KUALA TERENGGANU April 10 (Hrkh) - Kerajaan negeri akan berusaha untuk menarik sekurang-kurangnya 75 projek pelaburan dalam tempoh Rancangan Malaysia Kelapan (RM8) bagi mewujudkan lebih 15,000 peluang pekerjaan baru kepada penduduk tempatan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Ekonomi, Petroleum, Perindustrian dan Sumber Manusia negeri, Haji Mustafa Ali, berkata dengan siapnya Kompleks Petrokemikal Bersepadu Petronas di Kertih, pihaknya akan menerokai peringkat hiliran kegiatan petrokimia, bagi membantu menarik lebih ramai pelabur ke negeri ini.
"Kerajaan negeri akan meneruskan dasar menjadikan Terengganu sebagai negeri yang disenangi dan menjadi rakan kepada pelabur kerana kita mahu menjadi tuan rumah (untuk pelaburan) paling baik di rantau ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluan kepada rombongan pelabur dari Britain yang dalam rangka lawatan tiga hari ke negeri ini untuk meninjau peluang pelaburan, khususnya di bidang petroleum, baru-baru ini.
Rombongan yang mengandungi 32 orang daripada pelbagai syarikat multinasional negara berkenaan diketuai oleh Pengarah Perdagangan dan Pelaburan Pesuruhjaya Tinggi British di Malaysia, Horward Parkinson.
Mustafa berkata, dalam usaha menarik pelabur pihaknya akan menyediakan pelbagai kemudahan kepada mereka, terutamanya di segi sokongan logistik untuk perusahaan, bagi memastikan mereka dapat menjalankan pelaburan dengan lancar.
Sementara itu, Parkinson berkata, kini syarikat-syarikat gergasi dari negaranya mempunyai keyakinan untuk melabur dalam pelbagai bidang di negara ini, termasuk Terengganu kerana kesediaan kerajaan memberi galakan kepada mereka untuk berbuat demikian.
Beliau berkata, hubungan baik dengan kerajaan Malaysia dan pelbagai insentif yang disediakan bagi tujuan pelaburan boleh membuka ruang kepada syarikat berkenaan untuk membuka pelaburan baru atau mengembangkan perusahaan yang sedia ada.
"Bilangan pelajar dari negara ini yang mendapat latihan dalam pelbagai bidang pendidikan di Britain yang agak tinggi dan kemampuan penduduk tempatan menguasai bahasa Inggeris juga menjadi aset kepada Malaysia untuk menarik lebih ramai pelabur asing, khususnya dari Britain," tambahnya.
Daripada Harakah daily