Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


Ada pihak halang negeri Terengganu

Sumber Berita :
Harakah Daily

KUALA TERENGGANU, (Hrkh)- Hasrat Kerajaan PAS Terengganu untuk membantu peniaga dan usahawan di negeri ini terjejas berikutan ada pihak tertentu yang cuba menghalang usaha tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Peniaga Kecil & Hal Ehwal Pengguna negeri, Haji Mohd Abdul Wahid Endut, berkata pihaknya menyedari perkara itu apabila ada agensi tertentu yang enggan memberi kerjasama dengan kerajaan negeri bagi menyediakan pelbagai program.

Menurutnya, ada menteri Pusat dan ketua jabatan Kerajaan Persekutuan yang enggan bertemu dengan beliau bagi membincangkan pelbagai masalah berhubung kebajikan peniaga dan usahawan di negeri ini.

"Bagaimanapun, saya puji kerana ada menteri Pusat yang memberikan layanan mesra dan sedia menghulur bantuan untuk membantu peniaga Bumiputera di negeri ini," katanya ketika berucap di majlis dialog dengan peniaga Taman Selera Tanjong, di sini semalam.

Beliau berkata, sepatutnya menteri dan ketua jabatan Persekutuan memberi kerjasama kepada kerajaan negeri untuk merangka pembagai program bagi kepentingan peniaga dan usahawan tempatan.

"Pilihan raya sudah berlalu...Kini semua pihak sepatutnya bersama-sama bekerja bagi membantu rakyat dan memberi peluang mereka menjalankan kegiatan ekonomi untuk meningkatkan taraf hidup mereka," katanya.


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com