Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite


AHMAD LUTFI MOHON PERMIT PENERBITAN MAJALAH BARU MENGGANTIKAN MAJALAH DETIK

Menurut laporan agensi-agensi berita luar negara seperti AFP dan AP, Setiausaha Bahagian C, Unit Kawalan Penerbitan, Kementerian Dalam Negeri, Hj Saadun Mat Sabari memberitahu, alasan utama majalah DETIK diharamkan kerana pemiliknya telah melanggar Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (pindaan 1987) dan syarat-syarat permit penerbitan.

Maknanya, kesalahan yang dilakukan DETIK lebih berbentuk teknikal semata-mata. Pengharaman itu langsung tidak ada kena mengena dengan isi kandungan majalah DETIK. Tetapi, apa yang saya musykilkan, jika kesalahan itu hanya berbentuk teknikal kenapa ia dihukum begitu berat sekali, sehingga permit penerbitan yang telahpun dikeluarkan pada 9 Disember 1999 bagi tempoh setahun (1Disember 1999 - 30 November 2000) boleh dibatalkan!

Pihak KDN telahpun membutirkan kesalahan-kesalahan yang dilakukan DETIK melalui suratnya KDN 1505(8757)(26) bertarikh 24 Disember 1999:

1. Tidak mencetak alamat penerbit di majalah DETIK.

2. Meletakkan permit penerbitan yang diberikan kepada Irrecon Corporation Sdn Bhd di bawah kawalan Penerbitan Pemuda.

3. Melantik Ketua Pengarang, Ahmad Lutfi Othman, tanpa memaklumkannya kepada KDN.

Pengurusan majalah DETIK sebenarnya telahpun memberikan penjelasan lanjut berkenaan dakwaan KDN itu kepada salah seorang pegawainya, Tengku Mahmood Tengku Ismail pada 28 Disember 1999. Bagi apa yang didakwa kesalahan pertama dan ketiga, kami memohon maaf atas kealpaan yang tidak disengajakan itu. Tetapi bagi kesalahan kedua, kami menafikannya, dengan menegaskan bahawa Irrecon Corp. tidak pernah menyerahkan permit itu kepada mana-mana pihak.

Bagaimanapun, sehinggalah DETIK diharamkan secara rasmi pada 21 Mac 2000, pihak KDN langsung tidak memberikan jawapan balas ataupun sebarang respons terhadap jawapan kami itu.

Justeru, saya mengambil keputusan untuk memohon sendiri permit penerbitan bagi sebuah majalah baru, dan telahpun menyerahkan borang permohonan pada hari Selasa, 25 April 2000, jam 12.30 tengahari, di Unit Kawalan Penerbitan, Tingkat 11, Bangunan Arab Malaysia Bank, Jalan Lumut, Kuala Lumpur. Isi kandungan dan pendekatan majalah baru ini tidak jauh berbeza dengan DETIK. Ia akan diterbitkan oleh Penerbitan Pemuda, syarikat milik saya, dengan cadangan bahawa Ketua Pengarang adalah saya sendiri, Ahmad Lutfi Othman. Ini secara tidak langsung memberikan alternatif kepada "kesalahan-kesalahan" yang telah DETIK lakukan tempoh hari.

Atas nasihat dan syarat-syarat yang ditentukan KDN, saya tidak dapat memaklumkan judul majalah berkenaan. Namun begitu, ia boleh dikatakan majalah berunsur politik yang memuatkan laporan dan analisis terhadap perkembangan semasa merangkumi isu-isu ekonomi, pendidikan, politik, budaya, agama dan sosial. Ia dicadang untuk diterbitkan sebanyak dua kali sebulan.

Namun begitu, kami berjanji akan cuba memberikan liputan yang lebih adil, bertanggungjawab dan seimbang serta tidak memihak kepada satu-satu golongan sahaja. Mungkin sedikit berbeza dengan DETIK, aspek politik kepartaian akan dikurangkan, dan diimbangi dengan liputan analisis terhadap isu-isu yang menyentuh kepentingan masyarakat misalnya alam sekitar, kepenggunaan dan seumpamanya.

Saya amat mengharapkan pihak KDN dapat menimbang permohonan ini dengan sewajarnya dan diharap proses meluluskannya dapat dibuat dalam tempoh yang munasabah. Disebabkan KDN sendiri telah memperakui bahawa pengharaman DETIK dahulu tidak ada kena mengena dengan isi kandungannya, dan majalah baru saya ini juga mempunyai pendekatan dan isi kandungan yang hampir serupa, dengan tenaga editorial yang sama, saya merasakan permohonan ini insya-Allah akan berjaya.

Permohonan ini sengaja dibuat menjelang Hari Kebebasan Akhbar Sedunia, yang akan dirayakan pada 3 Mei depan. Ia akan menguji sejauhmana komitmen KDN dan Menterinya sendiri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi terhadap isu kebebasan media yang hangat dibincangkan sekarang ini. Saya percaya, sekiranya majalah baru ini diluluskan, insya-Allah kami akan turut serta bersama rakyat Malaysia lainnya bagi membangunkan masa depan negara yang lebih gemilang dan adil.

AHMAD LUTFI OTHMAN
Penerbitan Pemuda,
24B, Jalan 4/21D, Medan Idaman,
Gombak, 53100 Kuala Lumpur.
Tel: 40230175
E-mail: lutfi_detik@hotmail.com
Tarikh: 25 April 2000

"DETIK SUDAH MATI! HALANG PENCABULAN KDN TERHADAP KEBEBASAN MEDIA"


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com