Sumber :
Kini eGroups
Pada hari Rabu 19 April lalu, Barisan Alternatif telah mengumumkan secara rasmi penubuhan 20 biro yang meliputi semua bidang termasuk undang-undang, ekonomi, kemudahan awam, pembangunan industri dan teknologi, perumahan dan perbandaran, alam sekitar, hal ehwal antarabangsa, pengguna dan kemajuan mutu hidup, kesihatan dan pembangunan komuniti, tanah, pertanian dan pembangunan desa, pendidikan, belia, sukan dan rekreasi, kebudayaan, senia dan warisan, pekerja dan pembangunan sumber manusia,perpaduan nasional, hal ehwal dan pembangunan wanita, sektor awam, media dan penerangan,teknologi malumat, pertahanan dan hal ehwal dalam negeri.
Pengumuman penubuhan biro-biro tersebut dan bengkel pertamanya telah diadakan dalam satu majlis di pejabat PAS di Taman Melwar Kuala Lumpur pada malam Rabu lepas. Langkah konkrit yang diambil oleh Barisan Alternatif yang terdiri daripada PAS, Parti Keadilan Nasional, PRM dan DAP merupakan satu langkah yang positif.
Penubuhan 20 biro Barisan Alternatif itu diharap dapat memainkan pelbagai fungsi penting seperti mengumpulkan maklumat, memantau tindakan pemerintah khususnya perjalanan 24 buah kementerian kerajaan BN sekarang. Selain itu biro-biro Barisan Alternatif itu juga dapat menolong ahli-ahli parlimen Barisan Alternatif di Dewan Rakyat. Biro-biro yang dipimpin dan dianggotai oleh aktivis-aktivis yang komited dalam bidang-bidang tertentu itu dan dibantu oleh golongan profesional yang pakar diharapkan dapat menghasilkan dasar-dasar alternatif dan pelan tindakan bagi pelbagai bidang dalam urusan pentadbiran negara.
Penubuhan biro-biro Barisan Alternatif menunjukkan satu lagi usaha pemantapan gabungan empat buah parti politik itu dalam menghadapi BN. Jelaslah bahawa Barisan Alternatif bukan satu gabungan sementara hanya untuk kepentingan pilihanraya sahaja. Lepas pilihanraya masing-masing bawa hal masing-masing seperti tuduhan BN. Sebaliknya, Barisan Alternatif setakat ini telah menunjukkan bahawa mereka serius dan jujur untuk memberi alternatif kepada rakyat dalam pilihan siapa yang patut mentadbir negara ini. Tidak sahaja mereka berhasil menggubal satu manifesto bersama semasa pilihanraya lalu, kini Barisan Alternatif sedang cuba mengembangkan manifesto itu menjadi lebih konkrit dengan penubuhan biro-biro yang khusus bagi pelbagai perkara.
Kali ini Barisan Alternatif mempunyai banyak masa menjelang pilihanraya umum ke- 11 akan datang. Ada lebih empat tahun untuk bersedia. Segala sumber dan kepakaran yang ada dalam Barisan Alternatif memang wajar digemblengkan untuk menghasilkan dasar-dasar pentadbiran negara yang lebih baik dan adil. Ini satu langkah yang amat berguna untuk menghakiskan imej Barisan Alternatif sebagai gabungan parti pembangkang yang kerjanya hanya sebagai parti pembangkang sahaja. Tidak lebih dari itu. Dengan pembentukan 20 biro Barisan Alternatif, rakyat mungkin akan lebih yakin bahawa gabungan parti pembangkang ini sedang bersedia untuk menyiapkan diri sebagai sebuah kerajaan yang boleh mentadbir Malaysia dengan lebih berkesan jika diberi peluang.
Dalam jangka pendek, penubuhan biro-biro itu juga diharapkan prestasi ahli-ahli parlimen Barisan Alternatif akan lebih berkesan dan meyakinkan di Dewan Rakyat. Ini kerana salah satu fungsi biro-biro itu, seperti yang disebut awal tadi ialah membantu ahli-ahli parlimen Barian Alternatif dari segi maklumat dan aspek-aspek teknikal. Dengan itu, ahli-ahli parlimen Barisan Alternatif diharap akan dapat berbahas dan mengemukakan soalan-soalan yang relevan dan menyentuh isu-isu pokok dalam pelbagai bidang. Ini dengan sendirinya akan meningkatkan imej dan martabat Parlimen Malaysia supaya lebih tinggi dengan perbahasan dan perbincangan yang lebih berkualiti. Menerusi parlimen, wakil-wakil dari Barisan Alternatif mempunyai kesempatan yang amat baik untuk mendedahkan kelemahan dan kepincagan perlaksanaan dan dasar-dasar BN pada satu segi, dan di segi yang lain mampu mengutarakan dasar-dasar Barisan Alternatif.
Biro-biro Barisan Alternatif itu juga mempunyai peranannya di luar parlimen iaitu dengan mengambil satu-satu pendirian dalam bentuk kenyatan media atau sebagainya berhubung sesuatu perkara atau isu yang timbul dari semasa ke semasa. Pada masa-masa akan datang kita akan dapat melihat kenyataan tentang sesuatu perkara akan dibuat secara tindakan dan kenyataan bersama Barisan Alternatif. Proses kerja konkrit bersama sebagai satu pasukan di dalam biro-biro Barisan Alternatif itu, akhirnya akan membawa hasil yang baik untuk memupuk persefahaman dan muafakat yang lebih rapat antara parti-parti komponen Barisan Alternatif itu sendiri.