Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

KERAJAAN NAIKAN BANTUAN KEBAJIKAN

KUALA TERENGGANU, 3 April -- Kira-kira 16,000 penerima bantuan kebajikan di Terengganu akan menikmati kadar baru bantuan yang kini dinaikkan antara RM100 dan RM250 sebulan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Sosial dan Kesihatan negeri Abu Bakar Abdullah berkata sebelum ini penerima-penerima bantuan am negeri menerima antara RM60 dan RM150 sebulan.

"Pelaksanaan pembayaran bantuan itu bagaimanapun terpulanglah kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya pada persidangan media di sini hari ini.

Beliau berkata kenaikan kadar bantuan am itu berkuatkuasa semalam adalah selaras dengan janji-janji Pas dalam manifestonya pada pilihan raya umum lepas, sekiranya parti itu berjaya memerintah Terengganu.

Abu Bakar berkata kadar bantuan bagi kanak-kanak dalam satu keluarga terutamannya tanggungan ibu tunggal juga dinaikkan daripada RM20 sebulan untuk seorang anak kepada RM60 sebulan seorang.

Beliau berkata kenaikan kadar bantuan itu membabitkan perbelanjaan sebanyak RM26.6 juta setahun berbanding RM16 juta sebelum ini.

BERITA TDI



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com