Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite

Mengimbau 24 April 87

Petikan daripada :
Detik Daily Internet Edition

Jun 1986. Saya bersama Mohd Sarit Jusoh, Anwar Ibrahim dan seorang Pemuda Umno, rancak berbual mengenai politik Umno. Sarit yang ketika itu Setiausaha Politik Menteri Pendidikan tidak percaya akan berlaku satu pertembungan sengit yang bo1eh mencabar kedudukan Dr Mahathir Mohamad sebagai Presiden Umno, dalam pemilihan Perhimpunan Agung Umno 1987.

"Tidak berasas teori saudara," katanya dengan yakin.

Saya pun berhujah untuk memecahkan kebuntuan. "Datuk Musa tidak akan mendiamkan diri," kata saya. "Dia akan buat sesuatu untuk mempastikan karier politik dia terus memuncak. Musa seorang strategis. Dia tahu menguji sejauh mana kekuatan lawannya." Memang, secara teorinya agak mustahil akan berlaku pertembungan antara Dr Mahathir dan Musa. Beranikah Musa menentang Dr Mahathir? Adakah pemimpin Umno mahu membenarkan penentangan itu berlaku? Semuanya berlegar di dalam kepala kami.

Pada penghujung 1986, teori pertandingan itu menjadi benar. Tiba--tiba sahaja Musa berganding dengan Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li), untuk menentang Dr Mahathir dalam Perhimpunan Agung Umno ke-38, pada 24 April 1987. Gandingan itu memeranjatkan pelbagai pihak, termasuk para pemimpin tertinggi Umno sendiri.

Yakinlah mereka bahawa politik akan membenarkan apa sahaja demi mencapai cita-cita. Sebagai wartawan, kami mulai sibuk mencari berita. Akhbar harian berbahasa Melayu mulai menunjukkan sikap condong kepada Dr Mahathir, manakala akhbar alternatif condong kepada kumpulan Ku Li--Musa.

Sesuatu yang di luar jangkaan berlaku apabila Ku Li dipilih sebagal penentang Dr Mahathir untuk kerusi Presiden, sementara Musa menentang Ghafar Baba bagi Timbalan Presiden. Pertandingan yang pada peringkat awalnya dirasakan sebagai 'acah-acah' itu pun tiba-tiba menjadi sesuatu yang menggerunkan apabila ramai jaguh-jaguh Umno ketika itu berkumpul di suatu majlis Ku Li di Gua Musang, Kelantan. Mereka terdiri daripada beberapa orang Menteri Kabinet dan ahli Majlis Tertinggi Umno. Antara yang duduk di atas pentas di hadapan termasuklah Abdullah Ahmad Badawi, Rais Yatim, Shahril Samad, Ajib Ahmad, dan sederet Timbalan Menteri seperti Manan Osman, Kadir Sheikh FadziI, Rahmah Osman, Zainal Abidin Zin, Radzi Sheikh Ahmad dan lain-lain lagi.

Di peringkat awal, sebelum ada tekanan daripada Pergerakan Pemuda, Najib Tun Razak juga dilihat berpihak kepada kumpulan Ku Li-Musa ini.

Kedua-dua pihak pun berkempen dari satu tempat ke satu tempat untuk memberi tekanan kepada pihak lawan masing-masing. Dalam kumpulan Dr Mahathir, Anwar dan Ghafar dilihat antara tokoh yang begitu menonjol sekali untuk mempertahankan Dr Mahathir. Mereka turut disertai beberapa badan bukan politik yang mempunyai pendirian untuk menyokong mana-mana kumpulan.

Ketika itu Ketua-ketua Umno Bahagian terlalu penting. Undi dan sokongan perwakilan begitu diharapkan. Seorang Ketua Bahagian di Selangor memberitahu, susah hendak membuat pilihan kerana 'di sini kawan, di sana rakan'. Dalam tempoh tidak sampai seminggu dia menganjurkan pentas ceramah kepada kedua-dua belah pihak - Anwar bagi pihak Dr Mahathir, dan Abdullah Badawi bagi pihak Ku Li.

Seorang rakan mengatakan bahagian ini tidak boleh dipercayai, kerana ketuanya 'makan dua-dua belah pihak'. Bagaimanapun, secara keseluruhannya kempen di bahagian-bahagian berada dalam keadaan tidak seimbang; Kumpulan Ku Li lebih ramai berbanding dengan Kumpulan Dr Mahathir. Ini menunjukkan sudah ada petanda dalam pusingan pertama yang kumpulan Ku Li mendahului kumpulan Dr Mahathir.

Mac 1987, keadaan semakin mendebarkan. Jentera kempen semakin sengit. Seorang isteri perwakilan mengadu suaminya sudah tiga minggu tidak pulang ke rumah kerana sibuk berkempen. Isteri perwakilan dari bahagian Keluang, Johor ini mengadu suaminya hanya telefon dari hotel di ibu kota untuk bertanyakan khabar.

"Akak tak tahulah, kerana dia sibuk mengikut rombongan," katanya ketika dihubungi rnelalui telefon.

"Dia mengikut rombongan siapa? Ku Li atau Dr Mahathir?" Kami cuba mencungkil rahsia.

"Entahlah... dua-dua kot," katanya sambil merayu supaya tidak menghubunginya lagi, kerana terlalu banyak deringan telefon yang diterima di rumahnya.

Sebenarnya bukan dia sahaja yang menghadapi situasi demikian. Hampir semua isteri perwakilan ketika itu, termasuk di negeri Selangor sendiri, yang memberitahu suami mereka jarang-jarang pulang ke rumah, kerana sibuk berkempen.

Bagaimanapun, ada juga perwakilan yang bersikap tunggu dan lihat di saat-saat akhir. Seorang perwakilan dari Melaka lebih suka malamnya di surau dan siangnya pergi bertugas Tetapi di rumahnya tidak berhenti-henti deringan telefon, dan ada pula orang-orang tertentu yang datang berkunjung ke rumahnya.

"Tuan Haji tidak ikut mana-mana orang berkempen ke?" Soalan demikian ditanya kepadanya.

"Saya lebih suka malam di rumah," jawabnya. "Tak berupaya lagi. Kalau dekat--dekat sekitar Melaka bolehlah."

"Habis, siapa pilihan Tuan Haji nanti?" Dia cuba diperangkap.

"Undi rahsia," jawabnya pendek, memutuskan perbualan, kerana ada tetamu lain pula datang.

Suatu ketika kami sempat berbual-bual dengan Shahril mengenal situasi politik ini. Dia menjelaskan, ini adalah sebahagian daripada demokrasi yang dilaung-laungkan oleh Umno. Shahril yang juga seorang menteri kabinet ketika itu kelihatan begitu simpel, dengan membawa beg plasik, dia begitu ramah menegur orang yang lalu lalang. Shahril ketika itu menjadi antara beberapa orang juru kempen kepada kumpulan Ku Li. Dia sibuk mengatur strategi untuk mencuri seramai mungkin perwakilan yang cenderung kepada kumpulan Dr Mahathir.

Tidak lama kemudian, kumpulan mereka berpecah dua menjadi team A dan team B. Para pemimpin dari kumpulan Ku Li mendakwa pengujudan team ini dilakukan oleh kumpulan Dr Mahathir, yang diketuai oleh Sanusi dan Anwar. Sementara kami tidak pula mendengar dari kumpulan Dr Mahathir bahawa team ini diwujudkan oleh kumpulan Ku Li. Kepada setiap bahagian disebarkan senarai ahli Majlis Tertinggi yang bertanding - siapa yang menganggotai team A dan siapa pula dari team B.

Team A diketuai oleh Dr Mahathir sebagai Presiden, Ghafar - Timbalan, dan Naib Presidennya pula Wan Mokhtar Ahmad, Ramli Ngah Talib dan Anwar Ibrahim. Sementara dari team B pula adalah Ku Li sebagai Presiden, Musa - Timbalan, manakala Naibnya pula adalah Abdullah Badawi, Rais Yatim dan Harun Idris.

Apa yang menariknya, ada sekurang-kurangnya tiga nama ahli Majlis Tertinggi yang tersenarai dalam kedua-dua kumpulan - team A dan juga team B, antaranya ialah Dr Yusuf Nor, Mohd Tajol Rosli Ghazali, dan Abdul Aziz Shamsuddin.

Pada malam 20 April rakan-rakan bercerita bahawa beberapa 'orang-orang' Ku Li berada di Ampang kerana menemui seorang wanita yang terkenal sebagai bomoh. Menurut cerita mereka, perempuan tua itu memberitahu bahawa Ku Li akan menang dalam pertandingan kerusi Presiden parti pada 24 April kelak.

Begitu juga dengan cerita yang tersebar mengatakan ada orang-orang Dr Mahathir yang menemui seorang sami yang dibawa khas dari India. Sami itu menetap di sebuah hotel mewah. Dia memberitahu bahawa Dr Mahathir akan menang dalam pemilihan kelak. Anwar juga kononnyn menemui sami tersebut untuk menelek nasibnya.

Cerita bomoh dan sami begitu tersebar luas. Walaupun ia sekadar cerita sampingan untuk menyedapkan telinga, namun ia juga adalah asam garam dalam cerita politik orang Melayu. Barangkali kisah bomoh dan politik Melayu tidak boleh dipisahkan.

Sehari sebelum menjelang hari pemilihan, malam di hotel lima bintang di Kuala Lumpur bagaikan pesta. Team B berkempen dan berhimpun di hotel The Reagent, Jalan Bukit Bintang, manakala team A pula di Hotel Hilton. Kedua-dua hotel terbabit begitu sesak dengan masing-masing cuba menghimpun kekuatan siapakah yang lebih ramai kehadiran. Di The Reagent, pelbagai lapisan pemimpin Umno ditemui, dengan pelbagai buku politik dan risalah yang diberikan secara percuma. Beberapa pemimpin dari kedua pihak berkempen di dewan hotel berkenaan sehingga ke larut malam.

Bagaimanapun ada juga pemimpin dan ahli Umno yang lepak di hotel lain seperti Ming Court dan sebagainya. Di sana mereka lebih selesa bersantai sambil mendengar muzik. Ada juga yang membawa rakan kenalan baru, yang pastinya wanita. Sambil duduk menghisap cerut, masing-masing begitu alpa berbual-bual dengan rakan wanita baru itu. Masing-masing cukup yakin kemenangan berada di pihak mereka berdasarkan kepada jumlah perwakilan yang hadir dalam kempen di saat-saat akhir pada malam terakhir itu. Bagaimanapun, keadaan kehadiran ketika itu tidak mencerminkan sokongan kepada mana-mana pihak.Ini disebabkan ada juga perwakilan yang hadir di kedua-dua program yang dianjurkan oleh team A dan team B. Namun, team B begitu bersemangat dan mendapat suntikan baru lagi apabila mereka mendapat tahu Setiausaha Politik Perdana Menteri iaitu Aziz Shamsuddin berada di pihak mereka. Malahan nama Aziz sendiri disebut beberapa kali oleh penceramah.

Saat-saat yang mendebarkan akhirnya terlerai sudah. Dr Mahathir diumumkan menang sebagal Presiden Umno dengan majoriti 43 undi, sementara Ghafar Baba sebagai Timbalan Presiden dengan majoriti 40 undi. Ku Li dan Musa tewas dalam pertandingan itu dengan masing-maslng mendapat 718 undi dan 699 undi. Sementara bagi Naib Presiden pula, Abdullah Badawi dari team B menduduki tempat kedua. Tempat pertama dimenangi oleh Wan Mokhtar, dan ketiga Anwar Ibrahim. Kedua-dan mereka dari team A.

Bagi kerusi Majlis Tertinggi pula, antara tokoh team B yang menang termasuklah Kadir Sheikh Fadzil, Rahmah Osman, Shahril Samad, Zainal Abidin Zin, Radzi Sheikh Ahmad, Marina Yusof, Haji Rahim Bakar dan Abdul Ajib Ahmad.

Walau apa jua keputusannya, ramai tertanya-tanya bagaimanakah pertandingan itu boleh berlaku? Tidak adakah kompromi sebelum pertandingan dimulakan? Segala-galanya bermula dari petikan suis gelombang. Manusia boleh berubah dan menjadi lebih berani kerana sesuatu desakan.

Manusia sememangnya berani mencipta sejarah. Ahli Umno begitu berani dan mendesak sehingga berlakunyn peristiwa 24 April 1987. Demikian juga, pengundi-pengundi Melayu begitu berani dan mendesak sehingga dalam pilihan raya November 1999 lalu Umno mendapat sokongan 30 peratus sahaja. Pembangkang Melayu bertambah, sebuah negeri tergadai dan sebuah lagi tidak mampu ditawan semula

Pemilihan Perhimpunan Agung Umno pada Mei 2000 ini juga sedang menanti suis atau 'gelombang desakan'. Terpulang kepada ahli-ahli Umno sama ada berani mewujudkan semula pertandingan ataupun berani tidak menentang segala keputusan Majlis Tertinggi. Segala--galanya terpulang kepada isihati, kerana sememangnya ramai musuh yang mahu melihat ada orang terkorban dan teraniaya kerana desakan kuasa.

Harus dingat, sebilangan besar kesilapan pemimpin di dunia, yang pernah berlaku dan dirakam dalam sejarah, ialah keengganan mereka mengiktiraf maksim "alam beredar, pesaka bergilir".

Samsuri Roslan

"DETIK SUDAH MATI! HALANG PENCABULAN KDN TERHADAP KEBEBASAN MEDIA"


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com