Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite

Rahim King : Reformasikan MT Umno

MASIH ingat Ekspedisi ke Kutub Utara dan Sukan Komanwel tahun lalu? DETIK sempat berbicara in person dengan "orang kuat" Biro Tata Negara (BTN) dan juga saksi penting kes Anwar Ibrahim, Abdal Rahim Dahalan. Nama popularnya, RAHIM KING. Belian melepaskan jawatannya di Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada l Februari lalu setelah pas masak ke pejabatnya di JPM ditarik balik pada pagi 12 Januari, sehari selepas Timbalan Perdana Menteri baru memulakan "reformasinya".

Nama yang cukup popular di kalangan atlet, VIP dan tokoh politik negara ini khasnya melalui kursus BTN, selain selalu menyertai rombongan-rombongan penting Perdana Menteri ke luar negara – paling akhir ke Rio de Jeneiro (Brazil) kerana menghadiri UNCED 1992 – berbicara tentang kemelut Umno, reformasi Majlis Tertinggi (MT) parti itu dan nasib bangsa Melayu.

Sebagai seorang yang cukup terlatih dalam bidang ketenteraan, di sepanjang pertemuan DETIK, Rahim berkali-kali mengungkapkan kata-kata, "there is no bad soldiers but there are bad commanders," yang diminta khusus agar pembaca memikirkan hal ini dalam-dalam.

DETIK: Sebagai seorang penceramah dan perancang utama kursus-kursus di BTN, bagaimana Sdr menilai perubahan orang Melayu kini?

RAHIM: Selepas kemerdekaan, Melayu mengalami perubahan yang banyak. Pendidikan dan pengetahuan mengubah banyak ciri-ciri Melayu. Di sebaliknya, ada perubahan positif dan ada juga perubahan negatif. Ekonomi kita berubah. Dari ekonomi berasaskan pertanian, walaupun untuk komoditi seperti getah dan kelapa sawit, negara kita bergerak ke arah perindustrian. Pembandaran semakin pesat. Pendidikan, nilai-nilai baru, ancaman nilai asing, liberalisasi dan globalisasi mula mengancam survival Melayu.

Pada awal tahun 1970an, Tun Razak membawa pembangunan dan menggubal pelbagai dasar. Orang Melayu mulai maju, melalui dasar-dasar yang memberikan kelebihan kepada Melayu. Apakah pada waktu itu, orang Melayu ada merit? Pembangunan yang dibawa itu akhirnya telah menghanyutkan orang Melayu. Kita lupa daratan. Orang bawah rakyat biasa – lupa daratan dengan cara rakyat biasa dan pemimpin-pemimpin politik Melayu pula sedikit sebanyak lupa daratan dengan cara pemimpin-pemimpin politik.

Kemusnahan bangsa Melayu sedang bermula. Perlahan-lahan tanpa disedari. Sebab itu, kita menubuhkan BTN untuk mengingatkan semula orang Melayu, untuk re-engineering minda Melayu (orang sekarang kata "reformasi") yang seakan-akan khayal dengan pencapaian sementara itu dan bersifat luaran. Yang paling sukar sekali, orang Melayu lupa arah tujunya dan lupa siapakah musuh-musuhnya, dari dalam dan luar negara.

Kita mesti ingat siapa musuh kita, orang kita juga, orang dalam negeri juga. Kalau kita sebutkan hal ini, kita dituduh meniupkan api perkauman tetapi realitinya, bangsa lain tetap menguasai ekonomi. Mereka juga mempunyai strategi bagaimana hendak menyekat kekuatan ekonomi Melayu. Mereka hulur sikit, kemudian tarik sikit; hulur sikit, tarik sikit. Seperti itu mereka lakukan.

Sehinggakan timbul kemelesetan ekonomi pada tahun 1985 dan 1986, orang Melayu terkapai-kapai sebab kita tidak ada apa-apa (kekuatan ekonomi). Sehingga tahun 1990, apabila DEB berakhir, kita masih lagi tidak mencapai sasaran DEB. Bukan kerana orang Melayu tidak sanggup, bukan kerana orang Melayu tidak berani tetapi kita disogokkan dengan cara yang paling halus. Tetapi kita tidak sedar, orang Melayu tidak sedar.

Adakah itu yang dikatakan amalan ekonomi "Ali Baba"?

Itulah yang hendak saya tekankan dari awal tadi. Bukan orang Melayu tidak bersedia berubah dan maju. Soalnya, di kalangan orang Melayu sudah wujud keadaan, "there is no bad soldiers but there are bad commanders" – pemimpin-pemimpin Melayu sendiri yang mulakan. Melalui kursus-kursus BTN, kita faham sangat hal ini. Melalui body language, kita sangat faham penyakit ini di kalangan pemimpin-pemimpin Melayu, termasuk di kalangan pemimpin politik Melayu.

Maaflah kalau ada orang tersinggung. Kita bercakap perkara benar. Kalau pemimpin Melayu sedar dan mengingatkan orang bawah, rakyat biasa, tidak mengapa. Ini tidak! Mereka sedar, mereka lagi "pulun". Inilah keadaan yang kita alami hari ini. Memang benar wujud kroni itu, kroni ini. Tengoklah di kalangan pemimpin-pemimpin Melayu, politik sudah menjadi sumber pendapatan. Politik, di kalangan pemimpin Melayu, bukan satu asas untuk memperjuangkan agama, bangsa dan negara. Untuk menang, ada yang sanggup membunuh! Sudah sampai ke tahap itu.

Jadi arah tuju orang Melayu sudah pergi jauh dan semakin jauh menyimpang. Untuk mengawal keadaan ini, kita mulakan BTN secara senyap-senyap pada tahun 1984. Tetapi pada tahun 1991, kita melancarkan Wawasan 2020. Ketika Wawasan 2020 ini dilancar, orang Melayu belum bersedia. Orang Melayu belum lagi stabil dari segi politik (perpecahan besar Umno 1987 hingga wujud PMS46), orang Melayu belum lagi stabil dari segi ekonomi (sasaran DEB tidak tercapai), orang Melayu belum stabil daripada kejutan budaya (liberalisasi budaya dan globalisasi perdagangan). Orang beranggapan, kita berlari terlalu cepat. Sebenarnya bukan kita tidak boleh ikut (Wawasan 2020 dan era kemajuan) tetapi kerana foundation, asasnya tidak disiapkan.

Cuba kita siapkan asas dengan baik. Orang Melayu boleh. Saya pada waktu itu di BTN. Kita anjurkan bermacam-macam kursus kepada pelbagai kumpulan sasaran. Tetapi sejauh mana idea itu sampai ke bawah? Kita tidak tahu sejauh mana kesan sebenar ke atas rakyat bawahan yang diwakili oleh kumpulan-kumpulan sasaran tersebut. Pada saat itulah, ekonomi negara cukup meledak. Bermacam-macam peluang baru ekonomi wujud. Dasar-dasar ekonomi yang baru diwujudkan. Kita memang maju dari segi ekonomi tetapi along the line, kesan-kesan buruk mula muncul.

Biasiswa untuk orang Melayu sudah menjadi pinjaman. Kita juga melihat, pada waktu itu orang Melayu berdepan dengan banyak ancaman-ancaman baru. Kita mesti ingat. Mahu tidak mahu, suka tidak suka, Perdana Menteri hendak membawa kita terlalu ke depan. Kita memang setuju 100 peratus. Tetapi dalam masa yang sama, orang-orang yang memainkan peranan penting untuk membawa wawasan tersebut gagal dalam menjalankan tugas mereka.

Contohnya, jabatan agama kita. Apa jabatan agama buat? Perceraian meningkat tetapi proses perceraian memakan masa yang lama. Sistem jabatan agama itu nampaknya tidak cekap. Kemudian, timbul tuduhan, pegawai-pegawai terbabit di situ semuanya lelaki – jadi hanya memihak kepada lelaki (male chauvinism). Kaum lelaki dimenangkan. Semuanya salah perempuan. Timbul isu itu.

Isu ini nampak "kartun" tetapi mustahak ditangani dengan baik kerana asas pembangunan sosial dan budaya Melayu bermula di situ, perkahwinan dan kekeluargaan. Jadi inilah yang saya hendak timbulkan semula, apakah tanggungjawab kita sebagai warganegara, untuk agama, untuk bangsa, untuk ekonomi, untuk sosial, untuk pertahanan. Bagaimana orang Melayu boleh lari dari memikirkan hal ini, dari tanggungjawab ini?

Memang, seperti Sdr jelaskan, dalam tempoh 1990 hingga sekarang, semua bidang sudah diperdagangkan, termasuklah pendidikan. Semuanya perlu komersial ....

Itulah alasan yang kita bangkitkan hal ini. Kita tidak ada asas yang kukuh waktu mula-mula kita melancarkan era pembangunan dalam konteks 2020. Apa-apa perkara, mesti ada asasnya. Bagaimana nasib Melayu di alaf baru nanti? Dalam proses kita menuju ke alaf akan datang, negara yang maju mengikut Wawasan 2020, asas kita tidak cukup tersedia. Contohnya, pembangunan di Langkawi.

Ada anak-anak muda di pulau itu, pukul 10 malam sudah mabuk, sembang-sembang di kedai kopi, menunggang motor besar walau tidak ada pendapatan yang kukuh. Kenapa? Sebab bapanya orang kaya melalui penjualan tanah. Perlu apa lagi bekerja? Apabila berniaga, barangnya mahal kerana hendak untung cepat.

Apa puncanya? Kerana budaya itu – jual tanah, beli tanah – melibatkan pemimpin-pemimpin Melayu peringkat tinggi juga! Kalau tidak jual, nanti masuk mahkamah. Bagaimana orang kampung hendak melawan? Akibat campur tangan dan tekanan orang politik Melayu juga, tanah yang berharga 100 ringgit boleh turun harga ke 15 atau 20 ringgit, misalnya.

Macam kata pepatah Iran, ikan akan busuk dari kepala dahulu; maksudnya pemimpin yang memulakan?

Saya tetap dengan pendirian saya, there is no bad soldiers but there are bad commanders. Tidak ada pengikut yang tidak baik melainkan akibat ketuanya. Segala-galanya berpunca dari pemimpin. Saya tidak maksudkan Dr Mahathir tidak baik. Saya tidak berkata begitu kerana beliau juga membawa kemajuan. Tetapi bagaimana pemimpin-pemimpin di bawahnya? Saya berani bertanya begitu kerana saya kem komanden.

Jam 4.30 pagi, Mahathir sudah pergi madrasah. Orang lain, pukul lima baru bangun tidur. Beliau pukul 4.30 sudah berjalan kaki ke madrasah. Tentang hal itu, saya tidak mempertikaikan beliau, tetapi mereka di bawah beliau? Bagaimana orang kanan beliau? Beliau seorang pengarah yang baik tetapi pengurus-pengurus beliau tidak dapat memahami, tidak dapat menghayati apa yang diarahkan.

Tetapi mustahil Dr Mahathir tidak boleh berbuat sesuatu kepada pengurus-pengurusnya?

Dalam politik, ketua harus popular, harus digeruni, harus memainkan pelbagai peranan. Tetapi nampaknya apabila hendak membuat keputusan ekonomi, beliau menjadi takut pula sebab Daim berperanan. Sdr nampak? Walau dia boleh mengawal ekonomi, tetapi ada reservation. Saya berani berkata begitu kerana kita boleh mengkaji sejarah hidup Dr Mahathir. Cuma kebelakangan ini, beliau nampak meleset sedikit. Bermula tahun lepas, sebelum perhimpunan agung Umno, beliau menuju ke arah mana pula, kita tidak tahu. Sebelum itu, OK. Secara peribadi, sebelum itu, saya tidak nampak langsung kesilapannya.

Maknanya sekarang, kepimpinan beliau tidak begitu efektif?

Ini kenyataan. Sdr sendiri melihat orang ramai, termasuk ahli-ahli Umno mula mempertikaikan kepimpinan beliau. Beliau banyak dipersoalkan. Mahu tidak mahu, suka tidak suka, kadang-kadang beliau membuat keputusan itu berdasarkan satu asas saja. Beliau tidak boleh berfikir dari pelbagai arah, dan menimbang dari banyak penjuru. Beliau tidak lagi boleh berfikir ke kiri, ke kanan, ke depan, ke belakang. Kalau ke kanan, kananlah.

Maknanya, Dr Mahathir tidak mempunyai banyak pilihan?

Beliau tidak ada pilihan. Tetapi kredibiliti beliau sebagai pemimpin sudah terkeluar daripada ciri-ciri kepimpinan yang kita harapkan dapat membawa kita mengharungi ke next millenium, ke alaf akan datang. Ciri-ciri kepimpinan itu mula berkurangan. Beliau diremehkan oleh rakyatnya sendiri. Itulah faktornya.

Ada pemimpin veteran Umno memberitahu saya, "Tun Daim sudah menjadi sumber sokongan psikologi dan emosi kepada Dr. Mahathir". Sejauh mana kebenarannya?

Ada juga kebenarannya. Kita kena ingat satu perkara. Satu tabiat positif yang ada pada beliau yang paling kita sanjung ialah beliau tidak melupakan kawan yang menolong sewaktu susah. Waktu beliau susah dulu, kawan yang menolongnya tetap dikenang. Tangan yang menyuap nasi, beliau tidak akan lupa. Paling kurang, beliau akan tolak ke tepi. Beliau dengan Anwar tidak ada perhubungan semacam itu.

Tetapi Anwar kuat menyokong beliau sewaktu beliau dipecat dari Umno. Tidakkah beliau rasa terhutang budi sebegitu besar?

Memang benar tetapi kita perlu faham. Beliau terhutang budi dalam hal itu kerana political mileage, tidak melibatkan wang. Daim menolong beliau dengan wang, dengan segala keperluan hidup pada waktu itu. Wang tidak ada, Daim sanggup sediakan wang. Berbeza dengan Anwar yang hanya baik kerana perjuangan politik Mahathir. Dalam politik, tidak ada sahabat yang kekal, tidak ada musuh yang kekal.

Melihat situasi yang berlaku sekarang, apakah tindakan sewajarnya bagi mengatasi kegawatan Umno – membubarkannya atau membentuk parti baru seumpamanya?

Pada hemat saya, Umno harus dikekalkan. Saya berbeza sedikit dengan sahabat-sahabat saya yang lain. Ramai juga yang bersetuju dengan saya. Sebab, kalau kita hancurkan Umno, maka dominasi Malayu itu bukan sahaja boleh tergugat tetapi menjadi hancur lebur. Hanya Umno sahaja, pada zaman serba maju, zaman siber ini yang dapat menyatukan.

Kalau pilihan raya diadakan sekarang, apakah mungkin kuasa akan bertukar ke tangan pembangkang?

Kita mesti ingat, the silent majority (golongan rakyat yang diam) ini besar jumlahnya sedang menentang establishment. Seandainya mereka ini mengambil keputusan membuat satu perubahan, apa jadi? Inilah sebabnya pemimpin-pemimpin Umno mesti bekerja kuat untuk memberikan penerangan yang sebenar-benarnya. Hanya dengan kebenaran – walaupun kebenaran itu amat pahit untuk ditelan – pemimpin-pemimpin Umno harus berani menampilkan diri untuk menerangkan keadaan sebenarnya. Demi keutuhan parti, demi keutuhan ahli-ahli Umno.

Apakah sepatutnya response Umno kepada tuntutan perubahan rakyat atau sekurang-kurangnya tuntutan perubahan ahli-ahlinya?

Umno harus berubah. Inilah yang dikatakan perubahan minda, bukan lagi minda di takuk lama. Kita tidak mahu minda di takuk lama lagi. Umno perlu reformasi minda, reformasi sikap tetapi tidak menyingkirkan Umno. Reformasi itu akan mengukuhkan Umno. Kenapa saya tetap dengan pendirian bahawa Umno jangan dicacat-celakan? Pemimpin datang, pemimpin pergi. Umno seharusnya tetap sama. Ibaratnya, Islam terus kekal walau Nabi sudah wafat. Kita hendak keadaan seperti itu.

Dalam keadaan sekarang, masih bolehkah kita mempertahankan "jiwa" Umno itu dengan amalan-amalannya – rasuah, kronisme – begitu dipersoalkan?

Inilah yang saya maksudkan tadi. Kita mesti bercakap benar; mesti memberikan penerangan yang sebenar-benarnya, without fear or favour. OK, inilah hal yang sebenar. Kalau seseorang Ketua Bahagian membuat kesilapan, akuilah kesilapan. Mengapa tidak? Amalan paling mulia dalam dunia ini ialah mengakui kesilapan kita, kalau kita tersilap.

Tetapi keretakan dalam Umno waktu ini sangat serius.

Krisis Anwar ini adalah kemuncak kepada ketidak-tentuan dalam Umno itu sendiri. Kerana Anwar, sejak hari pertama beliau masuk Umno, beliau sudah ada musuh. Sampailah beliau keluar daripada Umno, masih ada musuh. Sekarang pun masih ada musuh!

Bermakna karier politik beliau mesti dihapuskan?

Ya! Beliau mesti dikeronyokkan begitu supaya beliau tidak boleh bangun-bangun lagi.

Bagaimana pandangan Sdr berhubung usaha Umno mewujudkan panel perundangan bagi mengkaji pengkritik kerajaan dan pemimpin parti? Adakah langkah ini untuk menyekat suara rakyat sedangkan jika kita mahukan pembaharuan dalam Umno, kita perlu maklum balas dari orang ramai?

Saya tidak tahu secara terperinci tetapi menurut sumber pemimpin Umno, mereka akan memilih panel peguam untuk menangani fitnah dan tohmahan yang dilemparkan kepada pemimpin Umno. Terlintas dalam fikiran kita, adakah langkah ini menyeluruh atau hanya hal-hal tertentu? Kalau hanya hal-hal tertentu, saya rasa ada baiknya tetapi kalau merangkumi semua perkara – tanpa mengira kebenaran dan keadilan – sudah tidak wajar.

Langkah itu tidak adil sebab hendak bersuara pun tidak boleh. Kalau orang luar parti, mereka akan menilai bergantung kepada apa yang disogokkan kepada mereka. Kalau betul, betullah. Kalau tidak betul, maka mereka membangkang. Maka akan timbul berbagai-bagai rupa teguran, termasuklah dalam bentuk yang ditafsirkan sebagai "fitnah". Kalau asas teguran itu palsu semata-mata, bolehlah diambil tindakan. Tetapi kalau teguran itu memang benar – misalnya pemimpin itu rasuah, pemimpin itu amalkan favouritism – bagaimana pula?

Hendak membawa ke mahkamah? Kalau pengkritik ada bukti, lagi besar ceritanya! Kita tidak mahu perkara itu menjadi begitu. Umno mestilah ada garis panduan. Kalau tidak ada garis panduan, lambat laun kebencian ahli parti atau rakyat akan mengena Umno itu sendiri. Bukan sahaja pada orang luar. Contohnya dalam mesyuarat agung tahunan Umno, seorang perwakilan membongkarkan sesuatu isu yang betul-betul mencabar kewibawaan pemimpin, penyelewengan misalnya. Bagaimana? Apakah dia akan disaman?

Dalam Umno, penyebab utama krisis akhir-akhir ini ialah kerana ahli-ahli tidak dapat memberikan maklum balas kepada pihak atasan pimpinan. Perhimpunan agung tidak jadi, pemilihan tidak berlaku, bagaimana perubahan hendak dibawa dalam Umno?

Umno perlu memainkan peranan perubahan dari dalam, self-reform. Tetapi dalam parti itu, mereka yang di peringkat MT yang paling strategik dan layak menggerakkan perubahan. Merekalah yang patut re-enginering ahli-ahli, manoeuvre untuk ahli-ahli Umno.

Tapi akhir-akhir ini, ahli-ahli MT dipilih oleh Presiden tanpa berpandu pada keputusan pemilihan.

Terserah kepada ahli Umno sendiri untuk melihat kewibawaan ahli MT itu sendiri – sama ada mereka dapat menyampaikan pandangan yang bernas tanpa takut, kebenaran tanpa mempunyai kepentingan demi kebaikan ahli-ahli parti. Bahkan, tindakan mereka ini bukan untuk ahli Umno sahaja, tindakan ini juga akan melibatkan orang Melayu khasnya dan rakyat umumnya. Kerana mereka adalah "kerajaan dalam kerajaan". Peranan yang mereka mainkan begitu besar sekali.

Itu sebab kewibawaan mereka jangan sampai dipersoalkan. Kalau kita dapat mempersoalkan MT, tentunya ada yang tidak kena pada ahli-ahli. Presiden, Timbalan Presiden, Naib Persiden dalam membuat satu-satu keputusan banyak juga bergantung kepada pandangan-pandangan ahli majlis. Saya kira kalau orang berkata, "Mahathir itu diktator", kita boleh lihat dalam isu Anwar, beliau beri juga peluang bercakap tetapi soalannya, tidak ada sesiapapun yang bangun, hendak bertanya Dr Mahathir secara terperinci dan sahih.

Soalnya, budaya ketakutan inilah yang melanda Umno!

Inilah yang kita ingin tegaskan bahawa ahli-ahli MT yang mesti berwibawa, mesti berani kerana benar.

Kalau dicantas, bagaimana?

Kita tidak perlu bimbang dengan cantas-mencatas. Soalnya, kalau sudah berwibawa, ahli akar umbi akan tetap menyokong. Soal pengaruh dalam politik adalah soal ahli akar umbi.

Apakah ini bermaksud pemilihan itu mesti berdasarkan pemilihan ahli-ahli Umno? Tetapi apa yang berlaku sekarang, ada ahli MT yang tewas dalam pemilihan tetapi tetap dipilih sebagai ahli majlis atau memegang jawatan tinggi parti.

Inilah kepincangan yang ketara dilihat oleh rakyat. Saya ahli Umno. Saya berharap ahli MT mendahului dalam konsep keberanian dan kewibawaan. MT perlukan reformasi berfikir, reformasi bertindak. MT mesti dapat melihat diri sendiri, muhasabah diri mereka sendiri dengan sebenar-benarnya. Bukan soal guling mengguling pemimpin. Jika ahli MT dapat muhasabah diri mereka sendiri, maka kepincangan yang berlaku dalam MT itu pasti dapat diatasi dengan cara yang amat baik dan berkesan. Mungkin kerana tidak dapat muhasabah diri, sebilangan mereka ini dituduh pak turut walaupun dalam realiti mereka bukan pak turut.

Bagaimana jenis pemimpin yang di dalam bercakap lain dan di luar bercakap lain pula. Mengapa jadi begitu?' Marilah kita balik kepada tanggung-jawab kita sebagai insan Muslim. Muhasabah diri supaya menjadi seseorang yang dapat mengawal diri sendiri, tidak jadi seperti remote control. Dia tidak akan jadi seperti lalang, seperti "katak lompat". #

DETIK Mac 1999


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com