ALOR SETAR, 11 April (Hrkh)- Ketua Pembangkang Dun Kedah yang juga Adun PAS - Anak Bukit, Dato' Fadzil Mohd Noor menyifatkan amalan Kerajaan BN Kedah tidak mengiktiraf 12 Adun PAS sebagai bercanggah dengan slogan kerajaan sendiri.
Katanya, tindakan melantik exco kerajaan sebagai Adun angkat di 12 Dun yang dimenangi PAS dalam pilihan raya ke 10 lalu adalah bertentangan dengan slogan Kerajaan Berjiwa Rakyat yang mengamalkan Tradisi Membela Rakyat.
"Kerajaan mesti menerima dan akur keputusan rakyat yang telah memilih PAS mewakili kawasan-kawasan mereka dan tidakkah dengan tindakan kerajaan itu bermakna kerajaan tidak bertanggungjawab melaksanakan keputusan rakyat.
"Dengan langkah yang diambil itu, kerajaan juga telah menggalakkan perpecahan dalam kawasan-kawasan itu kerana ianya mengelirukan orang ramai tentang peranan wakil-wakil rakyat.
"Tidakkah dengan adanya agensi-agensi kerajaan seperti pejabat-pejabat daerah, pejabat-pejabat penghulu dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) belum mencukupi untuk menyuarakan hasrat, keinginan dan kehendak setempat kepada kerajaan," tegasnya.
Fadzil yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan dalam Mesyuarat Kali Ketiga Penggal Persidangan Pertama Dun Kedah Ke 10 di Wisma Darul Aman, dekat sini.
Ianya menjadi panas bila Exco Pertanian, Pembangunan Luar Bandar dan Pembangunan Koperasi, Dato' Zainol Md Isa yang menyebutkan kerajaan hanya mengiktirafkan Adun PAS sebagai wakil rakyat tetapi tidak dalam hal pembangunan yang boleh dibawa kepada rakyat.
Perkara itu timbul bila exco itu menjawab soalan asal yang dikemukakan oleh Dato' Haji Fadzil mengenai tugas exco yang dilantik untuk memantau kawasan-kawasan Dun yang dimenangi oleh PAS.
Daripada Harakah Daily