Laman Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000

Perutusan untuk sahabatku....

Salam ikhlas penuh ukhuwwah dan salam perjuangan,

Puja dan syukur buat Ilahi yang menganugerahkan nikmat Aidil Adha sebagai lambang keunggulan umat Islam sejagat. Keunggulan itu terpapar pada pengorbanan seorang nabi untuk Tuhannya walau menerima arahan menyembelih darah dagingnya sendiri; jua pada kesatuan yang terpugar pada perhimpunan umat Muhammad setiap musim dalam perhimpunan teragung di Arafah, natijah pengorbanan masing-masing menjunjung panji ‘Labbaikallahumma Labbaik’. Mereka yang tidak dapat bersama di Arafah pula bersiap-siaga, menumpahkan darah korban-korban terpilih pada pagi Aidil Adha dan Ayyamu Tasyrik sebagai simbol kebersamaan dalam ubudiyah dan tadhiyah kepada Allah.

Tika dan saat yang sama jua menyaksikan darah saudara-saudara kita terus mengalir dan mengalir membasahi bumi, menjadi korban ‘tughah durjana’ yang melata di setiap penjuru alam dengan hunusan senjata pelbagai rupa tanpa siapa yang menyekatnya. Lalu apakah erti keunggulan yang tersirat dalam falsafah Aidil Adha, sedangkan telinga dan mata kita hanya mampu menyaksikan korban-korban seaqidah terus bertambah.

Sahabat-sahabat seperjuangan yang dihormati,

Sedar atau tidak, masih ramai di kalangan kita yang menjejaki denai ke arah lembah derita yang serupa. Denai-denai itu yang berselirat sejuta rupa melingkari ruang hidup mereka sehingga tidak ramai yang berjaya keluar daripadanya. Suasana ini akhirnya akan melahirkan generasi du’at yang rapuh dan lemah lalu mudah ditumpaskan musuh. Dalam masa yang sama, bunga-bunga perubahan belum begitu mekar lantaran akar yang mengumbi di dasar pohon seringkali kekeringan. Tanah-tanah yang keras membatu juga sering menghalang air menyuburkan akar-akar tersebut apatah lagi untuk mencambahkan tunas-tunas baru pewaris perjuangan.

Suasana ini tidak wajar dibiar berterusan. Agenda-agenda tarbiyah dan thaqofah adalah terlalu penting untuk dirancakkan dalam suasana keharmonian dan kesatuan sejati sehingga membekaskan perubahan yang dikehendaki. Nilai-nilai ketaqwaan yang luntur perlu dipugar walaupun perit kerana ia adalah jalan keluar daripada segala kesukaran dan kesulitan. Firman Allah SWT: “

Adalah munasabah seandainya umat Islam selama ini diazab oleh kemungkaran mereka sendiri. Justeru, agenda perubahan perlu direncana. Sawang kedegilan terhadap Allah yang bersarang hingga menutup nur hidayah perlu disingkap agar jendela nusrah kembali terbuka dan bercahaya.

Sahabat-sahabat seaqidah,

Rela atau tidak, kita adalah pemikul kewajipan itu. Sudah tiada masa untuk bergentayangan dan sendaloka. Ayuh, ketepikan unsur-unsur pemecah kesatuan yang masih tersisa. Jitukan semangat perjuangan, halakan tujuan dan tindakan menurut keutamaan, tidak lagi mengikut nafsu dan perasaan. Di saat para jemaah haji bersatu di Tanah Haram, moga-moga ruh perjuangan mereka akan terserap ke dalam nadi dan sanubari kita agar jiwa-jiwa ini kembali bugar menghirup aroma firdausi Syuhada Chechnya-Kosova yang tenang bersemadi. Bersama seruan Lailahaillallah kita dan mereka berpadu dalam perjuangan yang satu.

Wa akhiran, sama-sama kita merenung sejenak pesanan Imam Al Ghazali dalam kitab AL MAWAAIZ. Semoga kita sama-sama tergolong di kalangan hamba-hambaNya yang diredhai lagi dirahmati, Insya Allah.

Firman Allah SWT dalam hadis Qudsi yang bermaksud:
“Wahai Anak Adam….

Sesiapa yang memulakan hari dengan berdukacita terhadap dunianya, dia tidak akan bertambah hampir kepada Allah bahkan bertambah jauh. Di dunia ini, ia akan sentiasa dalam kepayahan dan di akhirat pula akan sentiasa mendapat kesukaran. Hatinya sentiasa berdukacita terhadap Allah, dia sentiasa sibuk, tidak pernah terluang untuk mengingatiNya. Ia sentiasa fakir dan tidak pernah merasa cukup(kaya), angan-angannya sentiasa tinggi.

Wahai Anak Adam…….

Setiap hari ilmumu sentiasa berkurangan sedangkan kamu tidak merasainya. Setiap hari kamu mendapat rezeki tetapi kamu tidak mensyukurinya. Anugerah yang sedikit tidak pernah memadai dan anugerah yang banyak tidak pernah mencukupi.

Wahai Anak Adam……

Ketahuilah pada setiap hari Aku datangkan kepadamu rezeki daripadaKu, ketahuilah pada setiap malam malaikat-malaikat datang kepadaKu dengan amalan-amalan jahat yang kamu lakukan. Kamu makan rezekiKu kemudian kamu melakukan maksiat kepadaKu. Kamu memohon kepadaKu, lalu Aku perkenankan permohonanmu itu.

Wahai Anak Adam…..

KebaikanKu sentiasa sampai kepada kamu tetapi kejahatan daripada kamu sentiasa sampai kepadaKu. Maka Aku adalah sebaik-baik pemeliharaan bagi kamu, tetapi kamu sejahat-jahat hamba bagiKu. Kamu lupakan Aku setelah Aku memberi kenikmatan kepadamu. Aku telah menutup keburukanmu selepas kamu melakukan keburukan yang sangat memalukan. Aku sangat malu kepadamu tetapi kamu tidak malu kepadaKu. Kamu lupa kepadaKu dan kamu ingat pada yang lain dan kamu takut kepada manusia tetapi tidak merasa takut kepadaKu. Kamu merasa takut menerima kebencian daripada manusia tetapi kamu tidak takut kepada kemarahanKu.”

Sekian, wassalam.
Salam muhasabah dan mujahadah.

Humaira



Diterbitkan oleh : Tranung Kite Cyberlink Millenium 2000
Laman Web : http://tranung.tripod.com/ dan Email : dppkd@hotmail.com