SELEPAS mengambil alih pemerintahan negeri ini, kerajaan PAS memansuhkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang dianggap tidak berfungsi dengan baik dan mengamalkan kronisme.
Sehubungan itu, kerajaan negeri mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Syura Rakyat (JSR) yang akan membantu melaksanakan pelbagai program kerajaan secara lebih adil dan saksama, agar semua rakyat berpeluang mengecap nikmat pembangunan yang dilakukan kerajaan tanpa mengira kaum dan fahaman politik.
Jawatankuasa ini diketuai seorang pengerusi yang juga bertindak sebagai ketua kampung dan dianggotai 15 jawatankuasa lain yang akan menjalankan tanggungjawab mereka secara kolektif, bukan berdasarkan kepada keputusan ketua kampung seorang saja seperti amalan kerajaan sebelum ini.
Anggota yang dilantik dalam JSR terdiri daripada ketua kampung/pengerusi JSR, timbalannya, setiausaha, bendahari, wakil pemuda, wakil muslimat, wakil masjid, wakil Rela dan dua yang lain di mana salah seorang hendaklah muslimat. Pemilihan pengerusi dan sembilan jawatankuasa JSR dibuat oleh penduduk kampung secara musyawarah dan dikemukakan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) setiap kawasan sebelum dihantar kepada Menteri Besar, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.
Manakala pelantikan enam lagi jawatankuasa JSR dilakukan Pegawai Daerah. Antara tugas JSR ialah membantu pembangunan masyarakat (rohani dan jasmani), membantu pelaksanaan projek mengikut keutamaan, memantau melaksanakan projek-projek yang telah dipersetujui, mengambil daya usaha serta memimpin untuk menjayakan projek-projek yang dipersetujui terutamanya dari segi berikut iaitu bergotong royong yakni menggalakkan penyertaan bersama orang-orang kampung, kelicinan perjalanan kesemua projek yang sedang dilaksanakan dan menyediakan tempat dan sebagainya untuk perlaksanaan sesuatu projek.
JSR juga menjadi badan penghubung di antara orang-orang kampung dengan kerajaan dan badan-badan luar,bertanggungjawab bersama-sama dengan badan-badan/jabatan-jabatan kerajaan atau pertubuhan-pertubuhan sukarela untuk menilai projek-projek pembangunan dan selanjutnya mengambil tindakan-tindakan yang perlu. Selain itu, JSR turut menjaga kampung dari anasir-anasir jahat yang hendak merosakkan masyarakat dan negara dengan melaporkan aktiviti-aktiviti mereka kepada pihak berkuasa dan menyusun rondaan serta membuat bancian penduduk apabila dikehendaki.
JSR juga perlu menyimpan segala rekod rancangan pembangunan masyarakat untuk kampung itu, termasuklah di antaranya minit-minit mesyuarat, menjemput sesiapa yang difikirkan sesuai kerana pengalaman pekerjaan atau kebolehan yang ada padanya untuk menghadiri mana-mana mesyuarat jawatankuasa. Peranan JSR juga berperanan melaksanakan apa jua projek atau aktiviti yang difikirkan ada perkaitannya dengan pembangunan masyarakat di samping mengadakan mesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam masa sebulan.
Dalam pada itu mana-mana ketua kampung/pengerusi JSR/timbalannya tidak boleh memegang jawatan imam dan bilal dalam masa yang sama. Difahamkan berlaku masalah di sesetengah kawasan berhubung pelantikan JSR kerana sebahagian besar penduduk kampung mahukan JSR diketuai oleh orang baru sedangkan pucuk pimpinan negeri mahukan ketua kampung asal dikekalkan bagi jawatan Pengerusi JSR, bagi menjaga keharmonian masyarakat setempat.
Dalam hal ini, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perikanan dan Ternakan negeri, Ustaz Abu Bakar Chik, berkata pemimpin negeri mahu ketua kampung dikekalkan supaya mereka dapat memberikan kerjasama yang baik dengan kerajaan negeri dan memantapkan lagi kepimpinan kerajaan. Beliau berkata, penduduk tempatan yang dipilih menduduki JSR perlu bersiap sedia menghadapi tanggungjawab lebih besar untuk kepentingan masyarakat.
Mereka yang dipilih itu mesti memiliki sikap kepemimpinan yang baik untuk mentarbiyah anak kariah masing-masing. Mereka adalah wakil kerajaan yang dipilih menjawat pelbagai jawatan bagi menjaga kepentingan rakyat tempatan, ujarnya.
Sehubungan itu, bagi menjawat jawatan Ketua Kampung/ Pengerusi JSR atau Timbalan Pengerusi JSR perlu mempunyai kelayakan tertentu. Namun begitu, Menteri Besar mempunyai kuasa untuk melantik seseorang yang difikirkan sesuai bagi jawatan Ketua Kampung/ Pengerusi JSR atau Timbalan Pengerusi JSR walaupun tidak mencukupi sebahagian daripada kelayakan tersebut.
Tempoh pelantikan pula dihadkan bagi tempoh dua tahun tetapi boleh dilanjutkan atas perakuan Pegawai Daerah. Bayaran elaun bulanan ditetapkan oleh kerajaan negeri mengikut beberapa kategori atas gred berikut iaitu kategori A (perkhidmatan lebih 10 tahun) dibayar RM300 sebulan, kategori B (khidmat antara 5 - 10 tahun) RM250 sebulan dan dan kategori C (kurang daripada lima tahun) RM200 sebulan.
Manakala bagi jawatan Timbalan Pengerusi JSR bagi kategori A RM200 sebulan, Kategori B (RM180) dan kategori C (RM150). Keistimewaan yang dinikmati Ketua Kampung atau Pengerusi JSR ialah mereka dibekalkan satu lencana, buku harian rasmi pada setiap tahun, dibayar RM15.00 serta elaun perjalanan kerana menghadiri mesyuarat atau mana-mana jabatan bagi satu hari atau sebagainya.
Dipetik daripada Risalah 100 hari selepas Kemenangan di Terengganu