negeri.
Contohnya di Terengganu, Ketua Perhubungan Umno sudah diambil alih
oleh Pak Lah. Yang drastik sekali di Kedah, walaupun PAS belum
memenanginya tetapi Sanusi terpaksa memikul tanggungjawab dan
meletakkan jawatan. Mungkin di Kelantan, tidak terpilihnya Ku Li
sebagai menteri pun adalah ekoran darinya. Bagaimanapun, ramai
melihat bahawa sebenarnya beban itu patut ditanggung sama oleh
Presiden Umno sendiri.
Memang. Setiap orang sepatutnya kongsi sedikit saham itu.
50%-40%. Macam Wan Mokhtar sudah 25 tahun, mengapa dia bertanding
balik? Mahathir tidak tegas dalam hal seperti ini. Cerita yang saya
dengar, banyak orang yang Mahathir pilih sebagai calon Umno tetapi
ditolak oleh Bahagian.
Bukankah kata pemutus di tangan Mahathir?
Ini cerita yang saya dengar. Misalnya, ada calon, esok hendak
bertanding baru hari ini diberitahu di mana dia bertanding. Itu yang
kalah teruk seorang bekas menteri.
Maknanya Mahathir tidak boleh gunakan kuasanya?
Dia ini tidak keraslah. The other side dia keras, the other side
dia lembut. Inilah kekayaan Tuhan. Dia menjadikan manusia begitu.
Dia berkeras di sana, di sini pula dia boleh lembut. Tetapi dalam
soal tanggungjawab, sepatutnya semua bertanggungjawab, bukan satu
orang, kecuali Ketua Perhubungan Negeri kerana dalam pilihan raya
Ketua Perhubungan Negeri yang banyak putuskan. Setahu saya, dia yang
berkuasa, bukan Presiden. Di zaman Tun Razak pun begitu …
Inilah yang selalunya berlaku politik cantas, umpamanya dengan
memilih calon-calon yang tidak pandai, kerana bimbang akan melawan
dia pula nanti. Budaya ini masih ada lagi dalam Umno. Dalam pada
itu, Umno ini juga parti besar. Dia bisa bagi rezeki pada ramai
orang. Kalau tak dapat jadi wakil rakyat, boleh lantik jadi pengarah
itu dan ini. Jadi, tidak menjadi masalah.
Bagaimana pula dengan nasihat MT Umno bahawa dua jawatan
tertinggi parti tidak wajar dipertandingkan? Bukankah ia menambah
burukkan lagi suasana tidak demokratik dalam Umno, dan tentunya
semakin menjarakkan orang muda dengan parti itu?
Berdasarkan pengalaman Umno sendiri di masa lalu, pada tahun 1987
dimana berlaku perpecahan akibat perebutan kuasa di peringkat pucuk
pimpinan, saya tidak fikir Mahathir membuat anjuran itu kerana dia
takut bertanding. Saya fikir tidak ada orang berani bertanding
melawan dia. Bagi Pak Lah pula dia sudah memperlihatkan kredibiliti
sebagai pemimpin sejak memenangi pilihan raya Sabah. Kalau hendak
dikira yang lain, semua itu junior daripada dia.
Mahathir mungkin sudah mendapat mandat perwakilan Umno, tetapi
Abdullah Badawi belum. Jawatan Timbalan Presiden sekarang kosong
selepas Anwar dipecat. Bukankah lebih wajar perwakilan diberikan hak
untuk memilih Timbalan Presiden mereka yang sebenarnya berpotensi
besar untuk menggantikan Mahathir satu hari nanti?
Satu persoalan yang agak rumit juga untuk dijawab, tetapi bagi
saya, bergantung kepada penilaian kita sendiri terhadap ketokohan
Abdullah Badawi. Sama ada kita merasa setakat dia memimpin Timbalan
Presiden, apakah dia sudah memperlihat potensi sebagai seorang
pemimpin yang berkaliber?
Tetapi banyak juga pihak yang mempersoalkan kewibawaan
Abdullah, khususnya merujuk jawatannya sebagai Menteri Dalam Negeri,
terutama apabila tokoh-tokoh pembangkang baru-baru ini dihadapkan ke
mahkamah dan juga gangguan kepada kebebasan media, seperti yang
dialami Harakah, dan lebih teruk lagi, Detik.
Dulu saya pun kena juga soal sedition pada tahun 1946. Kerajaan
British seret saya ke mahkamah atas tuduhan menghasut, berdasarkan
tulisan artikel. Disumbatkan saya dalam jel, tunggu bicara dan
dibicarakan dalam mahkamah tentera - BMA. Kemudiannya saya
dibebaskan, tetapi dibebas dengan tidak terlepas daripada tuduhan
itu. Dia boleh panggil balik kalau dia mahu. Maksimum hukuman 2
tahun.
Akta Hasutan ini jarang orang gunakan kerana ia terlalu longgar.
Kalau dituduh melakukan hasutan kerana dikatakan kau menghasut
rakyat untuk membenci raja iaitu kerajaan British, menyebabkan
rakyat tidak suka kepada raja dan rasa tidak puas hati terhadap
British, itu yang saya kena.
Semenjak itu saya tidak pernah lihat akhbar pernah dituduh atas
tuduhan itu. Pada saya faktor hasutan ini sukar untuk dibuktikan.
Umpamanya, bagaimana kamu tahu tulisan ini boleh menimbulkan
kegelisahan kepada rakyat? Bagaimana kamu tahu tulisan ini nanti
menimbulkan kebencian kepada raja?
Boestamam pernah kena kerana tulisannya, buku Testament Politik
API. Boestmam menganjurkan pemberontakan. Dia kena denda RM2,000
tetapi tidak kena penjara, kalau tidak silap saya.
Apa yang dibimbangi pembangkang dan kumpulan yang tidak
sehaluan dengan pemerintah ialah bilamana berlaku kekalutan dan
krisis dalaman Umno, yang dikambinghitamkan ialah pemimpin
pembangkang. Ini jelas berlaku pada 1987 melalui Operasi Lalang.
Mungkinkah ia boleh berulang?
Masalah dalam Umno tidak terlihat jelas. Misalnya kedudukan
Presiden Umno, tidak nampak orang yang cuba menyaingi Mahathir.
Mahathir tetap utuh. Dia tidak menghadapi masalah sebagai pemimpin.
Umno juga mempunyai ahli dua juta lebih. Rasa saya kekuatan ini
masih utuh. Cuma di waktu pilihan raya ia tidak dapat menggerakkan
orang-orangnnya. Barangkali kurang tenaga. Kalau kita lihat berapa
ramai orang yang dipecat - 100 ke 200 lebih sahaja. Tetapi yang
betul-betul jelas ialah pengundi berhijrah. Berpuluh-puluh ribu
menyeberang, bukan ahli Umno. Umno barangkali tidak berjaya
menghalang. Dia tidak punya tenaga menghalang penghijrahan pengundi
ini.
Di peringkat awal, penyokong berhijrah daripada Umno kepada
PAS dan keADILan, tetapi akhirnya penyokong tadi boleh bertukar
menjadi pendokong ataupun ahli yang komited dengan parti.
Orang Umno hendak pergi PAS bukan mudah. Daripada tak pakai
songkok hendak pakai ketayap setiap hari, bukan mudah. Hendak ikuti
kuliah subuh, sembahyang subuh … teruk, bukan mudah. Itu disiplin
dalam PAS. Umno tidak ada disiplin.
Bagaimana pula keADILan?
KeADILan pada saya nanti akan terlalu intelektual, English
Speaking…
Mungkin mereka cepat berubah untuk menyesuaikan dengan realiti
politik...
Yang penting sekali ialah pendidikan politik. Pengalaman saya
dalam PAP misalnya, kami buka banyak kelas politik di merata tempat.
Selepas perang banyak istilah politik yang orang Melayu tidak pernah
dengar. Misalnya 'pengakuan De Fakto', 'pengakuan De Jure' apa
maknanya, sosialisme apa makna, 'class struggle' apa makna. Ini
sebahagian daripada pendidikan politik.
PAS ada kitab-kitab perjuangan Nabi dan sebagainya, tetapi
keADILan? You mesti buat buku grammer sendiri. Saya buat sendiri,
dulu. Apa makna kapitalis, apa makna proletariat dan sebagainya.
Lalau tidak, nanti you main semangat sahaja.
Maksudnya keADIlan itu longgar dari sudut pengisian?
Ya..Umpamanya, apa makna reformasi?
Ia boleh dilakukan secara berperingkat.
Itu tidak boleh diambil kira, kerana mereka bersaing juga dengan
DAP dan PAS. Kalau ahli you budak kampung, PAS memang didik
kadernya. Tiap-tiap malam ada kuliah, ada usrah. Umno tidak ada.
Huha huha sana sini….
Tetapi dari satu segi ramai juga tenaga intelektual dalam
keADILan.
Kalau you tidak ada pengalaman? You mesti ada discussion group.
Katalah sekarang ini masalah masjid, kumpulan diskusi itu 10 orang
bincang peranan masjid. Dan begitulah seterusnya, secara langsung
you terus mempertajamkan pemikiran. Rakyat mesti diberi pendidikan.
Kalau tidak, nanti rakyat akan mengikut perasaan. Zaman saya dulu
nak tubuhkan API, orang pandai berucap itu kita lantik jadi ketua…
bukan kita cari ketua yang tahu sedikit ilmu politik.
Itulah masalah besar Umno sekarang. Seperti pengakuan Mahathir
kelmarin, ramai pemimpin Umno sendiri tidak dapat menjawab serangan
pembangkang. Jadi, bagaimana nak harapkan ahli Umno mampu
menyanggahnya kalau yang bertaraf pemimpin pun tidak berkebolehan?
Umno lagi teruk, sebab dia pemerintah. Masa zaman Tun Razak dulu,
pada zaman konfrantasi, kita ada sekolah politik - politikal centre
- dekat bekas bangunan Kedutaan Indonesia, di belakang bangunan
Umno. Yang menjadi ketua, Sulaiman Alias. Pemimpin Umno peringkat
bahagian datang, seminggu, kita bagi kursus politik. Kursus tentang
parti pembangkang dan sebagainya. Sekarang tidak ada. Ada ura-ura
nak tubuhkan sekolah seperti itu, tetapi tidak jadi. Sekarang mereka
lebih menggunakan Biro Tata Negara.
Pada saya pendidikan politik adalah satu proses yang terus
menerus, supaya ahli parti you lebih pandai daripada rakyat. Kalau
tidak, you tidak boleh jadi pemimpin. Setiap waktu you mesti
meningkatkan ilmu politik ahli-ahli you, supaya mereka sendiri dapat
meningkatkan kesedaran politik mereka. Kalau tidak, apa kerajaan
buat, aa bagus… aa bagus … Mereka tidak dapat analisis secara
rasional.
"DETIK SUDAH MATI! HALANG PENCABULAN KDN TERHADAP KEBEBASAN
MEDIA"