KUALA TERENGGANU, (Hrkh)- Kerajaan negeri kesal dengan dakwaan sesetengah pihak yang cuba melibatkan Sultan Terengganu dalam isu teks khutbah Jumaat.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Dakwah dan Pelaksanaan Syariah negeri, Ustaz Harun Taib turut menafikan penglibatan Tuanku Sultan menitahkan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) supaya mengarahkan imam dan khatib setiap masjid membaca khutbah menggunakan teks JHEAT sahaja.
"Semua pihak jangan libatkan Tuanku kerana Sultan tidak campur tangan dalam hal ini," jelasnya merujuk kepada pekeliling JHEAT bertarikh 28 Mac lalu ditandatangani oleh Pesuruhjayanya, Datuk Wan Isa Long berhubung arahan tersebut dengan titah Sultan.
Katanya, setiap arahan atau pekeliling mestilah dirujuk kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) atau Yang Dipertuanya, Menteri Besar Terengganu, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.
Beliau yang juga Ketua Dewan Ulama PAS Pusat menjelaskan, mengikut Enakmen bilangan 170 12/80 JHEAT berbunyi: "Pesuruhjaya boleh dengan persetujuan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dari masa ke semasa mengeluarkan arahan-arahan bahawa, hanya khutbah yang disediakan atau diluluskan oleh jabatan JHEAT hendaklah dibaca sebagai khutbah bagi maksud sembahyang Jumaat atau sembahyang Hari Raya atau lain-lain sembahyang yang menggunakan khutbah".
Oleh itu katanya, Pesuruhjaya JHEAT sewajarnya merujuk kepada MB Terengganu selaku Yang Dipertua MAIDAM sebelum mengeluarkan sebarang pekeliling mengenai arahan tersebut.
Dipetik daripada HARAKAH