Tuan Pengerusi [Dato' Haji Muhamad bin Abdullah]: Kubang Kerian.
3.55 ptg.
Tuan Husam bin Haji Musa [Kubang Kerian]: Terima kasih, Tuan
Pengerusi. Saya mengambil kesempatan ini untuk merujuk kepada B.29 Perkhidmatan
Am Perbendaharaan – Bayaran Untuk Tanggungan Kumpulan PERWAJA yang telah
diuntukkan sebanyak RM1.167 bilion.
Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Jadi kepada
PERWAJA yang genap usianya 18 tahun pada 22 April ini. 18 tahun rupanya sudah
berlalu, hampir sama usianya dengan tempoh pentadbiran Yang Amat Berhormat
Perdana Menteri tetapi nampaknya PERWAJA masih gagal dalam keseluruhan misinya.
Dengan peruntukan RM1.167 bilion ini sudah tentu menambahkan lagi beban negara
yang diakibatkan oleh PERWAJA.
Sehingga kini kerajaan telah pun meminjamkan RM4.1 bilion, ditambah dengan
pemberian ini RM1.167 bilion serta jaminan pinjaman PERWAJA yang telah dijamin
oleh kerajaan sejumlah RM5.1 bilion. Keseluruhan pinjaman dan jaminan pinjaman
menjadikan jumlahnya ialah RM10 bilion.
Saya yakin ini bukanlah sumbangan terakhir negara pada PERWAJA kerana jika
kita teliti senarai jaminan kerajaan, kita dapati untuk tahun-tahun akan datang
lebih banyak pinjaman akan matang. Sebagai contoh:
- Tahun 2000 pinjaman Arab Malaysian Merchant Bank berjumlah RM600 juta
akan matang.
- Tahun 2001 pinjaman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja berjumlah RM710 juta
akan matang.
- Tahun 2002, dua pinjaman akan matang, satu dalam negeri, satu luar
negeri. Dalam negeri jumlahnya ialah RM600 juta dan luar negeri:
- USD400 juta; dan
- untuk bunga pinjaman USD300 juta.
- Tahun 2003, empat pinjaman luar negeri akan matang. Masing-masing
bernilai USD95 juta; Yen 4.5 bilion dan Yen 6 bilion.
Pada masa
yang sama kita terpaksa mengimport besi dan keluli dalam jumlah yang semakin
meningkat pada setiap tahun. Sebagai bukti bahawa PERWAJA di sebalik
perbelanjaan yang demikian besar gagal mencapai matlamat membekalkan besi untuk
keperluan negara.
Sebagai contoh, untuk tahun 1995 misalnya, mengikut Laporan Tahunan Malaysian
Iron and Steel Industry Federation (MISIF) kita mengimport besi berjumlah RM30
bilion iaitu meningkat 30% daripada tahun sebelumnya. Dilihat dari sudut cukai
besi yang diimport sebagai satu petanda saiz import besi kita telah meningkat
dan PERWAJA gagal membekalkan besi sebagaimana yang
diharapkan, angkanya adalah seperti berikut:
- hasil dari cukai import bahan binaan untuk tahun 1994 hanya RM348,000
tetapi pada tahun 1995 mendadak untuk keluli sahaja menjadi RM100 juta cukai
import dan untuk jubin RM8.1 juta dan untuk bahan-bahan binaan yang lain
RM22 juta; dan
- bagi tahun 1997 cukai import bagi besi ialah RM113 juta. Memang benar
ada setengah pengeluaran PERWAJA dieksport pada masa ini kerana kedudukan
industri besi kita yang mendapat perlindungan cukai dan tarif. Ia menjadikan
produk kita pada masa ini lebih rendah tetapi jika kita dibenarkan
bertanding secara bebas, ianya tidak semestinya seperti apa yang berlaku
sekarang. Menjelang 2003 perlindungan ini akan hilang apabila kawasan bebas
perdagangan ASEAN akan diterima pakai.
PERWAJA pada satu ketika
mengalami kerugian operasi sejumlah RM1 juta tiap-tiap tiga hari, tiga hari RM1
juta rugi, tiga hari RM1 juta rugi. PERWAJA pernah membeli mesin pengeluaran
yang menggunakan sistem direct reduction yang tidak pernah digunakan oleh
mana-mana kilang besi di dunia dan selepas pemasangan ternyata ia tidak dapat
digunakan.
Akhirnya, pembekal direct reduction ini Nippon Steel daripada Jepun
mengakui mesin yang dijual tidak pernah diuji dan memberikan pampasan tetapi
atas beberapa sebab terutamanya oleh kenaikan Yen pada waktu itu telah
mengakibatkan kerugian permulaan yang begitu besar kepada PERWAJA. Jika dalam
pembelian mesin pun sudah wujud kecacatan, ia sememangnya menimbulkan
kebimbangan terhadap ketelusan PERWAJA diurus.
Dari sedutan laporan Price Waterhouse yang telah dibentangkan oleh bekas Yang
Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri, yang sekarang dipenjarakan di Dewan ini
telah dicerakinkan segment kerugian seperti kerugian operasi, kerugian
pertukaran asing untuk pembayaran pinjaman luar, kos kewangan dan lain-lain
kerugian.
Dari laporan Price Waterhouse dan kenyataan-kenyataan Perdana Menteri sendiri
mengenai wujudnya siasatan ke atas PERWAJA dari satu masa ke satu masa
memperlihatkan pengakuan tidak langsung bahawa sesuatu yang tidak kena telah
berlaku dalam PERWAJA. Apabila pembangkang membangkitkan isu siasatan dan
mendesak pendakwaan dilakukan, pada fikiran saya yang dihasratkan oleh rakyat
dan disuarakan oleh pembangkang ialah satu keadaan perlindungan, protection
terhadap pengurusan wang awam yang disalurkan melalui PERWAJA.
Satu pengelakan (prevention) dari berulangnya penyelewengan dan
ketidakcekapan, satu ketelusan dalam penetapan harga sesuatu pembelian dan urus
niaga dan satu kesungguhan politik, bukannya satu sambil lewa dalam menangani
isu kerugian PERWAJA.
Atas alasan ini adalah tidak wajar sama sekali kita meluluskan tambahan
RM1.167 bilion ini tanpa Dewan ini terlebih dahulu memeriksa dan mencadangkan
perkara-perkara berikut:
- kedudukan penyiasatan yang telah dilakukan, janganlah datang ke Dewan
ini berulang kali menyatakan siasatan belum selesai untuk selama empat tahun
yang lalu. Sekalipun benar ia belum selesai, apakah perkembangan yang telah
dilalui oleh siasatan itu dan hendaklah dimaklumkan supaya kita dapat
mengetahui sama ada siasatan memang belum selesai atau memang sengaja tidak
akan diselesaikan. Malangnya, Yang Berhormat Menteri Kewangan dan Timbalan
Menteri Kewangan belum sampai pada waktu kita membincangkan portfolio ini;
- penubuhan sebuah Suruhanjaya Diraja yang akan menyediakan laporan penuh
untuk Dewan ini. Jika dalam kes kerugian BMF yang hanya berjumlah RM2.5
bilion negara telah menubuhkan suruhanjaya sedemikian pada satu masa yang
lalu, mengapakah untuk faedah negara kerugian dan tanggungan yang telah
mencecah RM10 bilion dalam kes PERWAJA ini kita biarkan seperti ‘tikus
melihat besi’. Paling tidak Suruhanjaya Diraja ini boleh membekalkan kita
satu pelan bertindak untuk mengatasi kerumitan-kerumitan yang wujud;
- membentangkan Laporan Price Waterhouse seperti yang dicadangkan oleh
saudara saya dari Kemaman di Dewan ini dan tidak hanya disimpan di Pejabat
Perdana Menteri. Jika tidak, kita secara berdosa meluluskan peruntukan demi
peruntukan dan meneruskan kesilapan demi kesilapan dari satu masa ke satu
masa.
Saya beralih kepada tajuk yang lain berkaitan dengan B.28
khususnya 010100 – Pengurusan Am dan 020200 – Pengurusan Pinjaman dan Pelaburan.
Saya hanya ada sejumlah soalan yang memerlukan penjelasan daripada pihak
kementerian:
- saya pohon penjelasan jumlah pinjaman dan jaminan pinjaman – kalau
menteri tidak ada, tolong siapa-siapa catat ini. Jumlah pinjaman dan jaminan
pinjaman oleh Menteri Kewangan Diperbadankan;
- jumlah pinjaman dan jaminan pinjaman kerajaan kepada Khazanah Nasional
Berhad;
- berapakah perbelanjaan yang telah digunakan oleh Khazanah Nasional untuk
pembinaan Putrajaya dan bagaimanakah perbelanjaan ini dibiayai?;
- kategori pemilikan tanah di Putrajaya sebagai tapak Putrajaya, berapakah
keluasan tanah ladang dan tanah milik perseorangan dan harga tiap-tiap
hektar bagi tanah ladang yang telah dibayar dan tanah persendirian. Jika
wujud perbezaan-perbezaan dalam kadar pembayaran itu apakah sebab-sebab
perbezaan ini berlaku;
- jumlah semua jaminan pinjaman kerajaan terhadap semua syarikat-syarikat
dan tarikh matang tiap-tiap jaminan pinjaman tersebut;
- jumlah keluasan ruang pejabat kerajaan mengikut parcel demi parcel di
Putrajaya dan kos pembinaan tiap-tiap bangunan kerajaan pada tiap-tiap
parcel;
- jumlah hutang-hutang yang telah dilupuskan oleh kerajaan kepada
tiap-tiap syarikat dan lain-lain agensi pada 10 tahun yang lalu;
- jumlah cukai korporat yang telah dikutip bagi tiap-tiap projek
penswastaan pada setiap tahun sejak dasar ini telah diperkenalkan pada tahun
1983.
Saya berharap mendapat penjelasan ini, jika sekiranya tidak
sempat diberikan secara lisan untuk mendapatkan penjelasan ini secara bertulis.
Saya ingin menyentuh sedikit tentang penswastaan IWK dan lain-lain yang
berkaitan……
Tuan Pengerusi [Dato' Haji Muhamad bin Abdullah]: Masa Yang Berhormat
sudah suntuk.
Tuan Husam bin Haji Musa: Masa saya sudah habis? Tidak ada
sedikit-sedikit pasal Sik sudah lama tidak datang, dia beri saya kot.
[Ketawa]
Tuan Pengerusi [Dato' Haji Muhamad bin Abdullah]: Elok berhenti, Yang
Berhormat.
Tuan Husam bin Haji Musa: Elok.
Tuan Pengerusi [Dato' Haji Muhamad bin Abdullah]: Ya.
Tuan Husam bin Haji Musa: Terima kasih.