Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

PETUA MENGGUNAKAN INTERNET

Pendahuluan

Dewasa ini ramai yang memilih internet sebagai sumber maklumat terpenting selepas media dalam negara sudah tidak mampu memberikan laporan yang adil dan saksama. Masyarakat semakin celik untuk melihat teknologi ini sebagai alternatif lain untuk mendapatkan bahan dari sumber asing. Sehinggakan suri rumah dan ibu bapa yang dahulunya hanya membiarkan anak-anak mereka sahaja 'berjalan-jalan' di alam saiber telah mula menukar arah, mereka sendiri sekarang dalam proses untuk memahirkan diri dengan perisian 'browser' seperti Netscape dan Internet Explorer. Tidak kurang juga yang semakin memahirkan diri dengan 'newsgroup' dan juga 'mailing list'.

Biar apapun yang dilakukan, usaha kerajaan untuk menakut-nakutkan pengguna internet semakin hari semakin bertambah. Berita mengenai penangkapan, 'hackers' kononnya, semakin banyak di dada dada akhbar. Tak kurang juga dengan siri 'penggeledahan cyber-cafe' yang semakin mendapat perhatian masyarakat. Ini menjadikan masyarakat semakin takut untuk menggunakan internet sebagai sumber alternatif mendapatkan maklumat selain media dalaman. Mengapa ini terjadi? Kerana kurangnya pengetahuan kita mengenai kebebasan bersuara dalam internet itu sendiri.

Internet merupakan jaringan komputer antarabangsa. Tiada sesiapa yang memiliki hak mutlak ke atasnya. Samada kerajaan Malaysia, kerajaan Taiwan, kerajaan Jepun, malahan kerajaan Amerika juga tidak mempunyai hak yang mutlak ke atas internet. Kepenggunaan internet itu sendiri bergantung kepada prasyarat yang telah difahami dan dipersetujui bila kita melanggannya. Apa yang perlu diperjelaskan di sini ialah, kerajaan tidak mempunyai hak untuk menyekat kebebasan bersuara di dalam internet.

Tetapi... bagaimana pula dengan kes-kes penangkapan berkaitan surat layang melalui internet? Ini perlu kita fahamkan. Cerita-cerita yang boleh menimbulkan keraguan dan sekaligus boleh mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara adalah salah di sisi undang-undang Malaysia. Kes Chow-Kit jika diperhatikan adalah satu dakyah dan fitnah yang boleh mengancam keselamatan negara kerana berikutan dari surat sebegitu, boleh menyebabkan tercetusnya rusuhan kaum. Atas alasan ini, maka pihak polis terpaksa mengambil tindakan. Apakah polis mengambil tindakan secara bersendirian? Tidak, mereka terpaksa meminta pertolongan MIMOS untuk mengenalpasti siapa 'penciptanya'.

Jadi, kalau kita tidak terlibat dengan segala bentuk khabar angin atau berita-berita yang boleh mengancam keselamatan negara, mengapa kita perlu takut? Tiada satu aktapun dalam internet yang menyekat kebebasan bersuara selama mana ia tidak menimbulkan ketegangan pihak lain. Oleh itu, apakah dengan membaca artikel-artikel di internet dianggap sebagai salah oleh undang-udang? Tidak! Salah bilamana anda bersama-sama menyebarkan berita palsu yang boleh dianggap mengancam keselamatan negara.

Jadi, mengapa kita perlu takut? Takut kerana salah. Bila kita salah? Bila kita menyebarkan khabar angin yang berunsur fitnah dan boleh mengancam keselamatan negara. Itu sahaja. Apakah memberi pendapat itu salah? TIDAK! Pendapat bukanlah satu berita yang boleh diterima pakai sebagai rujukan. Fahami konsep ini, dan berlegarlah diruang saiber tanpa rasa takut....

Awasi SB

Sekarang semakin jelas kelihatan pihak berkuasa sedang menumpukan perhatian penuh mereka ke alam saiber. Special Branch (SB) nampaknya terpaksa memainkan peranan penting dalam menggapai maklumat terkini serta berita-berita angin yang bertiup kencang melalui internet untuk diserahkan kepada angkatan tertinggi kerajaan sebagai analisa reaksi rakyat terhadap isu semasa. Di mana-mana sahaja sekarang ini kita boleh nampak dengan jelas SB yang berkeliaran dan berdampingan dengan mereka yang mahir dan mengetahui sedikit sebanyak tentang saiber.

Mungkin ramai antara kita yang masih belum mengetahui apa tugas SB sebenarnya. Mereka berkawan baik dengan rakyat, berdamping dengan rakyat, berborak tentang isu semasa dengan rakyat, makan sepinggan dengan rakyat, meminta pertolongan dari rakyat dan kadangkala rakyat merasakan bahawa mereka adalah manusia yang paling baik sekali di antara golongan rakyat-rakyat yang lain. Sehinggakan tidak seorang pun akan menjangka bahawa mereka sebenarnya 'musuh di dalam selimut'.

Percayalah, apa sahaja pertubuhan-pertubuhan NGO ataupun politik pasti ada SB ini. Apakah mereka tidak dapat dikesan? TIDAK! Mereka memang diketahui identiti mereka oleh segelintir masyarakat yang didampinginya. Rakyat tahu mereka SB, rakyat tahu yang berbicara itu SB, rakyat tahu yang meminta pertolongan itu SB dan rakyat tahu yang baik dan mulia itu ialah SB. Tetapi rakyat tidak pernah menaruh syak akan apa perbuatan yang sedang mereka lakukan. Bagi rakyat, mereka adalah orang biasa yang berdampingan dengan rakyat adalah diluar bidang tugas mereka, berkawan dan tolong-menolong adalah di luar dari bidang tugas mereka, dan kutuk mengutuk besenda gurau adalah di luar dari bidang tugas mereka. Kerana hal itu, maka rakyat menganggap mereka bukanlah penghkianat kepada rakyat.

Tetapi apa yang dirasakan oleh rakyat adalah sebaliknya. Ini perlu difahami dengan teliti. Tugas mereka adalah untuk mendapatkan maklumat semata-mata dan menyimpulkan maklumat dari orang ramai untuk tindakan kerajaan. Mereka berdamping, berbual dan bersembang tentang isu-isu semasa. Untuk apa? Untuk mendapatkan reaksi dan pandangan rakyat serta mendengar khabar-khabar angin yang boleh dipercayai. Setiap apa yang dibicarakan di kedai kopi tidak tamat di situ sahaja! Mereka pulang semula ke sarang dan setiap apa yang dibicarakan oleh rakyat akan ditaip semula dan dihantar ke pusat untuk dinilai dan diambil tindakan sewajarnya. Masakan Dr. Mahathir bisa mengungkapkan 'lakum di nukum waliyadin' dalam pidatonya sebelum ini jika dia tidak menerima laporan bahawa rakyat menyanjungi Anwar kerana kepetahan Anwar memetik hadis-hadis dan ayat al-Quran dalam pidatonya? Bagaimanakah suara rakyat tentang kelebihan Anwar ini disampaikan kepadanya? Di sinilah fungsi SB yang sebenar.

Apa kaitan SB dengan internet? Kalau dulu, SB hanya bertenggek di kedai kopi, di lobi-lobi hotel dan di tempat-tempat awam untuk mengumpul maklumat, tapi sekarang Era itu sudah agak kolot. Internet sekarang ini menjadi medan maklumat utama rakyat. Suara rakyat disampaikan melalui internet. Dan SB yang ada sekarang masih lagi SB yang kolot, mereka tidak pandai mengendalikan internet sebijak kita. Maka dengan itulah, mereka mencari 'partner' baru dalam membantu mereka mendapatkan maklumat melalui internet. Seperti juga cara mereka terdahulu, orang-orang yang pandai internet ini akan dihampiri, dilayan dan berkawan dengan baik. Mereka seolah-olah bersimpati dan inginkan maklumat yang terkini. Rakyat yang tidak tahu 100% mempercayainya. Sekali lagi rakyat tertewas dengan lakonan SB ini.

Ruangan ini tidak menyuruh rakyat membenci SB. TIDAK! Cuma apa yang ingin diutarakan di sini ialah berhati-hati dalam pergaulan dan pergerakan jika anda merupakan salah seorang yang bertanggungjawab mengedar dan mencetak risalah dari internet. Seperti siri I yang lalu, telah jelas dinyatakan bahawa apakah kesalahan kita yang bisa merengkokkan kita di bilik kecil. Jika anda mengenali bahawa yang berdamping dengan anda adalah SB, bertanyalah dengan mereka mengenai undang-undang, dan fahami apa yang diperkatakan. Tanyalah agenda yang anda sedang lakukan adakah salah di sisi undang-undang atau tidak. Hentikan segalanya jika dia mengetahui tindak tanduk anda. Berehatlah seketika dan berilah peluang kepada orang lain menjalankan tugas mereka. Ini untuk kebaikan anda dan kebaikan rakyat yang sentiasa dahagakan maklumat dari anda. Apabila tiada maklumat, untuk apa lagi SB bergandingan dengan anda? Ingat, mereka dilatih untuk mendapatkan maklumat serta taat kepada ketua! Mereka bertugas 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu.

Sememangnya mereka begitu baik terhadap rakyat. Tetapi kebaikan mereka mempunyai agenda yang tersendiri. Berhati-hatilah bila berdamping dengan orang yang sebegini. Mereka memerlukan maklumat melalui internet, dan mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan maklumat walaupun terpaksa makan sepinggan serta tidur sebantal dengan rakyat! Ini lebih memburukkan lagi bila tiba-tiba, kita ditahan kerana cuba mengedarkan risalah yang boleh mengancam keselamatan negara, ataupun yang berbau fitnah. Ingat, kawan boleh menjadi lawan, kerana Anwar dan Mahathir telah membuktikannya.....

Penggunaan No. IP

Saya banyak dihujani dengan pertanyaan-pertanyaan mengenai keselamatan diri dalam menyuarakan pendapat umum. Masih ramai lagi yang 'fobia internet' dalam menyuarakan pandangan masing-masing. Sayang sekali, fobia ini mengengkang pandangan-pandangan dan pendapat-pendapat serta suara-suara bernas sekalian rakyat yang masih bingung lagi mengenai Internet, dan kebebasan bersuara melaluinya. Masih ramai lagi dihantui dengan kes 'Tangkapan Chow Kit' yang melibatkan beberapa manusia yang lalai dalam menyuarakan rasa hati mereka.

Biar saya perjelaskan dengan ringkas, apa yang terjadi bila kita mula melewati laman web dan juga menghantar suara rasa melalui email atau lelaman web :

Menggunakan komputer dengan akaun TMnet atau JARING sendiri. Anda akan diberikan nombor pengenalan (ip) secara rawak. Apa gunanya nombor pengenalan ini? Ianya seperti alamat rumah (bukan alamat rumah yang sebenar!). Seluruh dunia, mesin-mesin yang dihubungkan dengan internet mendapat ip tersendiri dan unik. Tidak ada seorang manusia pun di dalam dunia ini yang akan mendapat ip yang sama dengan anda dalam dalam talian yang berasingan. Ip ini adalah rujukan kedudukan komputer kita. Ip ini digunakan untuk mengelakkan dari kecelaruan (clash) antara satu komputer dengan komputer yang lain.

Jika saya menggunakan TMnet, ip yang mungkin akan saya dapat secara rawak ialah 202.188.52.1 (contoh tidak menggunakan ip betul). Seluruh dunia mengetahui kedudukan mesin saya sekarang, tetapi, secara teknikal sahaja. Saya akan menghantar email kepada 'smtp server' (pelayan email, atau komputer besar yang menjaga kesemua email kita) untuk dirujuk kepada pengguna yang berdaftar pada email itu. Email yang dihantar, akan disimpan di dalam 'smtp server' dahulu. Bila pengguna menyemak email, barulah email itu dihantar kepada si penerima. Di sinilah ip digunakan.

Saya (202.188.52.1) menghantar email kepada abc@tm.net.my. Email itu akan disimpan oleh server TMnet (sebab email penerima dalam bentuk abc@tm.net.my). Dari segi teknikalnya, saya mengarah email saya kepada server email TMnet (yang juga mempunyai ip sendiri, contohnya 202.188.52.2). Jadi, email dari 202.188.52.1 dihantar kepada 202.188.52.2 di mana dalam 202.188.52.2 terdapat akaun abc@tm.net.my. Server 202.188.52.2 akan menyimpan alamat saya (202.188.52.1) sebagai rujukan penerima dari mana saya menghantar email itu. Bila penerima ingin menyemak surat, maka 202.188.52.2 akan menghantar surat yang disimpan tadi kepada penerima.

Apakah ip hanya digunakan dalam email sahaja? TIDAK! Ia digunakan untuk kesemua sessi internet kita. Jika anda melawat laman web, ip anda akan disimpan, jika anda berbual IRC, ip anda juga dipaparkan, jika anda menggunakan HOTMAIL juga, ip anda akan dihantar kepada penerima. Jadi bagaimana untuk mengelak dari ip kita dikesan?

Biar saya jelaskan sedikit di sini, IP TMnet dan Jaring (hanya menyebut dua gergasi besar ini sebagai contoh) tidak memberi kesan apa-apa kepada penggunanya. Ianya adalah rawak, dan terlalu rawak. Ip yang diberikan tidak boleh dirujuk sebagai identiti penggunanya pada masa itu. Ia hanya digunakan untuk mengelakkan 'clash' di antara mesin-mesin lain yang berhubungan dalam internet, dan bukanlah satu rujukan identiti yang tetap dan boleh dibuat rujukan. Adalah terlalu sukar untuk mereka menyemak kepenggunaan ip pada sesuatu masa oleh sesuatu akaun yang mana ip itu digunakan oleh beribu-ribu orang yang berlainan (walaupun ia tidak mustahil untuk dilakukan). Untuk memudahkannya lagi, jika sekali saya mendail ke TMnet, saya diberi ip 202.188.5.1 untuk masa itu, tetapi bila saya terputus dan kemudian saya mendail sekali lagi, ip saya mungkin 202.188.20.3! Jadi, 202.188.5.1 bukan saya! Merujuk pada contoh email yang dihantar tadi juga, 202.188.5.1 juga bukan dari saya! Dan semua laman web yang menyimpan ip 202.188.5.1 juga adalah bukan saya! Kerana? Kerana saya sekarang ialah 202.188.20.3!

Diharap penjelasan ip secara ringkas tadi dapat membuka minda pembaca untuk memahaminya. Tetapi masih lagi terdapat satu masalah dan kecuaian besar. Kita telah faham bahawa ip yang diberikan kepada kita adalah rawak. Dan kita yang melayari internet semalam bukanlah kita yang melayari internet pada hari ini secara teknikalnya. Tetapi bagaimana dengan email? Ingat, email anda dikenali dengan alamat seperti abc@tm.net.my atau xyz@pc.jaring.my. Masihkah anda ingat sewaktu mendaftarkan diri dengan perkhidmatan JARING atau TMnet? Anda diminta menyerahkan salinan kad pengenalan dan butir-butir peribadi diri anda kepada mereka untuk proses pendaftaran. Kemudian, anda diberikan nama pengguna (username) seperti mahathir82, atau anwar76 dan macam2 lagi. Nama pengguna ini juga digunakan sebagai alamat email anda seperti mahathir82@tm.net.my atau anwar76@pc.jaring.my. Logiknya, anwar76 diketahui rekod peribadinya, dan ini memang benar! Jika anda menghantar email menggunakan anwar76@pc.jaring.my, maka, walaupun ip anda berubah-ubah, hakikatnya, nama pengguna adalah sama! Dan nama pengguna anwar76 disimpan rekodnya di JARING (kerana anwar76@pc.jaring.my). Jika terdapat masalah anda dengan undang-undang kerana email anda, anwar76 akan disemak di JARING dan rekodnya, fikirkan sendiri betapa lengkapnya borang yang kita isi dahulu...

Jadi? Bagaimana hendak menggunakan kebaikan ip rawak ini semaksima mungkin? EMAIL PERCUMA! Ingat, perkhidmatan-perkhidmatan email percuma seperti HoTMaiL, MailExcite, YAHOO! Mail dan berpuluh-puluh lagi perkhidmatan seperti itu tidak pernah cerewet dalam soalan mengenai data peribadi sewaktu kita hendak mendaftarkan diri untuk menggunakannya. Kita tak perlu telus dalam mengisi borang pendaftaran. Letak sahaja apa yang patut, dan semestinya yang tidak mengenai diri kita secara lansung! Berurusanlah mengenai Reformasi menggunakan email-email percuma itu. Dengan ip rawak dan data palsu dalam pendaftaran email anda, siapa lagi yang boleh mengesan anda? Hanya beberapa kecuaian sahaja yang bisa menjatuhkan anda. Tetapi, secara teknikalnya, cukup untuk menyusahkan pihak berkuasa mengesan siapa anda dan dimana.

Menggunakan komputer sendiri (pejabat) dengan akaun yang tidak diketahui

Idea, pandangan, pendapat dan luahan rasa tidak hanya ditimbulkan dirumah sahaja. Ada waktunya kita perlu menjawab beberapa soalan, memberikan idea-idea atau hujah-hujah bernas dari tempat yang ada sekarang, pejabat. Dan pejabat yang ada kemudahan internet, tanpa diketahui cara penyambungannya adalah merbahaya! Keadaan bilamana anda tidak mengetahui cara penyambungan ialah :

Komputer anda telah diketahui umum boleh mengakses internet tanpa perlu memasukkan nama pengguna dan katalaluan. Tiada sebarang modem disambungkan pada komputer anda untuk mengakses internet.

Kebanyakan pusat-pusat pengajian tinggi dan syarikat-syarikat koperat besar mempunyai akses ke internet sendiri tanpa menggunakan JARING atau TMnet. Ada sesetengah syarikat yang besar terus disambungkan ke talian internet dunia tanpa melalui MIMOS. Dalam keadaan begini, ip yang telah kita bincangkan tadi memainkan peranan yang penting. Mereka mempunyai ip statik yang tidak diubah-ubah. Setiap komputer yang mempunyai rangkaian internet mempunyai ip sendiri. Ip ini merupakan identiti sebenar penggunanya pada bila-bila masa! Oleh itu, walaupun pengguna jenis ini menggunakan perkhidmatan email atau sebagainya, ipnya tetap sama berbeza dengan pengguna-pengguna yang mendapat ip secara rawak tadi.

Untuk mengatasi masalah dikesan ip ini, satu cara yang kerap digunakan ialah dengan menggunakan pelayan proxy. Bunyinya agak teknikal, dan sememangnya memerlukan sedikit pemahaman dalam internet untuk memahaminya. Saya tidak akan memperkatakan dengan lebih lanjut mengenai proxy server ini dengan lebih teknikal. Tetapi, apa yang perlu difahami ialah, terdapat komputer-komputer yang bersambung dengan internet di seluruh dunia membenarkan komputer lain untuk 'meminjam dan menggunakan ipnya' untuk mengakses internet. Jadi? Walau statik macam manapun ip anda, jika anda sambungkan komputer anda dengan proxy server, hasilnya, ip anda adalah ip proxy server dan bukan lagi ip statik anda! Contoh mudah ialah, anda diberi ip 199.128.0.1 untuk mengakses internet. Di mana sahaja anda pergi, 199.128.0.1 ini merupakan kad pengenalan pada diri anda. Jika terdapat masalah, dunia dapat melihat dari mana ip ini berasal dan seterusnya dapat menghubungi syarikat/institusi anda untuk mengetahui lebih lanjut siapa yang menggunaka ip ini. Oleh kerana ia tidak rawak, maka ia berkekalan walau bilapun anda mengakses internet. Bila ip 199.128.0.1 dihubungkan dengan server proxy yang ipnya 203.121.9.10, maka hasilnya? Ip anda juga ialah 203.121.9.10 dan bukannya 199.128.0.1! Jadi, selepas sambungan pada proxy ini dibuat, walau dimana sahaja anda berada, anda bukanlah diri anda! Jadi dimana untuk mendapatkan perkhidmatan ini dengan mudah? Satu tempat yang paling senang dan mudah ialah di IProxy! Bila anda ke laman IProxy, daftarkan diri anda di situ dan anda akan diberi kata laluan dan nama pengguna. Setiap kali anda hendak menghantar email atau melawati laman web yang agak kritikal, gunakan laman web IProxy untuk melaksanakan niat anda. Di laman web IProxy, setelah didaftarkan, anda akan dibawa ke satu muka permulaan. Bookmark muka ini untuk memudahkan anda. Masukkan nama dan kata laluan serta laman web yang diinginkan. Contohnya, jika anda ingin menghantar surat melalui HoTMaiL, letakkan www.hotmail.com pada ruangan URL dan, WALLA! Anda bukan diri anda lagi! IProxy menyatakan bahawa setiap pengguna pelayannya (server) tidak diketahui oleh orang lain, walau IProxy sendiri! Dengan ini, anda selamat dalam menyatakan apa yang terbuku di dalam hati tanpa perlu takut-takut lagi.

Apa yang perlu pengguna internet fahami ialah, internet adalah demokrasi. Anda berhak menyatakan apa sahaja. Pihak berkuasa Malaysia tidak berhak untuk menyekat kebebasan bersuara di internet walaupun mereka boleh melakukan pada media tempatan. Mereka boleh menangkap anda jika anda cuai. Apakah kecuaian yang kerap dilakukan oleh pengguna internet? Menggunakan alamat email sendiri yang didaftarkan oleh JARING atau TMnet.

Tidak memadam sebarang kegiatan (artikel yang ditaip, dicetak, disimpan) yang dilakukan dalam komputer. Ingat, jika anda menaip menggunakan Ms-Word atau sebagainya, JANGAN SAVE DAN SIMPAN! Jika ditemui, ia merupakan bukti bahawa perbuatan itu perbuatan anda (.. dan, ianya hanyalah satu jika). Padamkan kesemua maklumat yang pernah ditaip untuk bahan artikel. Jika anda seorang webmaster, pastikan tidak ada kesan folder web pada hard disk anda. Jangan simpan bahan-bahan untuk web secara kekal. Memberi 'hint' yang cukup kuat dari mana datangnya sumber. Jika anda berada ditempat kejadian, jangan nyatakan keadaan anda atau sesiapa sahaja yang melihat anda! Selain itu, fikir-fikirkanlah sendiri, bagaimana caranya untuk 'baling batu sembunyi tangan'. Sehingga berjumpa lagi, InsyaAllah, saya harapkan pembaca sekalian faham dan kurangkan fobia takut pada internet ini. Kebebasan bersuara dalam internet adalah mutlak. Tidak perlu takut jika anda menyuarakan pendapat. Kerana seperti dalam siri I, pendapat bukanlah satu berita yang boleh dibuat rujukan. Pendapat yang bernas tidak akan mengancam keselamatan negara dan menggugat kestabilan masyarakat. Pendapat yang provokasi sahaja yang bisa merengkokkan kita ke dalam bilik kecil. Oleh itu, gunakan minda untuk berkata, jangan biarkan lutut berbicara.

Dipetik daripda satu sumber (lupa)



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com

Balik Semula Laman Tranung Kite