Klik untuk balik ke Laman Tranung Kite

Perpecahan Melayu berpunca daripada Umno

Sumber Berita :
Harakah Daily

KUANTAN, 20 April (Hrkh)- Perpecahan yang berlaku dalam masyarakat sekarang berpunca daripada Umno/BN sendiri apabila mengadakan berbagai prosedur yang boleh menjarakkan hubungan masyarakat, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Semantan, Ustaz Idris Omar.

Beliau yang juga Timbalan Mursyidul Am Pas berkata demikian sewaktu mengambil bahagian ketika membahaskan titah ucapan menjunjung kasih, pembukaan persidangan ketiga penggal pertama Dewan Undangan Negeri Pahang Yang Kesepuluh.

Tambah beliau, banyak contoh bagaimana sikap pemimpin Umno/BN yang menimbulkan perpecahan dalam masyarakat.

Antaranya, ucapan Timbalan Menteri Besar Pahangsebagaimana yang disiar akhbar Berita Harian 23 Febuari 2000 mengenai prosedur baru pengagihan biasiswa yayasan Pahang yang jelas menjaga kepentingan ahli Umno tanpa mengira kepentingan semua rakyat.

Dibawah syarat baru itu, borang biasiswa dibahagi dan disahkan melalui wakil rakyat BN sahaja sebelum dihantar kepada Yayasan Pahang untuk diproses.

"Daripada ucapan dan keputusan kerajaan negeri itu menunjukkan seolah-olah yayasan negeri itu kepunyaan ahli Umno/BN dan bukan kepunyaan rakyat,ini bercanggah dengan hakikat yang sebenar dalam negara demokrasi," katanya.

Istiadat pembukaan dewan itu telah disempurnakan Isnin lalu, oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

Titah ucapan baginda dibacakan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Hashim Abdullah


        Ke atas

Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com