Sumber :
Kini eGroups
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Ariffin Jaka pada hari Jumaat 21 April telah membuat keputusan bahawa Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad tidak perlu hadir sebagai saksi pembela untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hakim Datuk Ariffin Jaka berpendapat tindakan memanggil Perdana Menteri untuk memberi keterangan pada perbicaraan itu adalah satu proses penyalahgunaan mahkamah. Pendapat Hakim Datuk Ariffin Jaka ini boleh disanggah. Apa fungsi utama mahkamah? Tentu sekali untuk mencari keadilan. Orang yang dituduh seperti Anwar Ibrahim perlukan haknya untuk membela diri. Ariffin Jaka sebagai hakim perlu mempastikan hak itu tidak dinafikan ke atas Anwar. Antara kepentingan Mahathir dengan prinsip keadilan, seorang hakim perlu mengutamakan prinsip keadilan.
Ariffin Jaka berkata, tidak ada sedikitpun keterangan saksi pendakwa dan pembela menunjukkan Dr Mahathir terbabit dalam mereka cipta keterangan untuk menjatuhkan Anwar. Hujah Ariffin Jaka ini boleh ditolak. Pertama, sepanjang membicarakan kes ini, Ariffin Jaka selaku hakim selalu menghalang soalan-soalan peguam Anwar kepada saksi-saksi sekiranya soalan-soalan itu akan membawa kepada pendedahan penglibatan Mahathir Mohamad dalam konspirasi menjatuhkan Anwar. Sekarang Ariffin berani berkata, tidak ada petunjuk bahawa Mahathir terlibat. Bagaimana petunjuk itu dapat kelihatan sekiranya soalan-soalan itu dilarang? Banyak soalan peguam-peguam Anwar dianggap tidak relevan oleh hakim. Banyak keterangan saksi pembela dianggap sebagai "dengar-cakap". Jadi sama ada Mahathir terlibat atau tidak, sama ada "dengar-cakap" atau tidak berhubung penglibatan Mahathir, maka Mahathir sendiri perlu memberi keterangan sebagai saksi.
"Mahkamah tidak mempunyai sebab untuk memanggil Dr Mahathir memberi keterangan kerana ia tidak dapat memenuhi sebarang tujuan," kata Hakim Datuk Ariffin Jaka. Ini satu hujah yang sangat tidak senonoh dari seorang hakim. Anwar didakwa dengan satu tuduhan yang berat dan aib. Hukumannya sampai penjara 20 tahun dan sebatan. Anwar mendakwa tuduhan ke atasnya adalah rekaan hasil dari satu konspirasi tertinggi untuk menjatuhkannya. Surat Ummi Hafilda yang memfitnah Anwar ditujukan kepada Mahathir. Mahathir memecat Anwar atas tuduhan salah laku seks. Anwar mendakwa Mahathir terlibat sama. Jadi nama Mahathir berkait rapat dengan kes Anwar Ibrahim. Bagaimana orang yang begitu rapat kaitan dengan kes Anwar ini dianggap oleh hakim sebagai tidak dapat memenuhi sebarang tujuan jika datang ke mahkamah? Hujah dangkal seperti menegak "benang basah". Paling tidak tujuan Mahathir ke mahkamah ialah memberi keterangan secara rasmi tentang salah laku Anwar (jika ada) seperti yang telah dijajanya ke seluruh dunia. Mulut yang berani memfitnah seharusnya berani datang ke mahkamah!
Satu hujah peguam Anwar tentang perlunya Mahathir memberi keterangan di mahkamah ialah mengenai kaitan surat yang ditulis oleh Ummi Hafilda Ali kepada Perdana Menteri pada 5 Ogos 1997 dan kenyataan Mahathir yang menganggap kandungan surat itu tidak berasas. Ini satu perkara pokok. Mahkamah perlu mendengar sendiri daripada mulut Mahathir mengapa dia menganggap pada waktu itu bahawa kandungan surat Ummi itu tidak berasas? Ini bermakna Mahathir berpuas hati bahawa tuduhan ke atas Anwar adalah palsu dan fitnah belaka. Hal ini relevan kepada perbicaraan kes Anwar sekarang.
Sebaliknya, Ariffin Jaka berkata bahawa Dr Mahathir sudah menjawab perubahan sikapnya daripada tidak mempercayai kandungan surat Ummi pada 1997 dan mempercayainya pada 1998 dalam afidavit jawapan Mahathir. Hujah Ariffin ini lemah sangat. Masakan kes seberat ini yang melibatkan tuduhan aib dan boleh membawa penjara 20 tahun, keterangan saksi dilakukan secara berbalas-balas afidavit sahaja? Tunjukkan keadilan dilakukan. Biar mulut Mahathir sendiri yang menjawab mengapa dia bertukar sikap dari tidak percaya kepada percaya? Ini hal yang menarik dan relevan. Mahkamah tentu berminat untuk tahu tentang maklumat eksklusif yang Mahathir mungkin ada sehingga dia bertukar sikap? Hal ini satu perkara asas atau pokok. Tentu sekali relevan. Peguam Anwar berhak untuk menyoal Mahathir mengapa dia bertukar sikap? Apakah hal ini sebenarnya yang menjadikan Mahathir gementar untuk datang ke mahkamah?
Biar sebanyak mana ‘benang basah" cuba ditegakkan oleh Hakim Datuk Ariffin Jaka, namun orang ramai di dalam mahkamah dan masyarakat umum di luar mahkamah tidak dapat menolak anggapan bahawa Ariffin Jaka sebenarnya mahu menyelamatkan Mahathir. Sama ada Ariffin mendapat arahan dari pihak atasan atau tidak; sama ada Mahathir mengenakan tekanan atau tidak; sama ada pihak hakim sudah hilang kebebasan atau tidak, tetapi sesuatu yang jelas dan pasti ialah hakikat bahawa seorang rakyat Malaysia yang bernama Anwar Ibrahim yang pernah menduduki tempat nombor dua dalam kerajaan telah dinafikan keadilan.
Kesan keputusan Ariffin Jaka ini amat meluas. Dalam proses menyelamatkan Mahathir, Ariffin Jaka sebenarnya telah menghancurkan institusi kehakiman. Semakin ramai rakyat kini bersikap sinis kepada para hakim dan mahkamah. Mahathir tidak terselamat sebenarnya.