Petikan daripada :
Detik Daily Internet Edition
Komen tentang persidangan Umno 11 Mei depan.
Tiada apa istimewanya dalam perhimpunan Umno kali ini apabila
jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak ditandingi. Ahli-ahli
Umno tidak bersedia, atau lebih tepat lagi, tidak berani untuk
melakukan perubahan yang menyentuh peringkat kepemimpinan tertinggi
parti. Mereka terikat dengan mentaliti hamba. Mereka dibelit budaya
takut yang tidak berkesudahan. Nasihat MT memang secara teorinya
boleh dilanggar, tapi siapa berani berbuat demikian. Periuk nasi
perlu dijaga. Kontrak perniagaan boleh dibatalkan bila-bila masa
jika dilihat menentang Presiden. Siapa sebodoh itu dalam Umno mahu
menanggung risiko buruk hanya kerana mencalonkan tokoh selain
Mahathir dan Abdullah Badawi. Umno bukan lagi forum orang Melayu
membincangkan masalah dan kepentingan mereka. Lagipun terbukti
majoriti Melayu tidak lagi bersama Umno. Umno nampak kuat kerana
sokongan bukan Melayu. Itu saja. Tapi yang janggalnya media terutama
tv akan membuat liputan besar-besaran persidangan Umno itu supaya
nampak gilang gemilang walhal Umno bukan lagi parti utama orang
Melayu. Tanpa perubahan Umno akan kehilangan seri dan tarikannya.
Orang muda tidak lagi tertarik untuk mendekati Umno. Ya, ada
benarnya kata orang, mungkin Mahathir akan dikenali sebagai Perdana
Menteri terakhir daripada Umno.
Abdullah Badawi bakal pengganti Mahathir.
Sudah empat orang yang pernah disebut-sebut sebagai pengganti
Mahathir. Bila Musa dipilih Timbalan Presiden Umno dan dilantik
Mahathir sebagai Timbalan Perdana Menteri, banyak pihak mengatakan
mereka regu terbaik pernah dimiliki orang Melayu sehingga timbul
gelaran 2M. Namun regu itu tidak mengambil masa lama untuk berpecah
dan menentang satu sama lain. Ghafar mungkin dilihat sebagai TPM
yang mengisi tempat kosong buat seketika. Selepas Anwar menang
jawatan Timbalan Presiden Umno pada November 1993, dirasakan sudah
tiba masanya untuk Mahathir berundur. Saya sendiri menyifatkan Anwar
beruntung kerana menjadi TPM kepada Mahathir di penghujung usianya.
Rupanya saya tersilap besar. Mahathir belum puas menikmati takhta
kekuasaannya. Akhirnya Anwar sendiri kecundang. Dari satu segi
Mahathir memang licik berpolitik, sama ada menyingkirkan seteru
politiknya di luar parti atau menyisihkan lawannya dalam parti.
Lihatlah nasib Musa Hitam, Tengku Razaleigh dan Anwar Ibrahim. Pak
Lah mungkin lebih berhati-hati dan dapat belajar daripada pengalaman
tiga bekas TPM sebelumnya. Pak Lah pasti akan mengikut apa saja
kehendak Mahathir. Tepat sekali jolokan Habibie buat Pak Lah. Jangan
harapkan Pak Lah akan buat perubahan atau reformasi prorakyat;
menekan lagi rakyat dan mencabul hak asasi manusia mungkin!
Umno dapat memulihkan imejnya semula selepas era Mahathir?
Siapa orangnya? Pak Lah? Pengalamannya di KDN membuatkan harapan
ramai punah. Sudah tentu pengharaman Detik dan menghadkan penerbitan
Harakah adalah rekod buruk yang dicatat Pak Lah. Begitu juga dengan
langkah membawa pemimpin Alternatif ke mahkamah dan menghalang
perhimpunan awam secara aman. Keburukan yang ditinggalkan Mahathir
sukar untuk dibersihkan oleh mana-mana pemimpin selepasnya. Malah
mereka turut bersekongkol menyempurnakan kezaliman. Ia sudah menjadi
institusi yang tetap teguh berdiri meskipun tanpa Mahathir. Ruang
kebebasan bersuara tetap disekat. Institusi kehakiman terus
tercemar. Politik wang dan rasuah menjadi wabak yang sukar
dibendung. Amalan pilih kasih, kronisme, salahguna kuasa, ugut
mengugut berterusan. Umno sudah menjadikannya tradisi turun temurun.
Saya sedikitpun tidak menaruh impian ada individu dalam Umno yang
boleh menyembuhkan penyakit kronik ini. Reformasi total harus
dilancarkan, mengubah dari akar umbi seluruh sistem yang membelit
kita selama ini.
Mengapa Tengku Razaleigh sukar mendapat sokongan?
Sebenarnya jika tidak disandarkan faktor simpati kepada Anwar dan
sentimen anti-Mahathir, Tengku Razaleigh sudah menjadi bahan sejarah
dalam Umno, apatah lagi bila beliau tidak mampu menyerahkan semula
Kelantan kepada Umno dalam pilihan raya lalu. Walhal kemerosotan
Umno Kedah, Pahang, Terengganu, dan juga Selangor, jauh lebih buruk
berbanding Umno Kelantan. Bagaimanapun peluang Ku Li untuk menempati
jawatan tertinggi parti sebenarnya tidaklah hilang terus jika
strategi yang diambil tepat dan bijaksana. Sememangnya Ku Li bukan
sebarangan tokoh yang boleh diperlekehkan. Tetapi harus diingat,
kekuatannya semasa menentang Mahathir pada April 1987 bersendikan
banyak faktor lain. Ramai menteri-menteri kanan bersamanya, misalnya
Pak Lah sendiri, juga didokong tokoh besar Umno, Musa Hitam, dibantu
Shahrir Samad, Rais Yatim, dan ramai veteran Umno yang memihak
kepadanya, seperti Harun Idris. Soalnya, siapa menteri bersama Ku Li
sekarang? Tak ada. Siapa timbalan menteri dengannya? Untuk mencari
ketua-ketua bahagian Umno pun susah. Setakat ini yang berani cuma
Hashim Safin dan Padil Harun. Bekas orang kanannya, Ibrahim Ali pun
sekadar mencalonkannya kerusi Timbalan Presiden. Timbalannya semasa
dalam Semangat 46 dulu, Rais, sudah menjadi orang kuat Mahathir.
Manakala orang-orang Musa pun lebih cenderung memilih Pak Lah
berbanding Ku Li.
Strategi Tengku Razaleigh tersasar?
Sepatutnya mood tidak puas hati terhadap Mahathir diempang dengan
baik bermula semasa mesyuarat peringkat cawangan lagi. Ramai
penentang Mahathir dalam Umno sudah keluar parti menjelang pilihan
raya lalu. Selebihnya, yang masih setia dengan Umno, tidak lagi
aktif bergerak. Mereka tidak hadir mesyuarat yang menyaksikan
pemilihan ketua-ketua cawangan baru-baru ini. Sebab itu banyak
mesyuarat yang tidak ada korum tetapi berjalan juga. Maka, yang
hadir adalah penyokong Mahathir. Jelas, pihak yang untung adalah
Mahathir dan Pak Lah, manakala Ku Li yang mengharapkan manfaat dari
sentimen anti-Mahathir tidak beroleh apa-apa keuntungan politik.
Sewajarnya jurukempen Ku Li harus bermula dari awal, dengan
memastikan penentang Mahathir menguasai cawangan-cawangan Umno
terlebih dahulu. Tapi apa nak buat, Ku Li sendiri tidak mempunyai
jentera yang baik untuk melakukannya. Ku Li lebih berserah pada
keadaan dan nasib. Ramai yang mengeluh, "kalaulah ada Anwar …"
Musa Hitam faktor penentu dalam Umno.
Dari satu segi kritikan Musa terhadap Mahathir tidak pernah reda,
malah bertambah tajam baru-baru ini. Musa menentang pemupukan budaya
baru dalam Umno yang tidak menggalakkan pertandingan. Baginya,
pertandingan tidak memecahbelahkan parti. Masalahnya, Musa
menanggung beban sejarah yang tidak menguntungkannya. Musa dikatakan
meninggalkan para penyokongnya terkontang-kanting bagai anak ayam
kehilangan ibu. Sepatutnya Musa kembali aktif berpolitik selepas
nasihatnya "supaya Umno dijaga baik-baik" tidak dipatuhi. Umno kini
tercari-cari tokoh yang mampu mencabar Mahathir selepas ketiadaan
Anwar. Tepat sekali bila Mahathir memecat Anwar. Dia kini boleh
bersenang-lenang. Yang tinggal dalam Umno adalah budak-budak yang
boleh dicucuk hidung dan mengikut segala kata.
Tokoh-tokoh yang berpeluang menjadi Naib Presiden.
Pertandingan Naib Presiden tidak pernah menarik perhatian dalam
Umno. Ia berjalan biasa, menurut kehendak perlembagaan. Siapa pun
yang menang tidak mempengaruhi perjalanan parti. Semuanya mengikut
saja. Dari segi pencalonan Najib mendahului, diikuti dua menteri
besar. Mungkin Najib suka dua calon yang mengiringnya nanti adalah
menteri-menteri besar. Mereka bukan saingan kepadanya. Najib yang
kecewa dengan perlantikan Pak Lah sebagai TPM memendam rasa. Selepas
era Mahathir mungkin kita dapat saksikan pertembungan Najib-Pak Lah.
Namun jangan diperkecilkan calon lain, misalnya Rais. Tapi Rais ada
kalanya macam kaduk naik junjung.
Pemilihan Ketua Wanita dan Ketua Pemuda.
Hairan saya, orang seperti Hishamuddin Hussein menang mudah.
Apakah ini petanda Pemuda Umno sudah kehilangan tokoh sedangkan
Hisham nanti akan bertembung ketua-ketua pemuda Alternatif yang
hebat-hebat belaka. Tapi dari satu segi, Hisham mungkin akan
mendapat bimbingan langsung dari Mahathir sepertimana Anwar dulu.
Itu kelebihan buatnya. Nanti pandailah dia menari mengikut paluan
gendang Mahathir. Mengenai Ketua Wanita, nampaknya perwakilan
melihat kecenderungan Mahathir. Mahathir lebih gemar Rafidah
berbanding Zaharah. Kes rasuahnya tidak menjadi isu. Lainlah kalau
perwakilan melihatnya sebagai masalah kepada Rafidah.
Peluang Alternatif lebih mudah selepas era Mahathir.
Tidak semestinya. Umno mungkin sudah mencukupkan syaratnya untuk
tumbang. Hampir semua parti yang mendapatkan kemerdekaan bagi negara
masing-masing sudah dikalahkan, kecuali Umno. Soalnya, bagaimana
persediaan BA? Gabungan mereka belum begitu mantap. BA hanya kuat di
kalangan pengundi Melayu. Kalau sudah tahu masalahnya pada pengundi
bukan Melayu mengapa belum dilancar pendekatan khusus buat mereka.
Beberapa negeri seperti Johor belum dapat ditembusi. Yang lebih
penting, selagimana BA belum berakar di Sabah dan Sarawak, jangan
bicara soal menawan Malaysia pada pilihan raya akan datang. Untuk
percubaan, BA harus atur strategi menghadapi pilihan raya umum
negeri Sarawak. Jangan bertanding tanpa semangat BA, kelak semuanya
hancur berkecai dipermainkan Taib Mahmud. Ya, kalaupun Umno sudah
mencukupkan syarat untuk kalah tapi BA belum cukup syarat untuk
menang, keputusan masih berpihak kepada BN sebab parti-parti
komponennya selain Umno tetap kuat dan mantap. BA harus berjalan
seiring. Tanpa kesatuan BA, BN tak dapat dikalahkan.
Ahmad Lutfi Othman
lutfi_detik@hotmail.com