Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

KELANTAN LANCAR PENGGUNAAN KALENDAR ISLAM

TUMPAT, 6 April - Kerajaan Negeri Kelantan akan menggantikan penggunaan kalendar Masihi kepada Takwim Hijrah (Kalendar Islam) secara berperingkat-peringkat dalam urusan pentadbirannya, kata Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau berkata Takwim Hijrah itu dilancarkan oleh Sultan Kelantan sempena sambutan Maal Hijrah peringkat negeri Kelantan di sini, malam tadi.

Bagi peringkat permulaan, penggunaan Takwim Hijrah itu melibatkan urusan yang tidak bercanggah dengan undang-undang seperti surat-surat rasmi kerajaan, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dewan Serbaguna masyarakat Thai di Kampung Kubang Panjang di sini, hari ini.

Nik Aziz berkata bagi urusan yang boleh menimbulkan masalah undang-undang, ia akan terus menggunapakai kalendar Masihi sehingga satu penyelesaian diperolehi.

"Umpamanya bagi pembayaran gaji, bagi peringkat awal ini kita akan terus membuat pembayaran mengikut kalendar sedia ada (Masihi)," katanya.

Nik Aziz berkata tujuan kerajaan memperkenalkan Takwim Hijrah ialah supaya rakyat khususnya umat Islam dapat menghayati Islam dengan lebih mendalam.

Katanya rakyat perlu disedarkan bahawa banyak perkara yang memudaratkan kehidupan telah berlaku semasa kalendar Masihi digunakan dan kalendar Islam diabaikan.

"Mungkin ini agenda penjajah untuk melalaikan orang Islam sedangkan bulan-bulan Islam mempunyai banyak fazilat (kelebihan) melalui amalan-amalannya," katanya.

Nik Aziz berharap Takwim Hijrah itu akan menjadi amalan dalam semua urusan kehidupan harian rakyat negeri ini.

Beliau berkata agensi-agensi kerajaan negeri termasuk Perbadanan Kemajuan Ikhtisad Negeri Kelantan (PKINK) juga akan menggunakan takwim berkenaan.



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com

Balik Semula Laman Tranung Kite