Sumber Berita :
Harakah Daily
BACHOK, (Hrkh) - Tindakan kerajaan Melaka melarang lawatan rasmi agensi kerajaan tersebut ke Kelantan dan Terengganu disifatkan sebagai mengulangi kembali era penjajah yang menghalang kebangkitan Islam.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Haji Omar Mohamad berkata, tindakan terbaru kerajaan Melaka sebenarnya sudah berlaku berpuluh tahun lalu, di mana penjajah mencari jalan menyekatkan penyebaran agama Islam.
Sambil menyifatkan arahan tersebut sebagai kurang rasional beliau berkata, sekiranya Ketua Menteri berkenaan mahu rancangannya berjaya, perlu diwujudkan imigresen di sempadan Kelantan dan Terenganu.
"Imigresen yang dihantar kerajaan Melaka akan memastikan tiada kakitangan kerajaan tersebut melawat Kelantan dan Terengganu," katanya pada ceramah Hijratul Rasul di Pusat Pembangunan Pondok, Kandis, malam tadi.
Baru-baru ini, Ketua Menteri Melaka, Dato' Wira Mohd Ali Rustam mengarahkan semua agensi kerajaan tersebut tidak membuat lawatan rasmi ke Kelantan dan Terengganu bagi mengelakkan wujud perpecahan di kalangan rakyat Melaka.
Sebelum itu, pemimpin Umno tersebut mengarahkan agensi milik kerajaan Melaka mengeluarkan wang simpanan tetap di Bank Islam dan Bumiputra Commerce kerana mendakwa ada penyokong pembangkang di bank terbabit.