Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite

Judi dan lesen hiburan dihapuskan di Terengganu

Kuala Terengganu: Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MPKT) tidak lagi mengeluarkan lesen premis perjudian kepada pengusaha perjudian mulai 1 April lalu untuk merealisasikan hasrat kerajaan bagi memastikan negeri ini bersih dari kegiatan perjudian.

Yang Dipertua MPKT, Haji Mazlan Ngah berkata, kerajaan sebelum ini memberi tempoh tiga bulan mulai 1 Januari hingga 31 Mac lalu bagi membolehkan pengusaha mencari perniagaan lain sebagai alternatif di samping pekerja premis berkenaan boleh mendapatkan kerja lain untuk sara hidup mereka.

Beliau menegaskan MPKT tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang sekiranya masih ada pengusaha terus menjalankan kegiatan itu selepas 31 Mac lalu.

Katanya, sehingga awal tahun ini, tiada sebarang pembaharuan lesen dibuat terhadap enam premis perjudian di seluruh negeri Terengganu termasuk tiga premis Sport Toto. Semua beroperasi di sini dan tiga premis Empat Nombor Ekor termasuk dua di sini manakala satu di Dungun.

Sebelum itu Kaum Bukan Islam membuat pertemuan dengan Menteri Besar Terengganu Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di Pejabat Menteri Besar di Wisma Darul Iman, memohon supaya kerajaan melanjutkan tempoh membenarkan premis perjudian beroperasi di Terengganu.

Mereka berpuas hati dengan sikap Kerajaan Terengganu yang terbuka dalam menyelesaikan masalah mereka dan mengucapkan terima kasih atas kesudian kerajaan memberi tempoh sedemikian.

Lesen hiburan juga dihapuskan

Kuala Terengganu: Kerajaan tidak meluluskan sebarang lesen premis baru pusat hiburan nyanyian solo di seluruh negeri sejak awal tahun ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MPKT) Haji Mazlan Ngah, berkata Kerajaan juga tidak mengizinkan semua hotel menjual arak bagi menghalang rakyat beragama Islam melibatkan diri dengan minuman yang diharamkan agama.

Bagaimanapun kerajaan memperbaharui lesen perniagaan `coffee house’ kepada dua dari sembilan pengusaha pub yang ada di sini.

Kedua-dua premis berkenaan beroperasi di bahagian bawah bangunan dalam bandar bagi memudahkan MPKT menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa.

“Kebenaran premis berkenaan hanya untuk orang bukan Islam sahaja dan pengusaha premis itu mesti mengambil pekerja di kalangan orang bukan Islam,” katanya.

Kerajaan tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang jika arahan ini tidak dipatuhi.

Sementara itu Kerajaan juga bercadang memisahkan kegiatan kedai gunting antara wanita dan lelaki. Satu undang-undang kecil berkait dengan masalah itu akan digubal tidak lama lagi.


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com