Ucapan tahniah kepada semua penduduk Sanggang yang telah keluar untuk
membuang undi dalam pilihanraya kecil tempohari. Keputusan muktamad
telah diperolehi dan diketahui umum hasil daripada undi saudara semua.
Saya percaya, saudara semua telah membuat keputusan yang tepat menurut
pertimbangan saudara sekelian. Samada keputusan yang saudara buat
mengikut perasaan atau fikiran, saya kurang pasti. Yang nyata, keputusan
pilihanraya kecil tersebut telah terpahat dalam sejarah negara ini.
Pelbagai kempen dan strategi telah dijalankan oleh kedua-dua parti sejak
hari penamaan calon. Ada yang bersih, ada yang kotor, ada yang melampau
serta keterlaluan. Macam-macam aksi boleh kita lihat menerusi internet
tetapi bukan di dalam akhbar arus perdana. Kita semua tahu bahawa,
setiap perlakuan yang kurang menyenangkan oleh pihak kerajaan pemerintah
tidak akan disiarkan kecuali kesilapan atau 'sengaja mencari kesilapan'
pihak pembangkang dilaungkan segenap penjuru alam. Ini kita tahu.
Masakan kempen memboikot akhbar dan saluran TV digerakkan.
Kepada pihak yang memenangi pilihanraya ini, kemenangan ini bukanlah
kemenangan yang diluar dugaan. Memang keputusan ini sudah dijangka
hasilnya kerana taktik dan strategi kotor serta keji sudah menjadi asam
garam dalam perjuangan politik mereka. Tiada ralat. Tetapi apa yang amat
dikesali ialah sikap penduduk Sanggang yang tidak mahu kepada perubahan
politik yang lebih positif. Mudah digula-gulakan dengan habuan yang
sedikit dan bersifat sementara.
Keberkesanan sesebuah pemerintahan itu akan hanya dapat dinilai apabila
ia diberi peluang untuk memerintah dengan manifesto yang telah
ditetapkan. Tambahan pula dalam sebuah negara yang dikatakan bersikap
'demokrasi berparlimen'. Tiada salahnya rakyat memilih parti pembangkang
untuk memerintah kerana dari sinilah dapat dibuat 'check and balance'
dalam jangkamasa lima tahun yang telah diperuntukkan untuk sesebuah
parti yang memerintah.
Namun, taktik perang saraf dan gerak saraf yang digunakan oleh pihak
yang memerintah telah berjaya membekukan minda rakyat amnya dan di
Sanggang khasnya sejak sekian lama untuk bertindak berani melakukan
perubahan. Untuk mengubah sesuatu yang telah lama bersemadi dilubuk hati
dan akal fikiran, memang amat payah tetapi hanya semangat kental dan
keyakinan diri sahaja yang dapat mengatasi perasaan was-was ini.
Tidak banyak yang boleh diperkatakan tentang keputusan pilihanraya ini
kerana ini adalah pilihan rakyat. Masing-masing sibuk membuat analisa
dan laporan untuk memastikan Sanggang terus kekal menjadi juara bertahan
atau akan jatuh ke tangan pesaingnya dalam pilihanraya yang akan datang.
Cuma, jangan ada rumah yang telah siap, pahat pula berbunyi.
Wannor
April 4, 2000