Oleh : 'Ein Azmi
1:30pm, KHAMIS : Tinggal lagi 10 hari dan deadline untuk reka letak dan percetakan makin hampir, majalah bulanan terbitan sebuah syarikat swasta, Tamadun, terpaksa menangguhkan isu bulan Mei apabila permit majalah itu belum diluluskan oleh Kementerian Dalam Negeri.
Majalah yang pernah diberikan amaran oleh kementerian bulan Oktober tahun lalu akan tamat permitnya pada akhir bulan ini.
Pemilik permit dan penerbitnya berusaha mengadakan perbincangan dengan Unit Kawalan Penerbitan esok bagi mendapatkan nombor permit yang baru.
"Kita mengikut prosedur permohonan biasa tapi mungkin ada sedikit masalah sebelum pilihanraya lalu. KDN mendakwa Tamadun membuat laporan berbentuk hasutan," kata Ketua Pengarang dan pemilik permitnya, Muttaqin Amaluddin kepada malaysiakini hari ini.
Kementerian melalui surat amaran kepada majalah itu menyifatkan Tamadun mengandungi rencana-rencana yang berunsurkan politik.
"Rencana-rencana yang berunsur politik secara keseluruhannya disiarkan lebih difokuskan kepada politik pembangkang yang mana rencana-rencana tersebut dikhuatiri akan menyinggung mana-mana pihak terutama pihak perseorangan," surat kementerian bertarikh 28 Oktober dipetik.
Kementerian juga mendakwa terdapat rencana-rencana yang mengungkit cerita-cerita lama yang dapat mengundang kebencian rakyat kepada kerajaan.
Sementara itu bekas pengarang Tamadun, Ahmad Lutfi Othman, "terkejut" dengan tindakan terbaru kementerian itu. Beliau berpendapat, majalah tersebut tidak lagi memaparkan isu-isu kontroversi semenjak pertukaran ketua pengarangnya yang baru.
Tiga tahun lalu semasa memimpin majalah itu, Lutfi dipanggil sebanyak tiga kali oleh pegawai kementerian. Tambahnya, KDN memberi tekanan terus-menerus kerana pada waktu itu Tamadun sering menyiarkan isu-isu politik.
"Majalah yang cuba membebaskan diri daripada (membuat liputan terhadap) parti pemerintah akan dituduh sebagai pro-pembangkang," ulas Lutfi berhubung tekanan KDN itu.
Lutfi mendakwa tindakan KDN tersebut sebagai "menindas industri penerbitan di negara ini."
"Sesebuah majalah mengambil masa sebulan bagi menyiapkan urusan penerbitannya termasuk menyediakan bahan, layout (reka letak) dan pencetakan. Saya fikir KDN lebih arif tentangnya, tetapi mengapa KDN masih melengah-lengahkan permohonan permit sedangkan surat kelulusan bertulis telah diberikan?" soal Lutfi, yang pernah memimpin sebuah lagi majalah, Detik, yang baru diharamkan 21 Mac lalu setelah permitnya digantung selama empat bulan.
Tambah Lutfi lagi, sekiranya seseorang yang menceburkan industri ini semata-mata untuk tujuan komersil, sudah tentu mereka tidak sanggup lagi menghadapi tekanan-tekanan daripada pihak kementerian.
Laporan asal :
http://www.malaysiakini.com/