al-salam alaykum wa rahmat Allah wa barakatuh
E-mail ini sekedar ulasan spontan terhadap kekalahan yang diterima oleh PAS/BA dalam pilihanraya kecl Sanggang, sekiranya keputusan tersebut benar-benar mencerminkan pilihan rakyat, tanpa sebarang penipuan. pada pemerhatian saya, pemilihan calon PAS bagi pilihan raya ini sedikit sebanyak merupakan salah satu faktor kekalahan tersebut.
Dengan segala hormat kepada Dato' Hishamuddin, saya rasa beliau tidak sesuai untuk dicalonkan kerana beberapa sebab: rakyat tempatan mengenalinya sebagai wakil rakyat (Ahli Parliman) UMNO/BN selama ini dengan segala kebaikan dan keburukannya; masanya mungkin lebih banyak di KL daripada di Temerloh-Mentakab; usia yang agak lanjut; status yang lebih sesuai untuk Ahli Parliman.
Faktor kedua : PAS rasanya telah terlebih memainkan (over play) isu kelulusan calon UMNO/BN yang dikatakan tidak mempunyai ijazah al-Azhar, cuma diploma dari India; hal ini menimbulkan simpati rakyat kepada beliau dan sekali gus tercium rasa "takabbur", gah dan sombong di kalangan ahli-ahli PAS.
Faktor ketiga : PAS juga nampaknya telah terlebih memainkan isu kelucahan Dato' Adnan.
Faktor keempat: PAS nampaknya "terlebih kempen" dengan bilangan penyokong-penyokong luar yang begitu besar, mungkin menimbulkan "keresahan" di kalangan pengundi penduduk tempatan.
Faktor terakhir: PAS/BA nampaknya "over confident" dengan gambaran yang diberi dalam harakah dan dalam laman-laman web seolah-olah kemenangan sudah terjamin, hanya besar kecil majoriti sahaja yang menjadi perhitungan, dengan sokongan orang bukan Islam yang dikatakan begitu menyerlah dan berbagai-bagai lagi. keadaan yang terakhir ini mengingatkan saya kepada pilihanraya kecil Semerak dahulu. "over confidence" ini selalu membawa padah yang buruk. pengajaran sejarah Islam dan al-Sirah mengajar kita: bagaimana kerana sikap ini orang Islam kalah dalam perang Uhud dan hampir kalah dalam perang Hunayn.
Sekian sahaja ulasan saya, semoga pandangan yang tak seberapa ini menjadi bahan renungan bersama, terutama di kalngan pimpinan PAS/BA.
Wal-asalam alaykum wa rahmat Allah wa barakatuh