Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

KDN MEMULAKAN KAJIAN MENGENAI AKTA MESIN CETAK

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengambil langkah-langkah untuk memulakan kajian terhadap Akta Mesin Cetak dan Penerbitan ekoran satu memorandum tahun lepas yang mahu akta itu dimansuhkan.

Perkara itu diberitahu kepada satu delegasi enam wartawan dalam pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai susulan kepada memorandum yang dikemukakan pada 3 Mei, 1999.

Jurucakap delegasi itu Zainon Ahmad berkata, semasa dialog terus terang selama sejam, kumpulan itu yang mewakili 951 wartawan di seluruh negara mengulangi permintaan yang akta itu dimansuhkan dan meminta Majlis Akhbar Kebangsaan ditubuhkan bagi mengawalselia media massa di Malaysia.

"Menteri Dalam Negeri itu memberitahu kami yang idea akhbar mengawal selia sendiri adalah alternatif yang mungkin bagi akta itu. Beliau memberitahu kami untuk mengemukakan butir-butir mengenai bagaimana majlis yang dicadangkan itu boleh berfungsi," kata beliau dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Zainon berkata, terdapat sedikit kemajuan dalam mendapatkan perhatian kerajaan mengenai idea kebebasan yang lebih bagi media massa.

"Kebebasan lebih ini kita harap dapat capai dengan kawalselia sendiri melalui Majlis Akhbar Kebangsaan," kata beliau lagi.

Beliau berkata, kumpulan itu telah menjalankan kajian terhadap model sedia ada Majlis-majlis Akhbar di negara-negara lain dan mengemukakan satu kertas kerja kepada Abdullah yang juga Timbalan Perdana Menteri.

Salah seorang daripada anggota delegasi itu Shaila Koshy berkata, kumpulan itu telah menyatakan yang kerajaan tidak perlu bimbang kerana walaupun selepas akta itu dimansuhkan, terdapat undang-undang lain seperti Akta Hasutan dan Akta Fitnah untuk memastikan media masa bertanggungjawab.

Pada Hari Kebebasan Akhbar Dunia, 3 Mei lepas, kumpulan itu mengemukakan memorandum kepada Abdullah di Parlimen. Ia membawa 581 tandatangan yang dikumpulkan dalam tempoh seminggu daripada wartawan-wartawan di Lembah Klang.

Dalam pertemuan hari ini, tambahan 370 tandatangan yang dikutip dari negeri-negeri lain termasuk dari Sabah dan Sarawak disampaikan kepada Abdullah.

Anggota-anggota lain delegasi itu ialah K. Parkaran, Khaidir Abdul Majid, Joceline Tan dan Jacqueline Ann Surin.

-- BERNAMA



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com

Balik Semula Laman Tranung Kite