Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

PENGANJUR PERHIMPUNAN 15 APRIL GAGAL PENUHI SYARAT KEMENTERIAN

KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri menolak permohonan parti Keadilan untuk menganjurkan perhimpunan Sabtu ini setelah ia gagal memenuhi pelbagai syarat yang dikhendaki pihak berkuasa.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Chor Chee Heung berkata, antara syarat yang tidak dipenuhi ialah kegagalan memberi jaminan kepada pihak berkuasa bahawa ketenteraman dan keselamatan awam akan terpelihara ketika perhimpunan.

Beliau berkata, penganjur perhimpunan pada Sabtu ini juga gagal mengemukakan permohonan mereka dua minggu sebelum tarikh ia diadakan.

"Satu daripada sebabnya ialah syarat mengenai jangka masa itu tidak dipenuhi. Dan memanglah ada sebab-sebab lain lagi, umpamanya, ketenteraman awam dan keselamatan umum dipelihara," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka ke Malaysia yang baru, Daya Liyanage di pejabatnya, hari ini.

"Jika tidak boleh beri jaminan kepada kerajaan bahawa ketenteraman awam boleh dikawal dan dipelihara maka susah juga kita hendak pertimbang (pemberian permit penganjuran)," kata beliau.

Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad berkata beliau mempunyai maklumat penyokong-penyokong parti Keadilan sedang merancang untuk mengadakan demonstrasi ganas di ibu negara pada tarikh itu.

Ditanya sama ada kementerian mempunyai maklumat yang serupa, Chor berkata; "Perdana Menteri sememangnya mempunyai source (sumber) dia dan kementerian pun ada source."

Beliau berkata, kementerian akan menolak sebarang permohonan untuk mengadakan perhimpunan awam tanpa mengira sama ada ia daripada parti komponen Barisan Nasional atau pembangkang jika ia akan mengancam ketenteraman awam.

"Ia meliputi semua pihak, bukan sahaja Keadilan," katanya.

Mengenai pertemuannya dengan Liyanage, Chor berkata, perbincangan mereka merangkumi usaha untuk meningkatkan lagi hubungan kedua-dua negara yang sudah terjalin sejak Perdana Menteri yang pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman.

-- BERNAMA



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com

Balik Semula Laman Tranung Kite