Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite

Bukan hanya satu 'Gelita 14'

April 17: Minggu ini pembaca, penonton dan pendengar media arus perdana di negara ini tidak mungkin tidak mengetahui tentang 'Gelita 14' atau Black 14. April 14 tahun lalu merupakan tarikh terhukumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau dijatuhkan hukuman selama 24 tahun yang berjalan serentak atas empat tuduhan penyalahgunaan kuasa. Penangkapan dan pemenjaraan Anwar inilah yang telah mencetus dan melahirkan gerakan "Reformasi".

Agenda-agenda induk reformasi ini bukanlah satu agenda yang baru. Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Parti Islam SeMalaysia (PAS) secara rasmi dan terbuka telah menyuarakan dan menyajikan agenda-agenda reformasi kepada orang ramai.

Semasa agenda reformasi ini 'berkeliaran' dalam lanskap budaya politik Malaysia, Anwar ialah protagonis utama kerajaan. Hanya sesudah 'terbuang' daripada Umno, barulah Anwar kembali mengartikulasikan agenda reformasi secara terbuka dan ampuh.

Ini bukan pula bermakna kita menolak peranan Anwar daripada mengartikulasikan agenda induk reformasi. Orang ramai dan rakyat umum tidak akan dapat menolak peranan ampuh yang sedang dimainkan oleh manusia yang bernama Anwar Ibrahim. Rakyat dan gerakan reformasi menyambut Anwar Ibrahim untuk datang kembali kepada garis tradisi perjuangan rakyat yang antipemodal besar.

Setelah satu tahun gerakan gelombang Reformasi berjalan, orang ramai semakin sedar bahawa Reformasi telah memberi makna yang lebih luas dan mendalam daripada hanya agenda 'pembebasan' Anwar Ibrahim dari penjara. Dalam masa satu tahun ini reformasi telah melintasi era 'satu agenda'.

Melintasi dan membebaskan diri daripada 'satu agenda' adalah detik yang amat penting untuk lanskap budaya politik Malaysia dan khasnya untuk badan politik Melayu.

Era pasca 2 September 1998 telah melonjakkan kesedaran umum terhadap pelbagai karenah penyalahgunaan kuasa, rasuah dan penyelewengan agihan kekayaan yang dilakukan oleh Umno. Selama ini hanya parti-parti pembangkang dan badan-badan bukan kerajaan yang menyuarakannya.

Apabila Anwar Ibrahim, protagonis utama dan orang kedua terpenting dalam Umno menyuarakan agenda yang sama, kelihatan badan politik Melayu (Umno) tidak berupaya menangkisnya. Sikap 'reformis' Anwar ini telah menyemarakkan lagi bara reformasi dalam dan luar Umno.

Dalam masa yang sama, gelombang Reformasi setahun yang lalu telah ‘dibantu' apabila wujud dua watak antagonis-protagonis penting. Watak inilah yang telah membajai kesuburan reformasi.

Mereka ialah: Dr. Mahathir Muhamad dan Anwar Ibrahim. Dua watak inilah yang telah, yang sedang dan yang akan terus membantu gelombang Reformasi.

Dua peranan utama ini mempunyai hubungan simbiotik antara satu dengan yang lain. Satu bersantai di Mahligai Puterajaya dan seorang lagi terkurung di penjara Sungai Buloh.

Selagi lanskap pertelingkahan dua watak ini wujud, maka gerakan Reformasi akan terus bernafas, bernyawa, hidup dan berkembang.

Pertelingkahan ini bukanlah satu perkembangan yang tidak baik untuk rakyat. Malah dalam jangka panjang pertelingkahan antagonis-protagonis ini memberi manfaat kepada orang ramai.

Mahathir dan Anwar adalah dua ikon (icon) yang paling diperlukan oleh gerakan Reformasi. Seorang mewakili ikon kezaliman (pemangsa) manakala seorang lagi mewakili ikon manusia yang teraniaya (mangsa).

Ikon kedua-dua watak ini wajib terus wujud dalam lanskap budaya politik hari ini. Satu watak tanpa watak yang lain akan mencederakan gelombang Reformasi.

Ini bukan pula bermakna orang ramai tidak mahu Anwar Ibrahim dibebaskan atau Mahathir Muhamad mengundur. Atau rakyat telah menjadi maschostic - ingin menyakitkan diri sendiri sendiri hasil daripada kezaliman Mahathir. Tidak.

Pembebasan Anwar dan pengunduran Mahathir adalah sebahagian daripada agenda Reformasi. Tetapi pada hakikatnya lanskap yang wujud hari ini lebih menguntungkan secara menyeluruh gerakan reformasi.

Lanskap budaya politik yang wujud hari ini samalah seperti tanah sawah yang telah dibajak dan hujan telah pun turun. Maka terpulanglah kepada pak tani untuk menanam apa saja benih.

Jika benih padi yang ditanam maka padilah yang akan dituai. Suasana politik yang subur ini akan memangkinkan kesedaran rakyat yang luas.

Kesedaran politik rakyat yang luas inilah yang lebih penting. Rakyat wajib disedarkan tentang hak-hak mereka sebagai warga negara. Rakyat wajib disedarkan bahawa demokrasi bukan hanya bermakna membuang undi lima tahun sekali.

Rakyat juga wajib disedarkan bahawa kuasa yang mutlak bukan di tangan ahli politik tetapi di tangan rakyat. Dan yang paling penting ialah memberikan keyakinan dan keberanian untuk rakyat bersuara.

Sama ada suara rakyat ini benar atau salah bukan persoalan wajib. Yang wajib wujud ialah keberanian rakyat untuk bersuara.

Semua ini adalah benih-benih budaya politik sihat yang sedang ditaburkan oleh gelombang Reformasi. Benih-benih inilah yang pada suatu masa nanti akan melahirkan konsep dan falsafah masyarakat madani - satu masyarakat yang jelas pemisahan antara daulah, lembaga eksekutif dan lembaga legislatif.

Paling penting, benih-benih ini juga akan menjana kewujudan ruang demokrasi - ruang perhubungan antara rakyat dengan lembaga-lembaga daulah.

Ruang inilah yang boleh dipanggil ruang madani: satu ruang yang maha penting apabila kuasa daulah berhenti, dan ruang serta kuasa individu sebagai warga negara bermula.

Satu tahun yang berlalu ini wajib dilihat sebagai hujan awal sebelum turun membajak sawah. Pengalaman setahun yang lalu wajib dikumpul untuk dijadikan ilmu dalam satu lanskap budaya politik yang baru.

Dua watak yang wujud hari ini tidak akan terus wujud untuk selama-lamanya. Gelombang Reformasi memerlukan nafas yang panjang. Dengan nafas yang panjang, gerakan ini akan berupaya menggalang satu barisan bersatu yang lebih luas untuk melintasi zaman dua watak utamaini.

Kita bukan hanya ada satu 'Gelita 14'. Kita sekarang sememangnya sedang bergelap-gelita sepanjang tahun.

Oleh : HISHAMUDDIN RAIS

Laporan asal :
http://www.malaysiakini.com/


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com