Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite

Ku Li tetap gurkha dalam Umno

Sumber Berita :
Harakah Daily

PERINGAT, 18 Apr (Hrkh) - Pelbagai pihak di negeri ini menyifatkan Tengku Razaleigh Hamzah hanya akan meneruskan hayatnya sebagai gurkha dalam Umno selagi parti itu diterajui Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad.

Malah kegagalan Ku Li untuk merampas semula Kelantan daripada PAS pada pilihan raya umum lalu, menjadi faktor beliau terus diketepikan dalam Umno biarpun terlalu optimis untuk menumbangkan kerajaan PAS.

Seorang pemimpin Umno di Bahagian Peringat Nik Daud Nik Mohammad berkata, kegagalan Ku Li untuk merampas Kelantan sudah cukup untuk membuktikan kemampuan sebenar kepemimpinannya sekarang.

Katanya, Ku Li akan terus tinggal sebagai gurkha dalam Umno dan tidak ada tempat baginya di peringkat yang lebih tinggi.

Sebelum ini, Ku Li pernah disebut-sebut untuk melawan Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad dan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi kerusi Presiden dan Timbalan Presiden Umno pada perhimpunan parti itu, Mei ini.

Ku Li juga disenarai sebagai calon bagi merebut kerusi Naib Presiden dan sehingga Isnin lalu beliau mendapat 17 pencalonan yang melayakkan untuk bertanding pada jawatan tersebut.

Bagaimanapun mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang dipengerusikan Dr Mahathir semalam, membuat kejutan lagi apabila memutuskan pencalonan Gua Musang tidak sah dengan mendakwa tidak menepati arahan parti.

Pembatalan tersebut secara tidak langsung menghilangkan kelayakan Ku Li untuk bertanding pada jawatan Naib Presiden Umno.

Nik Daud berkata, berdasarkan kepada perkembangan yang berlaku dalam Umno sekarang, menggambarkan tempat Ku Li dalam barisan tertinggi Umno sudah tertutup rapat.

Katanya juga, rakyat sudah jelas menolak kepemimpinan Ku Li berdasarkan pencapaiannya pada pilihan raya umum lalu.

Perkembangan yang berlaku mutahir ini menggambarkan Dr Mahathir tidak begitu senang dengan kehadiran Ku Li di arena politik Umno sekarang.

Sehubungan itu, beliau meminta Ku Li merenung perjuangan politiknya dalam Umno sudah berakhir dan Dr Mahathir tidak mungkin merestui kehadiran Ku Li biarpun di peringkat mana sekalipun.


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com